Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan, permasalahan yang dicetus Presiden MCA, Dato' Seri Chua Soi Lek berbentuk resolusi dari kongres ekonomi yang dianjurkan oleh parti itu baru-baru ini, satu lagi manifestasi kegagalan BN dalam memahami kehendak keadilan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyat pelbagai kaum dalam negara ini.
Tegasnya, keadaan ini tambah merumitkan apabila MCA yang merupakan satu parti yang dianggotai oleh golongan elit dan kaya, tidak membela nasib rakyat bawahan berketurunan Cina yang memerlukannya. Kegagalan inilah juga turut dikongsi bersama oleh parti MIC, kata bekas Menteri Besar Terengganu itu kepada Harakah.
Ustaz Abdul Hadi berkata, orang Melayu dalam negara ini tidak boleh lagi terus percaya bahawa Umno akan membela nasib mereka, setelah selama puluhan tahun rakyat sama-sama melihat bagaimana sistem yang ada dalam negara ini menuju kepada pengagihan hasil ekonomi negara kepada kelompok Umno-putra.
"Ketidakadilan ini bukan sahaja dirasai oleh pelbagai kaum yang wujud dalam negara kita, bahkan juga berlakunya diskriminasi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang berlainan fahaman politik dengan kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN," dakwa beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.
Katanya, bukan itu sahaja, politik perkauman sempit dan laungan bersifat rasis kini telah menjadi bahan ugutan dan senjata untuk meraih sokongan oleh pimpinan BN ketika terdesak, seolah-olah rakyat dengan begitu senang boleh dipengaruhi pada zaman langit terbuka ini.
"Saya menyeru agar semua lapisan rakyat dalam negara ini, agar dapat bertenang dan menilai dengan adil tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno-BN," tegas beliau lagi.
Ustaz Abdul Hadi menyeru kepada seluruh rakyat, agar terus bersama PAS dan Pakatan Rakyat dalam melakukan suatu anjakan perubahan dan keluar dari politik songsang mainan Umno-BN ini segera. Katanya, dengan sama-sama meletakkan negara di landasan yang sepatutnya dalam menghadapi cabaran zaman yang mendatang, ke arah suasana yang lebih adil dan aman di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan