KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Ogos 29, 2010

Ada yang seronok, ada yang berduka: Ramadan sebagai bulan tranformasi ummat!


Bekas pesyarah UIAM, Ustaz Zawawi Yusoff membicarakan mengenai transformasi Ramadan yang tidak tercapai oleh kebanyakan orang. Mereka hanya patuh kepada lapar dan dahaga semata-mata, tidak berusaha untuk memulihara pahala puasa. Perkara haram masih diteruskan, walaupun diri berpuasa. Ikuti kupasan menarik pakar motivasi Human Touch Consultant ini. Wartawan INTAN ABDULLAH menerjah isu ini bersama beliau mengapa tranformasi Ramadan gagal. BAHAGIAN 1.

Boleh Ustaz jelaskan apa yang dimaksud transformasi Ramadan?

USTAZ ZAWAWI YUSOFF: Transformasi Ramadan ialah bagaimana kita hendak berubah dengan kedatangan Ramadan kerana ia telah datang berkali-kali bergantung kepada usia seseorang. Tetapi nampaknya ramai yang menjadi hamba Ramadan dan tidak menjadi hamba Allah. Hamba Ramadan maknanya seperti mana kata Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi iaitu jadilah kamu hamba Allah, dan janganlah jadi hamba Ramadan. Hamba Ramadan itu bermaksud kita menjadi hamba Allah hanya pada bulan Ramadan sahaja.  Kenapa seseorang itu boleh berubah secara tiba-tiba menunaikan solat berjamaah? Bukan setakat solat fardu sahaja malahan solat sunat dalam jumlah yang begitu banyak, ada mazhab lapan, 20 rakaat. Kemudian membaca al-Quran dengan begitu hebat, memberi sedekah dengan begitu banyak. Ini seolah-olah menunjukkan seperti Allah atau masjid atau al-Quran tiada pada bulan-bulan selain Ramadan. Transformasi ini bermaksud 'berubah' tetapi orang kita tidak berubah selepas datangnya Ramadan. Mereka hanya berubah di bulan Ramadan tetapi tidak berubah selepas bulan Ramadan tapi... bukan semualah. Sebab mereka menyambut Ramadan kerana ianya untuk bulan Ramadan semata-mata.  Ramadan juga dipanggil bulan puasa sebab ianya hanya untuk puasa sedangkan Ramadan adalah bulan untuk dibuat perubahan bukan pada bulan itu sahaja tetapi selepasnya. Sebab itu kalau mahu lihat perubahan jangan lihat pada bulan Ramadan tetapi lihat selepas Ramadan berakhir.

Ada yang berpuasa dengan hasrat untuk tujuan tertentu seperti ingin menguruskan badan dan sebagainya. Mereka ingin menjadikan Ramadan sebagai batu loncatan untuk memperolehi sesuatu. Adakah hal ini dibolehkan?

Sebenarnya seseorang boleh memperolehi perubahan pada Ramadan. Buktinya kita telahpun mengalaminya. Contohnya, apa yang kita tidak pernah buat sebelum ini telah dilakukan sekarang (seperti solat sunat terawih berjemaah, baca al-Quran) dan bermakna pada bulan lain kita juga boleh berubah. Cuma ramai yang kurang faham apa itu Ramadan. Apabila Ramadan dengan tujuan yang bukan keagamaan iaitu tujuan kebendaan, bila tujuan kebendaan mengatasi tujuan yang bukan keagamaan dan peribadatan maka mereka hanya memperolehi keduniaan. Dia hanya dapat dunia sahaja, contohnya dapat kurus sahaja, untung perniagaan sahaja dan apa-apa sahaja yang dihajatinya. 

Kalau niat kerana Allah...

Kalau kita niat kerana agama dan semata-mata kerana Allah kita akan dapat dunia dan sebanding dengannya malah dapat akhirat sekali. selain itu orang kita selalu melebih-lebihkan fadhilat sehingga mereka melupakan syarat sedangkan syarat lebih besar daripada syarat.  Dalam hal fadilat terdapat beberapa kelebihan kalau kita buat sesuatu amalan, tetapi ianya tidak akan dapat diperolehi tanpa mematuhi syarat kerana ianya akan menentukan kelayakan untuk memperolehi takwa. Contohnya ibadah haji yang mempunyai banyak kelebihan (fadilat) tetapi syaratnya ialah kena memperolehi mabrur. Begitu juga dengan salawat ke atas Nabi, ada fadilatnya tetapi syaratnya ialah kena ikut Nabi.

Ada yang berpuasa kerana nak kutip fadilat sahaja...

Apabila kita ambil fadilat, kita hanya mendapatkannya sahajalah. Ini menyebabkan kita tidak berubah sedangkan syaratnya ialah takwa. Kalau dalam ibadah haji, kita akan dapat tawaf, bawa pulang air zam-zam, dan sebagainya tetapi rupa-rupanya untuk memperolehi kelebihan haji yang lain adalah dengan cara mabrur. Bagaimana cara mendapatkan mabrur? Sebelum, semasa dan selepas haji itu terdapat kaedah yang tertentu. Sehingga dalam ketiga-tiga tempoh itu kita memperolehi tahap mabrur itu. Sebaliknya, dalam ibadah Ramadan jika kita hanya menumpukan suatu niat tertentu maka seseorang itu hanya memperolehi fadilat sahaja tanpa syarat. Ini bermakna dia tidak memperolehi takwa seterusnya membuatkan mereka tidak berubah.

Tiada ulasan: