KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Ogos 16, 2010

Harakah rai petugas, tetamu dan pengedar dengan jamuan kambing panggang


Walaupun hujan agak lebat tengahari Khamis, 5 Ogos lalu, namun ia tidak menghambat para peminat Harakah datang bertandang. Hari itu, Harakah menganjurkan Jamuan Ramadan sempena ketibaan bulan yang mulia itu. Hidangan untuk 400 tetamu disediakan.

Kakitangan Harakah khususnya dari Bilik Berita, rancak menjemput dan mengaturkan tempat duduk untuk para tetamu. Kali ini, tetamu sekitar Kuala Lumpur diundang. Ada melalui panggilan telefon, tak kurang juga dari sentuhan SMS dan paluan Facebook. 

Rata-rata yang hadir, berterima kasih atas jemputan Harakah itu. Bermula jam 12 tengahari, tetamu sudahpun mula tiba. Antara yang awal, bekas Naib Presiden PAS da isteri, Ustaz Ahmad Awang dan Ustazah Rosiah Salleh.

Pelbagai menu disediakan. Pastinya yang melecurkan air liur bila terlihat. Selain dari kambing kurma, rendang daging, arca nenas, dan nasi briyani... kambing panggang pasti menjadi taruhan kepada tetamu. Seekor kambing panggang disediakan untuk jamahan tetamu dengan cicah sos yang menyelerakan. 

Semua kakitangan Pejabat Agung PAS, Telesign Sdn. Bhd, Harakahdaily, Siasah dan bahagian pentadbiran dan pemasaran Harakah meraikan Jamuan Ramadan ini. Selain itu, pengedar dan peminat Harakah antara yang memenuhi tempat duduk menjamu selera.

Pengarah Urusan Harakah, Dato' Kamaruddin Jaffar terpaksa melayan tetamu bersama rakan-rakan dari Harakah cetak. Antara tetamu yang hadir Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ghazali Mayuddin, Setiausaha Agong PRM, Koh Swee Yong, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, Setiausaha GMP, Husni Abas, Exco Paksi, Razali Endun, sasterawan A Shukor Harun, bekas pimpinan pemuda PAS, Redhuan Onn Abdullah, Hayatul Kamil Turmudi, dan Sulaiman Kaiat.  

Wartawan media alternatif dan media baru turut hadir antaranya dari Astro Awani, Merdeka Review, dan Malaysiakini. Selain itu wakil badan-badan NGO seperti GMI, dan persatuan pelajar sama-sama menikmati juadah disediakan. Hadir sama hari itu, bekas tahanan ISA, Mat Sah Satri iaitu suami kepada Norlaila Othman.

Tiada ulasan: