KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Ogos 29, 2010

Mereka rugi, berpuasa hanya mengikat perut dari lapar sahaja!


ALLAH mewajibkan puasa pada tahun ke 2 hijrah dengan turun ayat al Baqarah 183: "Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan kepada orang yang sebelum kamu berpuasa, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah."

Abdullah ibn Mas'ud r.a., salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang terkemuka yang juga pakar ilmu tafsir berkata: "Apabila suatu  ayat Al-Quran dimulai dengan panggilan atas orang yang beriman, sebelum sampai ke ayat itu kita boleh mengetahui bahawa ayat berkenaan mengandungi suatu perkara yang amat penting atau larangan yang sangat berat".  Tuhan Yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu bahawa orang yang beriman sahajalah yang bersedia memikul perintah Illahi.

Kewajipan puasa bukan untuk mendera atau menyiksa  hambanya supaya berlapar dan dahaga. Maha suci Allah yang mengharamkan dirinya melakukan kezaliman ke atas hambanya. 
Sebaliknya puasa ialah ibadah untuk taqarrub kepada Allah. Ia adalah lambang ketaatan dan perhambaan diri daripada seorang hamba kepada khaliqnya. 

Jika puasa bertujuan untuk lapar maka sudah tentu, orang yang berpuasa tidak disunatkan segera berbuka dan melewatkan bersahur. Seperti sabda Nabi SAW: "Sentiasalah umatku berada di dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur." - Riwayat Imam Ahmad.

Ini dalil menunjukkan bahawa puasa bukan untuk berlapar. Kalau tujuan supaya berlapar maka Allah  menetapkan waktu berbuka jam 10 malam, manakala imsak pula bermula  jam 1 pagi.  Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Malahan Islam galakkan supaya bangun sahur bagi mereka yang hendak berpuasa,  seperti dalam sabdanya: "Bersahurlah kerana makan sahur itu terdapat keberkatan".

Untuk itu perintah puasa adalah salah satu kewajipan yang memerlukan pengorbanan kesenangan diri daripada kebiasaan seharian. Orang yang hatinya ada iman selalu bersedia menunggu apa sahaja perintah yang akan diamanahkan.

Ia juga sentiasa mempersiapkan diri untuk merubah kebiasaan pada bila-bila masa sahaja, apabila datang arahan ke atasnya dari tuhan yang diyakini dan dipercayai. Puasa ialah ibadah ketundukan dan kepatuhan kepada Allah. Ini sebagai satu ukuran  samada hambanya boleh ikut atau tidak. 

Biasa mereka minum, makan di siang hari, tetapi dengan kedatangan Ramadan semuanya terhenti dan tidak lagi boleh makan dan minum. Ia menjadi haram walaupun makan dan minum itu halal. Diharamkan kita bersetubuh di siang hari, walaupun dengan isteri yang sah. - Ustaz Idris Ahmad

Tiada ulasan: