KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Ogos 27, 2010

Tip menarik memanfaatkan Ramadan dari Mursyidul Am PAS


Pada kebiasaannya, kita hanya bersiap sedia dan fokus kepada Ramadan dan jarang memikirkan persiapan untuk memasukinya...  sedangkan Ramadan diumpamakan sebuah madrasah atau universiti. Apa persiapan umat Islam masuk ke universiti Ramadan ini?

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT: Mula-mula sekali, saya lebih suka menggunakan istilah 'bulan Ramadan' berbanding 'bulan puasa' kerana bulan puasa ini adalah terlalu sempit. Bila kita puasa maka semacam kita telah berpuas hati dengannya kerana kita telah melaksanakan puasa. Ini kerana bulan itu dikatakan bulan puasa. Sebaliknya, bulan Ramadan bukan sekadar melaksanakan satu perkara sahaja iaitu puasa. Terlalu banyak pintu langit terbuka dalam bulan Ramadan untuk kesejahteraan dan ketenangan kita, menambahkan pahala kita, membuang dosa-dosa kita, mendapat ketenangan Allah.

Macam mana cara atau kaedahnya Tok Guru?

Cara-caranya telah disebutkan dalam hadis. Sebab itu Ramadan sebagai 'syahrus-siyam', bulan sabar, bulan tilawah quran, bulan istighfar, bulan doa, terlalu banyak nama yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada bulan Ramadan menunjukan fungsinya yang terlalu luas. Dengan sebab itu kita jangan sebutkannya sebagai bulan puasa. Sebut bulan Ramadan kerana itu memberi impak yang baik. Saya sebut juga, kalau orang Kelantan sebut 'ciduruh' tetapi sebutan yang betul adalah tadarus yang bermaksud bergilir membaca. Ertinya kita ambil sebuah al-Quran dan duduk bertiga (atau lebih) A baca, B,C, D dengar untuk dua muka surat panjangnya. Mereka yang mendengar itu akan meneliti bacaan A manakala kalau ada kesilapan akan ditegur.  Maka ini akan membuatkan kita membaca al-Quran dalam keadaan yang betul. Kemudian selesai giliran A, diikuti teman-teman yang lain pula. Akhir sekali, tiap-tiap tahun kita baca al-Quran dengan lebih bertambah baik kerana apabila kita salah, kawan akan tegur. Begitu juga sebaliknya. Itu peringkat pertama. Peringkat kedua, kita ambil orang-orang yang boleh baca al-Quran yang mengetahui maknanya. Kita baca sehelai, kemudian isi kandungan yang dibaca itu dikupas, kepada yang mengerti maknanya mereka akan mendengar untuk ditambah yang menyebabkan ilmu al-Quran yang ada pada kita akan semakin bertambah. Itulah yang dipanggil tadarus bukan qiraatul quran.

Tadarus Nabi Muhamad SAW...

Nabi kita Muhammad SAW tadarus dengan Jibril sehingga khatam sekali setiap tahun. Akhir tahun semasa Rasulullah SAW hendak wafat itu, baginda dua kali khatam. Kalau boleh, sekarang ini ramai orang yang menjadi hafiz al-Quran (mereka yang hafaz al-Quran) lebih baik jika imam yang mengendalikan solat tarawih dalam Ramadan orang yang hafiz. Zaman baca muqadam telah berlalu.

Bila Ramadan datang, kebiasaannya ramai yang pergi umrah. Apa komen Tok Guru? 

Setiap tahun kita pergi dan ianya memang bagus kerana kita akan memperolehi pahala. Tetapi apa kata kalau kita menggunakan duit itu dengan menyumbangkannya ke dalam tabung masjid qariah kita.  Pada kebiasaannya juga, setiap kali bulan Ramadan, ramai yang mengambil kesempatan mengerjakan umrah (untuk beberapa kali) ke Mekah yang mungkin akan menghabiskan kira-kira RM 10,000. Jadi kita ambil wang itu letak dalam tabung, untuk kegunaan masjid qariah kita. Jika 10 orang yang hendak ke Mekah, bermakna RM 100 ribu dapat dikumpul. Cubalah sekali pada tahun ini. Mana-mana yang berniat umrah ke sana, cuba gunakan wang tersebut untuk sumbangan ke tabung. Boleh bagi gaji imam, siyak, pembangunan masjid lebih mudah, tidak perlu hanya sekadar bergantung kepada kutipan derma.

Tiada ulasan: