Di Selangor hari ini, mungkin orang yang paling sibuk ialah Ketua Pembangkang Dun Selangor, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kerana dia mahu muncul sebagai seorang pejuang dan hero dalam isu pasir, sungai dan alam sekitar.
Tujuannya, tentulah 'political mileage' sendiri, kerana namanya benar-benar merudum sekarang sama macam saham di beberapa kaunter yang tidak baik, selepas kalah sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno, di tangan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan dia tidak dilantik menganggotai Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Dalam Umno, kalah satu cerita biasa kerana ramai lagi pemimpin lain yang turut kalah tetapi bila tidak dilantik duduk dalam MT, ia satu cerita lain lagi. Lebih teruk tidak dilantik daripada cerita kalah bertanding.
Jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor sudah dilepaskan, kononnya sebagai tanda bertanggungjawab kepada kekalahan BN di Selangor dalam PRU 12 yang lalu, tetapi satu perkara yang Mohamad Khir tidak buat lagi, memohon maaf daripada semua kakitangan kerajaan, khususnya kakitangan kerajaan dari Negeri Selangor isu menghadiahkan penyapu kepada YDP Majlis Daerah Hulu Selangor.
Ketika dia sibuk membawa wartawan dan jurugambar melawat kawasan pasir yang didakwanya berlubang macam lubang jerawat di wajah mereka yang berjeragat, Mohamad Khir sebenarnya lupa cerita kecurian pasir adalah cerita warisan.
Siapa yang mewariskan dan siapa yang mewarisi, rakyat akan menjawabnya nanti dalam PRU 13 yang akan datang!
Mohamad Khir cukup risau. Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak hanya memperkenankan perlantikannya sebagai ketua pemikir untuk Umno Selangor.
Ini yang merisaukan. Mohamad Khir tidak mahu kelibat Noh Omar mengatasi popularitinya. Mohamad Khir dan Noh sering menafikan mereka bermasalah dengan alasan mereka berdua adalah kawan sekolah, kawan sekampung dan membesar bersama-sama, serentak.
Noh pula, tentunya dengan jawatannya sebagai satu-satunya Menteri Kabinet dari Selangor, selepas Ir. Mohamad Zin Mohamad digugurkan, tidak mahu melepaskan peluang mengejar populariti untuk menggantikan Mohamad Khir atau sesiapa sahaja sebagai pemimpin politik nombor satu di Selangor.
Itulah sebabnya, lihatlah cara Noh berpakaian. Lihatlah setiasuaha-setiausaha yang mengelilingi Noh, semuanya macam artis dan penyanyi. Kalau mereka pakai seluar biru, kasut mereka juga biru. Kalau mereka pakai seluar hijau, kasut mereka hijau. Mereka perasan pakaian mereka cantik, hakikatnya pakaian mereka pelik.
Dalam politik, mana boleh kira membesar bersama, kawan sekampung atau rakan sebaya kerana adik beradik pun boleh bercanggah, anak beranak boleh berbeza inikan pula kawan sekelas, rakan sekampung mahupun teman sekuliah.
Mohamad Khir tidak perlu menyokong kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor, tetapi dalam masa yang sama, usahlah cari salah secara berlebih-lebihan.
Dalam era kempimpinannya, bukan tidak ada kesalahan dan kesilapan, malahan, cerita hanya 'orang Jawa sahaja' yang akan maju selepas 'orang Jepun' di Selangor, cukup mengecilkan hati banyak pihak khususnya orang-orang Melayu dari keturunan Bugis dan Banjar.
Wajah Mohamad Khir yang tiba-tiba berubah, dari kehitam-hitaman menjadi putih kemerah-merahan cukup mengejutkan. Bukan Mohamad Khir sahaja yang 'berubah wajah' malahan, Noh Omar juga dilihat menjadi seorang lelaki yang terlalu putih kulit wajahnya, hingga tidak menampakkan dia sebagai Noh Omar sebelum menjadi menteri kabinet.
Umno Selangor sekarang ini sebenarnya sedang tercungkil-cungkil bakat baru untuk ditonjolkan sebagai bakal pemimpin. Nama-nama seperti Mohamad Khir, Noh dan Mohamad Zin sudah tidak mendapat tempat di hati ahli-ahli parti peringkat bawahan.
Yang mereka nampak sekarang ini, Dato' Fuad Tan Sri Hassan yang merupakan Ketua Pengarang JASA – Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Malangnya, Fuad tidak berjawatan dalam Umno bahagian. Ini masalah besar bagi orang Umno di Selangor kerana, Umno biasanya akan menjadi penentu seseorang untuk disokong.
Mohamad Khir tidak perlu sebenarnya berhempas pulas untuk memulihkan imejnya dengan menyerang kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim. Usaha Umno membenamkan Khalid bukan dibuat sekarang, malah, sejak awal-awal lagi ketika Khalid mahu berjinak-jinak dengan politik Umno Bahagian Kuala Selangor.
Namun, mereka dalam Umno Selagor lupa, lakonan mereka sudah tidak diterima oleh pengundi dan rakyat Negeri Selangor. Sandiwara mereka dengan pemberian ayam percuma menjelang sambutan Hari Raya sudah tidak member kesan apa-apa – kecuali rasa menyampah.
Lebih baik, Mohamad Khir membaca semula apa manifesto BN yang ditaburkan kepada rakyat Negeri Selangor untuk cuba ditunaikan daripada membawa wartawan dan jurugambar untuk melawat sungai dan kawasan pasir dengan tujuan mahu menunjukkan keburukan pentadbiran sekarang.
Kalau Mohamad Khir betul-betul sayang Negeri Selangor dari berlubang kerana pencurian pasir, apakah Mohamad Khir tidak sayang Negeri Selangor dari segi pengondolan bukit-bukit dan hutan hanya kerana mahu member tanah kepada kroni sendiri dahulu?
Apakah rakyat Selangor sudah lupa bahawa bukit ditarah sesuka hati – ketika Selangor dalam pemerintahan BN yang tentunya Mohamad Khir tahu semua itu, kecuali masih mahu menafikannya! - Safar Jumaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan