KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 21, 2010

MAS alami kerugian cecah RM 8 bilion: Tajuddin bebas, SPRM diragui bocor maklumat


Naib Presiden  PAS, Salahuddin Ayub mendesak Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak tampil untuk mengizinkan satu siasatan yang bebas dan telus serta merta terhadap bekas Pengerusi Malaysia Airlines System (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli  yang didakwa masih bebas daripada pendakwaan yang mengakibatkan kerugian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu menelan RM8 bilion.

Salahuddin ketika mendedahkan dokumen berhubung kerugian  MAS itu turut mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap aduan tersebut sebaliknya mendedahkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (JSJK PDRM).

"Ini adalah 'PKFZ' kedua yang menyaksikan rasuah dan penyelewengan kuasa sehingga RM 8 bilion. Ia  amat malang bagi kerajaan Malaysia.

"Siapa sebenarnya yang melindungi penjenayah ini dan kes ini patut disiasat dan siapakah yang melindungi kes ini untuk didakwa kerana ia merupakan kes yang cukup besar?" soalnya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS pada 16 Ogos lalu.

Menurut Salahuddin, berdasarkan dokumen yang diperolehi membuktikan MAS sendiri memberi maklumat  terdapat penyelewengan rasuah yang berlaku pada 2002 ketika pentadbiran dikuasai oleh Tajudin. "Laporan yang dibuat MAS kepada SPRM kenapa tindakan tidak diambil terhadap Tajuddin Ramli. Sepatutnya SPRM siasat perkara itu tetapi dia dedahkan aduan itu kepada JSJK PDRM," katanya.

Beliau menegaskan, dokumen yang diterima itu diserahkan oleh peguam Syarikat Lee Hishamuddin Allen mewakili MAS kepada SPRM kerana ingin mengetahui bagaimana SPRM boleh mendedahkan maklumat itu kepada PDRM.

"Pihak MAS sendiri meragui tindakan SPRM yang jelas gagal melindungi dokumen penting untuk dirahsiakan dalam melakukan siasatan. SPRM perlu segera menjawab mengenai pendedahan maklumat itu supaya dapat membuktikan SPRM melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ketulusan," tegasnya.

Salahuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Khas SPRM yang dianggotai Ahli Parlimen dan Senator, yang dipengerusikan oleh Dato' Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, beliau akan menghubungi pengerusinya agar dapat mengadakan mesyuarat segera bagi membincangkan perkara tersebut. Beliau percaya Tajuddin  tidak seorang diri dalam perkara ini, mungkin ada pihak tertentu yang melindunginya kerana sehingga kini beliau tidak lagi didakwa atas dakwaan penyelewengan tersebut.

Sebelum ini Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian telah membawa isu kerugian MAS kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat kerugian tersebut tetapi tiada sebarang jawapan sehingga hari ini.

Surat  mengenai penyelewengan MAS itu katanya diserahkan kepada Pengerusi PAC, Dato' Seri Azmi Khalid di Parlimen pada 2009. Salahuddin turut melahirkan rasa kesal kerana terdapat beberapa perkara yang memerlukan penelitian dan penyiasatan yang lebih mendalam terhadap isu tersebut  tetapi pihak PAC hanya mendiamkan diri.

Pengurusan MAS telah membuat dua laporan polis tentang penyiasatan PDRM di ibu pejabat polis  Daerah Dang Wangi, yang laporannya bernombor 347/02 pada 4 Januari 2002 dan 12532/05 pada 4 Mei 2005. MAS mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion ketika diterajui Tajuddin antara 1994 hingga 2001.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

We're a group of volunteers and starting a new scheme in our community. Your website provided us with valuable info to work on. You have done an impressive job and our entire community will be thankful to you.

my web page; payday loans