Sehingga hari ini, permit lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan DAP masih digantung tak bertali oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Tindakan drastik KDN menahan permit Suara Keadilan dan Roket dapat difahami sebagai kebimbangan kritikal Umno-BN menghadapi kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan muktahir ini.
Jika Umno-BN dalam keadaan kuat, stabil dan selamat, maka sudah tentu penahanan, penafian hak dan penggantungan permit dua lidah rasmi KEADILAN dan DAP itu tidak dilakukan, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa. Ini kerana, tindakan tidak popular itu hanya memburukan imej Umno-BN yang menguasai kerajaan dan sekaligus mengesahkan sikap tidak demokratik mereka terhadap kebebasan bersuara dan bermaklumat di negara ini.
Mengapa Umno-BN sanggup merosakkan imejnya, mencalar kepercayaan rakyat jika tidak mereka benar-benar dalam keadaan terdesak untuk mempertahan kuasa yang kian tergugat akibat lambakan maklumat berani, telus dan bersifat reformasi.
Rakyat yakin, kekangan terhadap media cetak sejak muktahir ini terpaksa dilakukan oleh kerajaan Umno-BN sebagai langkah mengurangkan fakta tepat kepada rakyat, khususnya yang berkaitan isu-isu politik yang boleh menikam dan menghakis pengaruh Umno-BN.
Sebagai persediaan nekad menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, dan mempertahankan kuasa yang sedia ada, demi untuk merampas kembali Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta Kelantan yang terlepas ke tangan Pakatan Rakyat, maka sudah tentulah kerajaan Umno-BN terpaksa bertindak 'membunuh' suara rakyat melalui dua lidah rasmi ini; kerana ia menjadi perhatian rakyat.
Mustahil jika Suara Keadilan dan Roket tidak berbisa, permitnya ditahan. Ini pula tidak bermakna kelulusan permit lidah rasmi PAS, Harakah menjadi petunjuk keadilan dan sikap profesional kerajaan. Sebaliknya amaran keras, larangan dijual di premis awam serta arahan dibesarkan perkataan "Hanya Untuk Ahli Sahaja" pada maskhead akhbar itu jelas kekangan melampau yang tidak wajar wujud dalam manipulasi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Rakyat terus mendesak agar KDN menghormati hak kebebasan bersuara, sistem demokrasi berparlimen dan menghormati kebijakan bermaklumat dengan mengembalikan semula kedua-dua permit Suara Keadilan dan Roket kepada parti-parti berkenaan, sebagai lidah rasmi dan menarik semula amaran keras yang tidak munasabah yang dikenakan ke atas Harakah.
Sebagai lidah rasmi parti, dan bukannya akhbar komersial adalah amat tidak wajar sama sekali KDN menafikan hak-hak warga negara ini dalam menegaskan suara mereka. Tindakan tidak memberikan permit bermakna kerajaan 'menggam' mulut rakyat, memaku minda dan mengganyang rakyat dengan dipaksa menerima maklumat sebelah pihak.
Berbanding penguasaan Umno-BN terhadap media tradisi seperti RTM, TV3, NTV7, NTV9, Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, News Strais Times, beberapa akhbar berbahasa Cina dan India; kekangan KDN terhadap Suara Keadilan, Roket dan Harakah boleh digambarkan sebagai tindakan tegar dari emosi takut, bimbang dan risau kerajaan Umno-BN hilangnya segenggam kuasa yang membukitkan kekayaan kepada pemimpin dan kroni, yang memayahkan rakyat dan yang memayungi kezaliman.
Langkah kerajaan ini sama seperti minat mendalam Umno untuk bersatu padu dengan PAS. Mereka tidak boleh membungkus rasa terdesak mereka dengan langkah dan tindakan drastik yang diambil. Menyekat lidah rakyat bertugas, dan dalam masa yang sama mahu PAS menyertai mereka. Apakah maknanya itu? Sudah tentulah ini gambaran kerisauan dahsyat Umno untuk menghadapi PRU ke-13 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan