KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Ogos 13, 2010

Islam selamat, pastinya Melayu dan bukan Islam selamat!


Aslim taslam, "Islamlah nescaya kamu selamat". Islam ialah keamanan, kesucian dan kemakmuran. Islam ialah agama sejagat dan sesuai dalam semua zaman dan masa. Dalam konteks perjuangan di Malaysia Islam yang diperjuangkan oleh Parti Islam Semalaysia (PAS), sentiasa 'evergreen' segar-bugar tidak pernah lapuk dan berkulat, walaupun menghadapi berbagai cabaran dan dugaan. Perkara ini tertera di dalam Perlembagaan PAS Fasal 3 "Dasar PAS ialah Islam".

Berbeza dengan perjuangan Melayu sahaja tanpa bersendikan Islam maka telah membawa musibah kepada agama dan bangsa. Perlu dingat bahawa Melayu hina jika tanpa Islam, sebagaimana arab hina kerana meninggalkan Islam.

Islam selamat, masjid selamat. Buktinya masjid di negeri PAS dan Pakatan Rakyat memerintah semua makmur. Manakala di negeri Melayu selamat, keadaan masjid hidup segan mati tak mau. Berbeza dengan negeri yang di bawah PAS dan Pakatan Rakyat, masjid ceria dengan program. 

Ia ditadbir dengan baik dan teratur oleh mereka yang memang ahlinya. Bukan mereka yang bukan ahlinya. Tetepi jika Melayu selamat, surau tidak selamat. Buktinya surau di Seksyen 8, Shah Alam ditutup dua minggu sebelum Ramadan 2007. Surau diarah tutup bukan kerana imamnya dijangkiti H1N1, tetapi kerana bimbang Melayu tidak selamat. 

Surau yang dihadiri majlis ilmu hampir 300 orang diarahkan tutup. Selepas Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang tidak ada pula surau yang diarahkan tutup. Melayu selamat, surau tidak selamat.

Islam selamat orang bukan Melayu pun selamat. Ini terbukti, orang bukan Islam selamat di Kelantan selama 20 tahun, di Terengganu pada tahun 1999 dan di Kedah sejak 2008. Tidak kedengaran orang bukan Islam disiksa dan kuil mereka di ceroboh. Mereka boleh makan apa yang agama mereka benarkan. Mereka mendapat hak yang sepatut mereka dapat. Mereka di beri bantuan kerana itu adalah hak mereka walaupun mereka minoriti, kerana Islam sudah mengajar kepada PAS, jangan menzalimi orang bukan Islam. PAS sedar apa yang dilakukan ada kaitan dengan dosa dan pahala, syurga dan neraka. 

Islam selamat rakyat selamat, tetapi Melayu selamat belum tentu Islam selamat. Contohnya apa yang berlaku di Selangor sewaktu Melayu selamat, almarhum Dato Ishak Baharom hendak ditangkap. Sedangkan beliau bekas mufti merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. 

Beliau dipecat daripada mufti kerana kesalahan menangkap gadis Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik di Subang Jaya. Pada hal almarhum mempertahankan tindakan JAIS yang menepati dengan kehendak undang-undang yang diluluskan oleh umno sewaktu mereka memerintah di Selangor.Semua gara-gara melayu selamat tapi Islam dan bekas mufti tidak selamat.

Melayu selamat, Dato Dr Harun Din hendak ditangkap kerana hendak memberi kuliah di Selangor. Beliau seorang bekas Professor di Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Kebanyakan yang bertugas di mahkamah dan Jabatan Agama Islam adalah bekas muridnya. Apakah salah Dr Haron Din sehingga diburu macam Botak Chin. 

Apakah beliau penjenayah? Jawapannya tidak. Semua ini diperlakukan kerana Dr Harun Din dan almarhum Dato' Ishak Baharom menyatakan Islam yang benar dan tidak berkompromi dengan kemungkaran. Mereka bercakap berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah, bukan berdasarkan nafsu dan mengampu. Semua ini gara-gara Melayu selamat, ulamak muttaqin tidak selamat.

Cuba bayangkan sekiranya yang menangkap itu ialah di negeri Lim Guan Eng yang menjadi Ketua Menteri, maka akan berlakulah perarakan besar-besaran oleh penyokong yang hendak mempertahankan hak Melayu. Tetapi waktu parti yang kononnya untuk menyelamatkan Melayu berkuasa di Selangor, tidak ada apa-apa bentuk pembelaan ketika ulamak dihina.

Melayu selamat, tanah rezab Melayu tidak selamat. Sejahat-jahat penjajah Inggeris yang datang ke negara ini mereka masih berhati perut dan ingat kepada orang Melayu yang menjadi pribumi di negara ini. Inggeris telah menyediakan tanah rezab Melayu seluas 3 juta hektar pada tahun 1957 susut kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1995. 

Ini bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun. Kalau tidak disekat maka tahun 2020 tanah rezab Melayu hanya tinggal 30% sahaja. Umno memerintah negara yang konon hendak selamat Melayu, sepatutnya ganti balik tanah tersebut dengan tanah yang lain supaya tanah rezab Melayu tidak hilang. 

Apa yang berlaku sebaliknya. Tanah rezab Melayu makin mengecil akibat pengkhianatan oleh pemimpin umno yang memerintah negara ini. Ini satu lagi hujah melayu selamat, tanah melayu tak selamat.

Melayu selamat, sesama Melayu pun tidak selamat. Berlaku diskriminasi kepada negeri yang diperintah oleh orang Melayu di Kelantan. Apa dosa PAS, juga sebuah parti Melayu, tetapi dilayan macam rakyat kelas tiga oleh parti yang selalu melaungkan hidup Melayu. Tentu kita masih ingat bagaimana royalti minyak hak rakyat Terengganu dirampas tanpa belas kesian. 

Mereka membakul sampahkan perjanjian yang tangan mereka sendiri yang tandatangan. Sekarang giliran Kelantan pula dinafikan hak oleh kerajaan Melayu. Kesemuanya tidak akan berlaku jika Islam selamat. Kerana Islam menyuruh berlaku adil sebagaimana firman Allah bermaksud "Sesungguhnya Allah memerintah kamu menunaikan amanah kepada ahlinya, apabila kamu menghukum di antara manusia, hukumlah dengan adil". - Ustaz Idris Ahmad

Tiada ulasan: