KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 14, 2010

PAS setia dengan kawan, beradab dengan lawan! - Tuan Guru Abdul Hadi Awang



Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama para editor Tarmizi Mohd Jam dan Zulkifli Sulong, para wartawan Harakah dan Harakahdaily sewaktu program "Sesi Cakap-Cakap Bersama Presiden PAS" anjurkan lidah rasmi PAS, Harakah, baru-baru ini.


Program "Sesi Cakap-Cakap Bersama Presiden PAS" telah membedah beberapa isu. Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakui Melayu sebagai teras politik negara. Namun, tahaluf siasi yang dilangsung cukup memberi impak kepada PAS selama ini. Tahaluf membezakan antara kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat dan Umno bersama BN. Begitu juga isu-isu pemerkasaan PAS di kawasan Melayu turut disentuh malah, beliau menolak pelawaan Umno untuk bersatu. PAS bukan ego tetapi berpegang teguh dengan prinsip Islam. Dengan tegas beliau juga menolak DAP sebagai boneka PAS seperti didakyah Umno-BN. Isu Dewan Himpunan Penyokong PAS juga diperjelaskan. Ikuti interbiu eksklusif ini bersama TARMIZI MOHD JAM, ZULKIFLY SULONG dan enam wartawan Harakah dan Harakahdaily; INTAN ABDULLAH, ROY RASUL, NYZA AYOB, SALMIYAH HARUN, ANIS NAZRI dan NAZRI ABDULLAH di Pejabat Editorial Harakah, baru-baru ini. Foto ANIS NAZRI. (Bahagian 1)

Kerajaan Umno-BN nampaknya sudah mula bertindak ganas terhadap rakyat. Baru-baru ini ramai yang ditahan secara kasar semasa kempen anti ISA dijalankan di Petaling Jaya 1 Ogos. Diikuti layanan buruk polis terhadap Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Seberang Perak. Reaksi awal Dato' Seri?

DATO' SERI ABDUL HADI AWANG: Sebuah kerajaan yang teguh dan kuat, mempunyai kehebatan serta sifat berani untuk berhadapan dengan rakyat yang mempunyai hak, dengan cara terbuka. Inilah yang diajar oleh Islam sebagaimana Allah menurunkan Al-Asr, satu surah yang pendek bermaksud; "Berpesan-pesan yang benar dan berpesan-pesan dengan kesabaran." Di antara konsep yang diamalkan ialah keteguhan pemerintah yang diucapkan oleh Nabi Rasulullah SAW dalam nasihat. Sahabat bertanya Rasulullah untuk siapa? Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Nasihat itu bagi Allah, bagi Rasul dan kitab-Nya berpegang kepada prinsip Islam dan bagi pemimpin-pemimpin dan bagi orang awam." Itu menunjukkan keterbukaan nasihat yang  dianjur Nabi Muhammad SAW dan apabila Khalifah Abu Bakar bersama ulama dipilih menjadi pemimpin dalam ucapan sulungnya mengatakan; "Saya dipilih untuk menjadi pemimpin kamu dan saya bukan orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya orang baik dan benar yakni betul, tolong saya. Sekiranya saya berada dalam keadaan yang tidak betul, lemah, perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat."  Dan ucapan itu diakhiri dengan doa, "selagi saya taati Allah dan Rasul. Sekiranya saya tidak menghormati Allah dan Rasul jangan taati kepada saya."

Maknanya asas tegur-menegur sudah digaris oleh para ulama terdahulu...

Iya. Konsep ini ditulis oleh ulama-ulama dalam politik Islam, dalam kitab-kitab fekah dan apabila barat mengadakan hubungan dengan Islam sama ada secara perdagangan, secara ilmu melalui penyelidikan termasuk secara penjajahan, mereka tidak menjajah bumi sahaja bahkan mereka menjajah, mengumpulkan hasil-hasil maklumat, kitab-kitab Islam.  Dan ilmu yang dikumpul masih tersimpan di negara barat dan ini mempengaruhi demokrasi moden dan kita melihat bagaimana demokrasi moden yang diamal pemimpin barat dijadikan satu sistem yang melahirkan sebuah kerajaan yang kuat segar. Malah memberi ruang kepada rakyat untuk mengkritik. Dengan sebab itu mereka membenarkan rakyat mengkritik semua pihak. Dan membenarkan demonstrasi, cuma mereka kawal demokrasi supaya jangan melampau sehingga merosakkan harta awam.

Demokrasi Barat yang sebenar menghormati hak-hak rakyat?

Mereka hormati hak rakyat. Mereka membenarkan orang berhimpun, uahkan perasaan, memberi pendapat, mengkritik. Sekiranya kerajaan benar, pihak yang mengkritik itu salah, maka kerajaan mengambil peluang untuk menjawab. Dan ini lebih memberi kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan melemahkan orang yang mengkritik itu. Sekiranya kerajaan silap dan dasar yang dibuat itu salah maka kerajaan bertindak membetulkan kesilapan yang dia buat. Di sini kita melihat bagaimana dunia barat mengambil daripada sistem pemerintahan Islam dari konsep ini dan mereka berjaya melahirkan  negara yang hebat dan ke hadapan daripada negara umat Islam sendiri.

Mengapa orang Melayu, Umno-BN yang sudah lebih 53 tahun berkuasa tidak menghayati demokrasi sebenar itu? Rakyatnya sukar diubah...

Ini kerana mereka tidak membaca seperti di Barat, supaya menjadi orang yang berilmu. Sebab ilmu dan kefahaman sangat penting dalam membuat perubahan. Kita mendapat sokongan Islam dan bukan Islam. Pada 1999, kita lihat Melayu menyokong, dan bukan Melayu kurang sokong. Tapi kemudiannya kita lihat, Melayu kurang sokong, bukan Melayu pula sokong. Sebenarnya perubahan itu memerlukan satu sokongan kepada semua rakyat. Kita perlu sedar, sebagai negara demokrasi, yang pertamanya perlu ada masyarakat bermaklumat dan berilmu. Hindarkan kemiskinan melampau dengan keniakan harga barang. Di Malaysia tidak sampai lagi ada yang mati kerana lapar. Kerajaan bagi subsidi sekadar bernafas, sengaja buat begitu. 
Masyarakat bermaklumat di negara barat, amat peka. Apabila berlaku sebarang isu babitkan kerajaan, apa sahaja isu kelemahan akan menyebabkan atau berakhirnya jatuh kerajaan itu. Media adalah saksi dalam mahkamah, rakyat pula menjadi hakim.

Perubahan politik tersekat kerana media dikongkong atau rakyat tiada maklumat?

Di negara kita, rakyat tidak dapat maklumat menyeluruh secara adil, media terkongkong walaupun ada jugak kebebasan. Harakah dua kali seminggu untuk ahli PAS sahaja (senyum), tv terhad. Kawasan bandar dan pinggir bandar ada berubah, luar bandar yang ada RTM, ceramah diganggu polis, yang atas pagar pun tidak berani datang, mereka tidak dapat maklumat sebenar. Ini keadaan yang kita hadapi. Namun kita fikir masyarakat tidak boleh ditipu selamanya. Kerajaan Umno-BN tidak kekal, yang kekal hanya kerajaan Allah. Kita bersabar dan Allah membuktikan kita boleh menang walaupun dalam keadaan ini. Dengan syarat cawangan PAS banyak dan aktif. PAS menang pun, di negeri cawangan-cawangannya yang aktif. Bukan sahaja sebelum pilihan raya, tetapi sejak dari awal aktif, seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah. 
Dan Umno bergerak bukan atas parti tetapi 'tongkat' jentera kerajaan. Umno-BN bukan kuat sangat, dia parti bertongkat dan berfungsi dengan adanya tentera upahan. Dan diakui orang Umno sendiri mereka bergerak atas wang.

Dato' Seri tekankan soal memperbanyakkan cawangan parti...

Iya lah. Kelemahan PAS selama ini, tidak mampu menambah cawangan.  Kalau dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Kuala Terengganu, kita boleh tawan tapi kalau PAS hanya ada cawangan dua tiga kerat sahaja, sudah tentu PAS tak boleh menang. Orang PAS perlu banyakkan cawangan.

Muktahir ini, isu PAS mengganti Umno cukup realistik sehingga timbul lamaran Umno untuk penyatuan yang disifatkan sesetengah pihak sebagai strategi memecah-belahkan PAS dan Pakatan Rakyat. Bagaimana Dato' Seri melihat perkembangan ini?

PAS mempunyai konsep yang konsisten untuk meneguhkan parti kita dan kita parti yang terbuka, bukan tertutup. PAS setia dengan kawan kita, dan beradab dengan lawan seperti Umno-BN. Islam mengajar ummatnya untuk tolong- menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan bukannya tolong menolong dalam perkara mungkar.  Sekiranya perkara baik dan taqwa seperti isu-isu bersama kekejaman Israel di Palestin, Bosnia, Afghanistan dan isu-isu kemanusiaan lain, PAS tak ada masalah untuk bekerjasama. Bukan sahaja PAS boleh baca sajak bersama, bukan sahaja PAS ada sumbangan, Umno juga. Ini kita akui. Di sini kita tidak boleh bertelingkah.  Dalam perkara kebajikan, kita bersedia untuk memerangi jenayah, menghapuskan gejala sosial, kita boleh bersama. Tetapi kerjasama untuk memikul beban dengan masalah mereka (Umno) dengan penyakit yang memarakkan rakyat seperti rasuah, dia (Umno) ajak kita (PAS) berkawan semata-mata untuk meringankan beban dia. Ini kita minta maaf. Kita bukan ego tapi kita pertahan prinsip yang dianjurkan Islam dalam bersatu dan bekerjasama.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Appгeciatіng the hard work you ρut
іnto your site and detaileԁ іnfoгmation yοu presеnt.
It's good to come across a blog every once in a while that isn't the sаme оld rehashed
informatіon. Wonԁerful read! I've bookmarked your site and I'm
includіng your RSS feeds to my Googlе account.



my site New Bingo Sites