Seruan ke arah kerjasama antara pelbagai kumpulan Islam bukanlah sesuatu yang baru. Ia dibuat atas pelbagai pertimbangan, termasuk pertimbangan politik. Ini menunjukkan bahawa salah satu persoalan penting dalam hal ini ialah asas seruan tersebut: Apakah ia berlandaskan keikhlasan atau sebaliknya.
Jawapan kepada persoalan ini adalah penting kerana Islam itu sendiri, mengikut al-Quran, berdiri di atas landasan keikhlasan (addin-nul-khalis). Sama ada satu-satu kumpulan itu ikhlas atau tidak ia boleh diukur dari perbuatan mereka.
Dalam kes kerjasama politik antara Umno dan PAS yang begitu hangat diperkatakan sekarang, agak jelas bahawa Umno bersikap ‘ajak-ajak ayam’ yang mencerminkan ketidakikhlasan mereka dalam hal ini. Dari satu sudut, terdapat seruan ke arah kerjasama oleh pelbagai pimpinan Umno, tetapi dalam masa yang sama negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat diserang oleh TV1 dan TV3 khususnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan 'pasir', 'air' dan 'kebejatan moral'.
Sepatutnya TV-TV ini menayangkan dokumentari khas dengan mengemukakan footage filem seperti pertemuan antara Tuan Guru Nik Abd. Aziz dan Dr. Mahathir semasa presmian 'Jambatan Muhibbah' di Pasir Mas; mesyuarat-mesyuarat kabinet yang dihadiri oleh Tun Abdul Razak dan Dato’ Asri dan banyak lagi 'bukti' hitam-putih yang boleh dikemukakan sekiranya Umno betul-betul serius dalam hal ini.
Apakah gambar-gambar lama ini telah dimusnahkan oleh RTM dan Arkib Negara? Bagi mereka yang mempunyai sekelumit fikiran, adalah jelas laungan ke arah kerjasama ialah pada hakikatnya merupakan satu strategi politik Umno-BN untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.
Lebih-lebih lagi, kerjasama ini dicanang diambang pilihan raya umum ke-13. Dalam hal ini adalah wajar untuk PAS bersikap dingin (seperti yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Nik Abd. Aziz) atau menyuarakan penentangan secara terbuka. Dari sudut ini, tidak timbul PAS bersikap 'jinak-jinak merpati' (jual mahal) kerana sejak awal lagi tindakan Umno lebih memihak kepada 'ajak-ajak ayam' (tidak ikhlas).
Sejarah Perpecahan Ummat Islam
Sejarah kehidupan bapa kepada seluruh manusia iaitu Nabi Allah Adam (AS) mungkin boleh memberi gambaran kepada kita unsur-unsur atau faktor-faktor yang menyumbang kepada perpecahan ummat Islam. Nabi Adam (AS) yang tinggal dalam syorga bersama pasangannya Hawa telah dikeluarkan oleh Allah (SWT) dari syorga apabila Adam (AS) tidak mematuhi perintah Allah (SWT) iaitu jangan mendekati dan memakan buah khuldi.
Atas hasutan Iblis dan bujukan Hawa, Adam (AS) akhirnya melanggar perintah Allah (SWT). Begitu juga dengan Iblis yang dikeluarkan dari syorga apabila Iblis tidak mengikut perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Allah Adam (AS) kerana keangkuhan Iblis. Iblis bersifat angkuh kerana merasakan dirinya lebih hebat dari Adam (AS) atas sifat asal-usul kejadiannya. Iblis dijadikan dari api dan Adam (AS) dari tanah. Perlu ditekankan bahawa Iblis semasa di surga adalah Tok Guru kepada para malaikat.
Seterusnys, Adam (AS) di hantar ke dunia secara berasingan dengan isterinya, akhirnya mereka bertemu dan membina keluarga. Anggota keluarga mereka bertambah apabila mereka dikurniakan Allah (SWT) dengan dua anak lelaki, Habil dan Qabil.
Atas sifat ketaqwaan mereka kepada Allah (SWT) yang berbeza (dari segi komitmen), Allah telah menjodohkan mereka dengan bakal isteri yang juga berbeza. Habel yang lebih taqwa kepada Allah(SNW) telah dijodohkan oleh Allah (SWT) dengan pasangan yang lebih cantik berbanding Qabil. Ketentuan Allah (SWT) ini tidak boleh diterima oleh Qabil. Rasa cemburu dan dengki menguasainya dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk membunuh adiknya sendiri. Inilah pembunuhan atau konflik pertama yang berlaku di kalangan manusia.
Kesimpulan dari sejarah awal manusia di atas ialah konflik (dan akhirnya perpecahan) akan berlaku dikalangan ummat manusia (termasuk ummat Islam) apabila manusia tidak ikut perintah Allah (SWT).
Ketiga-tiga hamba Allah (SWT) iaitu Adam (AS), Iblis dan anak Adam (AS) Qabil semuanya melanggar perintah Allah. Adam (AS) tunduk kepada rayuan Iblis dan isteri, Iblis tunduk kepada keangkuhannya (ego) dan Qabil tunduk kepada sifat cemburu dan dendam.
Secara lebih luas, tidak ikut perintah Allah (SWT) juga bermakna tidak ikut syariat Allah (SWT). Dalam hal ini, Umno terkenal dengan sikap mempermainkan syariat Allah. Ambil saja sikap Umno terhadap hukum Hudud yang wajib dilaksanakan oleh pemerintah Islam.
Dr. Mahathir (semasa memegang jawatan Perdana Menteri) melihat pelaksanaan Hukum Hudud dari pertimbangan ekonomi. Beliau mengatakan sekiranya Hukum Hudud dilaksanakan maka banyak tangan orang Melayu akan dipotong, maka orang Melayu tidak boleh bekerja dan mereka akan mundur dalam bidang ekonomi! Ghafar Baba (pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri) pernah mengatakan sekiranya hukum hudud dilaksanakan maka batu-batu ditepi jalan akan kehabisan.
Begitu juga dengan Najib yang telah menghalalkan judi yang terang-terangan telah diharamkan oleh Allah (SWT). Banyak lagi contoh-contoh bagaimana pimpinanUmno mempermainkan (baca menentang) hukum-hukum Allah (SWT) dengan secara yang terbuka.
Sejarah kerjasama Umno-PAS
Ada tiori yang mengatakan bahawa kelahiran PAS adalah dari tulang rusuk Unmo seumpama terciptanya Hawa dari tulang rusuk Adam (AS). Atas dasar ini PAS sebagai 'anak' kepada Umno tidak sepatutnya menentang bapa atau ibu yang 'melahirkannya'. Al-Quran dengan jelas membenarkan anak menentang bapaibu sekiranya bapaibu menentang Allah (SWT).
Atas dasar inilah Ketua Biro Agama Umno Ahmad Fuad bertindak keluar dari Umno dan menubuhkan PAS. Asas tindakan Ahmad Fuad adalah beliau tidak setuju apabila Umno (di bawah Tengku Abdul Rahman) memperkenalkan dan menghalalkan judi atas nama Loteri Kebajikan Masyarakat. Mana mungkin sesuatu yang haram boleh bersifat 'kebajikan'. Atas kesedaran yang sama, apabila Najib menghalalkan judi, sepatutnya 'ulamak-ulamak' dalam Umno secara berbondong-bondong keluar Umno dan mengisi borang keahlian PAS.
Walau bagaimana pun, sejarah politik Malaysia memperlihatkan kepada kita bahwa kerjasama antara Umno-PAS memang betul-betul berlaku pada tahun 1973 atas nama Kerajaan Campuran di Kelantan; akhirnya PAS juga menyertai Barisan Nasional. Kerjasama ini terbentuk hasil dari Peristiwa 13 Mei 1969, dimana kelangsungan politik Melayu dikatakan tercabar.
Maka Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu memohon bantuan dari Dato’ Asri, Yang Di Pertua PAS. Hasil daripada beberapa perbincangan dan mesyuarat, maka wujudlah kerjasama yang dimaksudkan. Apa yang hendak ditekankan disini ialah dalam keadaan yang begitu tersepit, Umno masih mempamerkan ketidakikhlasan mereka semasa merunding kerjasama politik ini.
Ketidakikhlasan Umno dalam rundingan ke arah kerjasama politik dapat dihidu oleh PAS apabila tersebar kenyataan tertutup Tun Abdul Razak dan Mohd Khir Johari bahawa dengan kerjasama ini PAS akan lemah kerana PAS akan "masuk dalam kain sarung Umno". Kenyataan tertutup Tun Razak dan Mohd Khir Johari ini dibincang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS pada 24 November 1972.
Berikutan dengan ini, Dewan Ulamak PAS Pusat mengadakan Muzakarah Khas dengan para ulamak seluruh negara pada 4 Disember 1972. Hasil mesyuarat mendapati 9 ulamak yang mengharamkan kerjasama dan 14 mengharuskannya.
Berpegang kepada keputusan inilah Dato’ Asri berhujah secara bersunguh-sunguh dalam ucapan dasarnya di Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-18 yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 28 dan 29 Julai 1972. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ini, satu usul telah diterima oleh perwakilan memberi mandat kepada Jawatankuasa Agung PAS merunding kerjasama dengan Umno dengan syarat ia tidak mengorbankan prinsip-prinsip perjuangan PAS. Akhirnya usul ini dilulus dengan 142 perwakilan menyokong, 50 membangkang dan 16 berkecuali.
Apabila terbentuknya Kerajaan Campuran, sekali lagi Umno memperlihatkan ketidakikhlasannya dalam peristiwa perlantikan Menteri Besar baru Kelantan yang melibatkan Dato’ Mohd Nasir. Calon yang dipersetujui oleh PAS ialah Timbalan Menteri Besar yang sedia ada iaitu Wan Ismail Wan Ibrahim.
Tun Razak dengan bantuan Umno Kelantan berkeras untuk melantik Mohd Nasir, kerana pada pandangan Umno Mohd Nasir senang dimanipulasi bagi memenuhi tujuan politik Umno. Hasilnya berlakulah pergolakan dalaman PAS dan berakhir dengan perisytiharan dharurat oleh Kerajaan Pusat. Mohd Nasir keluar dari PAS dan menubuh parti baru iaitu BERJASA. Sebagai protes, PAS menarik diri dari berkerjasama dengan Umno.
Dalam pilihan raya Dun Kelantan pada 1978, PAS mengalami kekalahan yang teruk dan Umno mengambilalih pentadbiran Kelantan. Peristiwa ini amat menepati kenyataan tertutup Tun Razak dan Mohd Khir Johari yang dirujuk sebelum ini iaitu dengan terbentuknya kerjasama politik maka PAS akan lemah dan "masuk dalam kain sarung Umno"!
Kecurigaan PAS dalam konteks kerjasama Umno-PAS amat difahami kerana tindak-tanduk Umno memberi isyarat sebaliknya. Ahli-ahli PAS juga cukup arif dengan Hadis yang menyebut bahawa orang beriman tidak akan membiarkan diri mereka dipatuk oleh ular yang sama juga dalam lubang yang sama.
Perpecahan ummat Islam berlaku sepanjang sejarah Islam. Para Rasul Allah senantiasa dilabel oleh penentang-penentang mereka sebagai individu yang bertanggungjawab memecah-belahkan masyarakat kerana ajaran yang dibawa oleh para Rasul. Adalah mustahil untuk kita katakan bahawa dalam hal ini para Rasul Allah yang maksum berada dipihak yang bersalah. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang didokong oleh para ulamak adalah merupakan salah satu mata rantai (pewaris) dari perjuangan para Rasul Allah ini.
Mereka yang menggunakan hujah 'perpecahan masyarakat Islam' selalunya merujuk kepada firman Allah, Surah Ali-Imran, ayat 103 yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai..." Mesej daripada ayat ini amat jelas.
Perpecahan di kalangan ummat Islam akan berlaku sekiranya ummat Islam tidak 'berpegang teguh' kepada Islam. Apa yang dimaksudkan dengan 'berpegang teguh' dengan agama Islam ialah menyakini dengan sepenuh keikhlasan tentang kebenaran ajaran atau syariat Islam. Tidak ada keraguan sebesar zarrah pun dalam hati ummat Islam tentang kebenaran syariat Allah kerana Allah yang Maha Bijaksana.
Dalam hal ini Umno nampaknya berdepan dengan masalah. Adanya segolongan orang Islam yang kurang yakin sepenuhnya dengan syariat Islam dan dalam saat yang sama adanya segolongan orang Islam yang yakin sepenuhnya dengan syariat Islam akan menjadi sebab-musabab berlakunya perpecahan dalam masyarakat Islam.
Faktor asas bagi menjamin kerjasama dan seterusnya perpaduan Islam ialah keyakinan yang tidak berbelahbagi terhadap syariat Islam dan keikhlasan dalam hal ini perlu dibuktikan dengan perbuatan. Selagi initiatif ke arah ini tidak berlaku maka selagi itulah perpecahan dalam masyarakat Islam akan berlaku.- Hj Wan Abdul Rahman Wan Ab Latiff.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan