Cuaca petang itu seolah-olah menyebelahi kehendak penganjur program Iftar dan Ihya' Ramadan bersama Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Surau al-Ikhlasiah, Keramat Jaya, Dato' Keramat Kuala Lumpur baru-baru ini. Lebih 500 orang hadir mengambil kesempatan untuk berbuka puasa bersama Tok Guru Nik Abdul Aziz serta pemimpin setempat selain berpeluang untuk menghulurkan sumbangan kepada dana Surau berkenaan
Program dimulai dengan bacaan ayat-ayat Syifa' pada air gau diketuai oleh Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Amran Abu Talib dan ianya disempurnakan dengan doa oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Air tersebut kemudiannya dijual kepada umum untuk tujuan mengutip derma.
Orang ramai yang hadir turut membantu urusetia program membuat persiapan berbuka puasa sambil menanti ketibaan tetamu kehormat, malah ada yang berkesempatan menghulurkan sumbangan buat anak-anak yatim dan ibu tunggal yang turut serta pada majlis itu.
Ketibaan Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali disambut meriah oleh urusetia dan orang ramai yang berpusu-pusu bersalaman; beliau diiringi ke perkarangan surau untuk membacakan doa bagi ayat-ayat Syifa' di pintu masuk surau berkenaan.
Sebaik azan solat Maghrib berkumandang, Pengerusi Yayasan Prihatin Titiwangsa, Ir Ismail Abd Rahman, Pengerusi Surau al-Ikhlasiah, Mejar (B) Raja Lope Ahmad Raja Mansor serta pengarah program, Ustaz Surizal Abd Rahim bersama-sama Tok Guru Nik Abdul Aziz menjamah juadah berbuka puasa sambil duduk bersila di perkarangan surau. Selepas mengimamkan solat Maghrib, beliau serta tetamu kehormat turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim An-Najjah dari Jalan Kent serta Rumah Anak-anak Yatim Darul Takwa Sungai Besi.
Antara penerima sumbangan warga emas ialah bapa bekas pelumba basikal kebangsaan, Rosman Alwi menerusi Skim Mesra Usia Emas, ibu-ibu tunggal dan dua saudara baru yang dijemput khas iaitu Mohamad Adam Eh, 21 dan Mohamad Leonard, 22. Majlis tersebut dimeriahkan dengan tazkirah oleh Mursyidul Am PAS itu yang mengingatkan agar mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai bentuk ibadah.
"Ramadan ini adalah suatu bulan yang diberikan ganjaran yang berlipat kali ganda dan kita digalakkan untuk melazimi tadarus dan tilawah al-Quran selain mengerjakan solat-solat sunat dan memperbanyakkan amalan sedekah," katanya.
Surau tersebut yang terkenal di kalangan penduduk sekitar dengan jolokan Surau Biru penuh sesak dengan orang ramai yang memenuhi ruang dalam sehingga ada yang duduk di perkarangan tempat letak kereta. Turut kelihatan beberapa orang artis yang turut sama menunaikan solat di surau berkenaan memandangkan terdapat program Bazar Ramadan anjuran Seniman bersebelahan surau berkenaan.
Antara juadah yang disediakan adalah nasi dengan lauk kari ikan, daging dan sayur, buah-buahan, bihun goreng, kuih-muih serta empat periuk bubur lambuk dari Kampung Baru. Solat sunat Terawih malam tersebut diimamkan oleh Mohamad Izzat Naqib Mohd Yusoop yang merupakan graduan Darul Quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan