KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Ogos 29, 2010

Ambil iktibar untuk ubah diri, keluarga dan masyarakat dari semangat Ramadan



Bekas pesyarah UIAM, Ustaz Zawawi Yusoff membicarakan mengenai transformasi Ramadan yang tidak tercapai oleh kebanyakan orang. Mereka hanya patuh kepada lapar dan dahaga semata-mata, tidak berusaha untuk memulihara pahala puasa. Perkara haram masih diteruskan, walaupun diri berpuasa. Ikuti kupasan menarik pakar motivasi Human Touch Consultant ini. Wartawan INTAN ABDULLAH menerjah isu ini bersama beliau mengapa tranformasi Ramadan gagal. BAHAGIAN 2.

Bagaimana kita boleh mengambil iktibar daripada sirah Rasulullah SAW dan para sahabat untuk mempastikan transformasi berlaku?

Sebenarnya para sahabat ini mereka berubah pada setiap kali turunnya ayat al-Quran. Antara sifat mereka ini adalah sangat takut kepada Allah, redha dengan yang sedikit, beramal dengan apa yang Allah perintahkan dan membuat persiapan untuk menghadapi kematiannya. Mereka mendekati Allah disebabkan oleh akidah mereka yang kuat.  Jadi, semuanya berpaksi kepada akidah seperti mana yang disebutkan Allah bahawa akidah itu umpama pokok yang mempunyai akar tunjang yang kuat, berbuah yang memberi manfaat kepada insan apabila diperlukan. Jadi, sebab itulah mereka boleh berubah kerana bagi mereka apabila diperintahkan Allah akan dilaksanakan, dan mereka boleh menyuruh diri mereka untuk melaksanakannya. Sama juga keadaannya apabila Allah memerintahkan supaya kita berpuasa, tetapi kenapa ada juga yang tidak berpuasa?  Sebab dia tahu itu Allah yang wajibkan, dan keadaan mereka yang tidak berpuasa itu adalah disebabkan mereka tidak boleh (mampu) mewajibkan diri mereka berpuasa. Ini bermakna dia tidak boleh mengikuti kehendak Allah. Jika dia telah menguasai dirinya, maka sudah tentu dia boleh memaksa dirinya untuk mengikuti apa jua perintah Allah. Kebiasaannya apabila akidah tidak ada pada diri seseorang, apa juga Allah suruh dia tidak akan peduli. Akhirnya kita akan buat apa yang kita mahukan dan bukan apa yang Allah kehendaki. Sedangkan kita ini adalah makhluk, sedangkan Allah pencipta. Kalau kita engkar, bermakna kita lawan pencipta.

Apa kaedah atau mekanisme sepertimana yang disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 183 hingga 187 yang menyatakan tentang ibadah solat, berdoa, berpuasa dan al-Quran untuk memastikan wujudnya perubahan pada diri seseorang?

Jika kita teliti kepada syariat iaitu Allah suruh kita solat, sebab ia mencegah kejahatan dan mungkar. Allah suruh berzakat untuk bersihkan harta dan diri. Allah suruh pergi haji sebab hendak didik nafsu, Allah suruh puasa untuk dapat takwa. Jadi pakej takwa itu memang ada pada bulan Ramadan.  Sebab itu kalau tanya tentang takwa, ada dalam berpuasa kerana ia kena berlapar. Ia adalah keadaan kita kehilangan tenaga, kalau hendak bergaduh pun tak jadi. Selain itu Nabi kata modul untuk berubah adalah modul al-Quran. Sebab itu bulan Ramadan ini adalah bulan kita berinteraksi dengan al-Quran, sebab semua kitab diturunkan oleh Allah pada bulan Ramadan, bukan hanya al-Quran saja.

Kenapa kita masih tidak berubah selepas baca al-Quran? 

Ia disebabkan kita telah pisahkan antara perkataan iqra' yang bermakna faham iaitu apabila kita baca selepas itu kita akan faham. Sekarang kita telah pisahkan antara baca dengan faham. Rupa-rupanya baca dan faham itu berbeza. Tetapi ada juga yang baca tapi tidak faham-faham. Jadi, apabila al-Quran ada di depan mata, kita tidak memproses apa yang Nabi dan sahabat buat menyebabkan kita tidak berubah. Walaupun baca al-Quran tetapi tidak memahaminya dan al-Quran ini apa yang peliknya ialah kita boleh membacanya walaupun tidak faham. 

Bagaimana budaya sedekah pada bulan Ramadan?

Ya. Bulan Ramadan ini juga ada ibadah sedekah yang melawan sifat kedekut serta menaikkan sifat memberi. Sebab kita seringkali menunggu pemberian orang pada kita. Sedangkan untuk memperolehi takwa, yakni untuk memperolehi perubahan kita kena memberi terlebih dahulu. Barulah kita boleh menerima. Inilah kaedah yang dipinjam oleh Barat menyatakan 'what you give you get back'. Orang kita hari ini suka bercakap tentang 'human rights' ataupun hak asasi manusia. Jarang sekali kita bercakap tentang hak Allah. Asyik mempertikaikan dan meminta hak manusia, tetapi mana hak Allah yang masih tidak tertunai. Sebab kita tidak faham konsep memberi dan konsep menghormati hak. 

Tiada ulasan: