KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Ogos 30, 2010

Sikap KDN berat sebelah tangani akhbar fitnah: Keadilan bukannya di tangan menteri tetapi di mahkamah! - Prof Dato' Hamdan Adnan


Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar bertegas terhadap mana-mana akhbar yang dipercayai menabur fitnah, termasuk Utusan Malaysia, bukan hanya mengambil tindakan terhadap akhbar yang tidak mesra kerajaan, seperti Harakah, Suara Keadilan dan The Rocket.

Bekas Pesuruhjaya Suhakam, Profesor Dato' Hamdan Adnan, menegaskan KDN perlu bersikap adil dalam menangani semua akhbar yang dikatakan menabur 'fitnah' agar rakyat tidak mempertikaikan kredibiliti mana-mana akhbar.

"Apa yang penting, sikap adil kerajaan (KDN) kepada semua pihak. Tak kira sama ada media kuasaan Barisan Nasional (BN) atau media pro Pakatan Rakyat," tegas beliau ketika ditemui di kediamannya, 23 Ogos lalu.

Hamdan berkata demikian sebagai mengulas tindakan Utusan Malaysia yang didakwa menaburkan fitnah dan mengelirukan rakyat berhubung isu khutbah yang memuatkan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Terdahulu Pengerusi Umno Pulau Pinang, Zahid Hamidi, selepas mesyuarat Badan Perhubungan Umno di Tasek Gelugor pada 19 Ogos mendedahkan kononnya ada khatib di dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggantikan doa yang sepatutnya dibacakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Utusan Malaysia, terus melaporkan secara bermotif dan menjadikan isu itu tajuk utama muka depan, yang jelas boleh menimbulkan kekeliruan, rasa marah dan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat.

Dalam laporan itu, seolah-olah khatib-khatib seluruh negeri telah menerima arahan, menggantikan doa itu kepada doa versi baru untuk Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ditanya sikap kerajaan yang dilihat tidak mengambil kira ianya (laporan itu) sebagai fitnah atau mengelirukan, sebaliknya KDN mengambil sikap lain terhadap lidah rasmi KeADILan, Suara Keadilan yang dianggap menyebar fitnah, Hamdan menegaskan perkara itu memerlukan keadilan untuk semua.

Malah, katanya pihak polis yang menjalankan siasatan juga perlu berlaku adil supaya tidak dianggap hanya mengikut telunjuk BN. Jika ada kes pun, polis sepatutnya diam-diam sahaja bagi mengelakkan dilihat berpihak.

Menyentuh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, beliau mahu akta ini dimansuhkan atau sekurang-kurangnya dipinda bagi membolehkan setiap kes dapat diadili secara adil di mahkamah terbuka, dan bukannya diputuskan oleh menteri.

"Sekarang kalau dibaca akta ini, kuasa menteri cukup besar. Boleh buat apa sahaja. Sepatutnya, apa jua kes, ia boleh dicabar di mahkamah. Ini kerana mahkamahlah tempat rakyat mendapatkan keadilan. Mana ada tempat lain lagi?

"Bila menteri saja yang putuskan ikut budibicara dia, seolah-olah hakim kat mahkamah tak tahu hal-hal akta ini. Untuk dapatkan keadilan mesti di mahkamah bukannya di tempat lain," tegas beliau.

Hamdan turut menyokong Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) memperjuangkan usaha menghapuskan atau meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 agar ia dilihat lebih telus dan adil kepada semua pihak.

Beliau yang dikunjungi Pengerusi dan Setiausaha KAMI, Ahmad Lutfi Othman dan Tarmizi Mohd Jam di kediamannya bagi membincangkan isu akta ini, turut bersetuju agar KAMI memanjangkan sekali lagi kepada Suhakam untuk tindakan lanjut.

Tiada ulasan: