KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Ogos 29, 2010

Ku Li yakin dinar, dirham jadi "alat pertukaran' yang efektif di Kelantan


Mantan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah optimis dengan usaha Kerajaan Kelantan yang memperkenalkan sistem dinar dan dirham dalam urus niaga di sana. Ketika berucap dalam majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah (Persada) pada 21 Ogos lalu, beliau berkata sistem itu patut diusahakan dan diperjuangkan Kerajaan Kelantan yang percaya kepada mata wang itu.   Tambahnya, kejayaan penggunaan dinar dan dirham bergantung kepada keyakinan masyarakat terhadap wang berkenaan.

"Ini kerana nilai wang itu bergantung kepada permintaan emas dan perak di pasaran," katanya di hadapan kira-kira 250 jemputan. Beliau berkata lagi, penerangan meluas juga perlu dijalankan supaya rakyat tidak keliru mengenai nilai wang dinar dan dirham.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Tengku Razaleigh menegaskan rakyat Kelantan bebas menggunakan wang dinar dan dirham itu sekiranya mereka yakin penggunaanya sebagai alat pertukaran. Jelasnya, dinar dan dirham sebagai alat pertukaran dan ia terpulang kepada rakyat untuk menerimanya tetapi undang-undang menegaskan hanya Ringgit Malaysia (RM) sah diperlakukan.

"Kalau ada orang yang hendak terima dirham itu dia boleh terima. Itu dia punya hal lah," katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang. Bagaimana pun katanya, Kerajaan Kelantan melakukan kesalahan sekiranya mengeluarkan wang berkenaan bagi menggantikan mata wang RM.

"Kalau nak keluarkan, dia boleh keluarkan tapi tanggungjawab untuk keluarkan matawang adalah Bank Negara. Tapi nak guna dirham untuk seluruh negara tak bolehlah. Kerajaan Kelantan tak ada kuasa di bawah undang-undang," tegasnya. Di bawah undang-undang ini, katanya, hanya Bank Negara mempunyai kuasa yang diizinkan kerajaan persekutuan bagi mengeluarkan RM. 

Ketika mengulas prestasi ekonomi Kelantan apabila menggunakan mata wang dinar dan dirham, beliau menjelaskan prestasi ekonomi tidak ada kena mengena dengan alat pertukaran wang. "Sama ada ekonomi naik turun bergantung kepada kegiatan ekonomi itu sendiri, tidak semestinya alat pertukaran yang digunakan," jelas beliau.

Tiada ulasan: