KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Ogos 29, 2010

Adik Mufti Pulau Pinang, Ustaz Zakaria Ahmad akan saman Utusan Malaysia?


Khatib jemputan, Ustaz Zakaria Ahmad yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini ekoran doa yang dibacakan untuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap media massa dan pihak terbabit kerana memfitnah beliau.

Katanya, pihak beliau mendapati media dan pihak-pihak tertentu cuba mempolitikkan isu tersebut, di samping memfitnah beliau dalam hal ini. Ustaz Zakaria menjelaskan, doa yang dibacanya meminta agar Guan Eng diberikan petunjuk dan hidayah untuk memeluk Islam, selain tidak mengabaikan doa untuk Yang DiPertuan Agong.

"Memang saya tidak menyebut nama Agong secara khusus, tetapi sudah didoakan secara umum apabila menyebut pemimpin-pemimpin negara termasuk baginda.  Saya cuma menambah atas inisiatif saya sendiri untuk mendoakan agar Lim diberikan hidayah.  Itu yang tidak difahami puak-puak Umno," kata beliau ketika dihubungi Harakah. Beliau yang telah membaca khutbah sama sejak setahun lalu, melahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak terbabit yang cuba memfitnah beliau.

"Sudah setahun saya membaca khutbah yang serupa pada bahagian doanya, tapi tidak pernah timbul isu seperti baru-baru ini.  Isu ini timbul hanya di Masjid Sungai Menora, hanya kerana ia dipegang oleh Umno.  Selama ini, tiada masalah pun dengan masjid-masjid lain," tegas beliau selain menafikan bacaan khutbah itu tidak diarahkan kerajaan negeri.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Ustaz Zakaria berkata beliau telah berbincang dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) berkenaan isu ini dan bersedia menerima teguran majlis berkenaan. Katanya, walaupun MAIPP mengatakan khutbah yang dibacanya tidak salah, namun beliau dinasihatkan untuk membacanya di luar khutbah, tidak sebagai khutbah Jumaat.

"Berdasarkan perbincangn dengan MAIPP, mereka berpendirian khutbah saya itu tidak salah.  Cuma pendekatan itu agak salah hingga menimbulkan kekeliruan.  Jadi, mereka minta saya tidak membacanya sebagai khutbah.  Saya menerimanya, saya tidak akan menjadikannya khutbah tetapi akan terus membaca doa tersebut di luar khutbah," tegas beliau.