KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Ogos 27, 2010

Ingatlah, puasa bukan sekadar lapar dahaga, tapi bulan bina jati diri muslim sejati

Ramadan telah bertandang menemui umat Islam di serata dunia. Namun terdapat beberapa persoalan yang timbul dalam melaksanakan amalan tersebut dengan lebih baik pada kali ini, untuk memastikan matlamat pensyariatan ibadah ini tercapai dalam tingkat  takwa. Ikuti wawancara INTAN ABDULLAH dengan pensyarah di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ustaz Mohd Nizam Abdul Kadir, bagi membicarakan ibadah mulia ini.

Bagaimana nak ubah cara masyarakat berfikir daripada 'makan-makan' kepada tingkatkan amal ibadah sepanjang Ramadan?

USTAZ MOHD NIZAM ABDUL KADIR: Nafsu perut ia tak makan dalam masa yang lama, yang digelarkan istilahnya sebagai qadha semula segala jenis makanan yang tertinggal. Dan ada satu lagi konsep yang dipanggil jama' iaitu takdim dan ta'khir. Ia bukan sahaja digunakan dalam bab solat sahaja bahkan dalam bab makan pun ada. Sebelum daripada masuk 1 Ramadan itu, dia makan dengan bersungguh-sungguh, itulah yang digelar jama' takdim sebab bulan Ramadan kita tidak boleh makan. Jadi, mereka makan dengan bersungguh-sungguh bermula daripada bulan Rejab dan Sya'ban. Kemudian bila masuk Ramadan, berbuka puasa setiap hari, dengan tiada sarapan pagi, pukul 10 tidak makan, makan tengahari pun tiada, minum petang tiada, semua itu dijama' takhirkan ketika waktu berbuka puasa. Inilah yang dikatakan sebagai jama' takdim dan jama' takhir dalam makan ataupun qadha'. Walaupun masyarakat kita tidak mengenali istilah ini dalam bab makan, tapi konsepnya tetap sama. Inilah yang dikatakan sebagai hawa nafsu yang lahir daripada tipu daya syaitan.

Apakah tumpuan ibadah yang afdal?

Ibadat pada bulan Ramadan ini lebih bertumpu kepada ibadat sunat pada waktu malam. Sebab kita faham daripada dua hadis Rasulullah bermaksud sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, ia lebih cenderung kepada waktu siang, manakala untuk malam pula Rasulullah bersabda yang bermaksud barangsiapa yang qiyam Ramadan iaitu merujuk kepada qiyamullail atau menghidupkan malam. Banyak ibadat yang boleh dikerjakan sama ada tadarus al-Quran, mengerjakan solat pada waktu siang dan pada malamnya pula diisi dengan tahajud dan sebagainya. Syaitan pula bertugas untuk menggagalkan kesemua ibadat yang ingin dijalankan oleh seseorang muslim. Kalau dipenuhkan perut, ini akan memudahkan lagi kerja syaitan, dia boleh rileks. Solat Maghrib pun berkemungkinan boleh tergadai, solat Isyak barangkali boleh berjamaah tetapi solat tarawih itu sunat sahaja. 

Tabiat berbuka puasa akan memberi kesan kepada ibadah yang akan dijalankan?

Iya, akan terus dijalankan. Benarlah kata orang iaitu Ramadan ini boleh jadi pesta makan atau pesta ibadah. Tetapi kalau lebih tumpu kepada makan ibadah kita akan gagal, begitu juga kalau kita sederhana, kita akan berjaya. Maka kita hendaklah bijak dalam menangani hal makan. Allah pun suruh kita makan tapi Dia kata jangan berlebih-lebihan.

Ramadan juga dikaitkan dengan 'shoping' yang bertentangan dengan ibadah sedekah yang dianjurkan. Selepas Ramadan, Syawal adalah bulan raya. Maka ramai yang 'shoping' sehingga terlupa tentang ibadah sedekah ini. 

'Shoping' tiada masalah cuma dalam Islam ianya perlu dengan kesederhanaan. Kalau setakat sepasang atau tiga pasang baju baru ia masih boleh diterima, tapi kalau sampai lima pasang baju baru atau lebih ianya sudah dikira membazir. Dengan penurunan harga ini, di situ boleh berlaku penipuan harga dalam masalah jualan murah ini. Sifat manusia, walaupun kadang-kadang jualan turun tetapi dia tidak beli yang murah dia tetap beli yang mahal juga. Dalam satu pasaraya tidak semua barang boleh diturunkan harga, ia mempunyai had-had yang tertentu. Masa hendak beli itu mungkin ada persepsi membeli barang yang terlalu murah pula. Hendak bergaya pada hari raya. Cuma ambil kesempatan pada jualan murah tetapi tetap membeli barang yang mahal juga.

Mengapa runtunan nafsu ini gagal dikekang?

Ini disebabkan nafsu hendak bergaya dan menunjuk kepada orang ramai ketika itu. Satu lagi sifat manusia, ialah bagaimana dia rasa takut hendak berikan RM50 atau RM100 untuk bersedekah yang dirasakan tiada apa-apa input yang diperolehi. Sebaliknya dia boleh habiskan RM500 untuk shoping. Orang perempuan beli sofa berharga RM1200, balik marah pada anak sebab pijak-pijak sofa yang mahal itu. Dalam sedekah pula dengan nilai RM100, terasa berat hati untuk berikan. Sebab dia rasa tidak wajib dan hanya sunat sahaja. Ia berlawanan dengan sunnah Rasulullah banyakkan sedekah. Dalam satu syair menyatakan konsep berhari raya iaitu bermaksud bukanlah berhari raya itu bagi orang yang berpakaian baru. Sesungguhnya hari raya itu untuk orang yang bertambah amal ibadahnya. Itu konsep dalam syair yang boleh dipegang sebagai pedoman dan panduan kepada kita. Rasulullah berhari raya memang pakai baju baru, begitu juga dengan hari Jumaat iaitu baginda sunnahkan pakai baju baru, bersih, elok dan sebagainya. Tapi tidaklah sampai berlebihan, kerana 'shoping' yang difahami dalam budaya kita mesti banyak. 

Bukankah Ramadan itu boleh membantu didik nafsu dengan bersedekah?

Kalau dilihat kepada konsep sedekah, ia tidak dapat dilihat manfaat secara fizikal kepada seseorang kerana kita memberi dan tidak menerima apa-apa sebagai balasan fizikal. Ia tidak kelihatan, sebaliknya shoping nampak benda yang diperolehi dengan wang itu. sedekah hanya dapat pahala yang tidak nampak. 'Shoping' menghabiskan masa yang banyak sedangkan sedekah hanya bersifat sekejap sahaja.  'Shoping' dapat pahala sedikit malah mungkin dapat dosa sampingan pula tetapi sedekah pula pahala banyak. Payah kita hendak dapat dosa, kecuali kalau dia hendak riyak. Ia ada beberapa perbezaan antara 'shoping' dan sedekah.  Kita telah kenal pasti iaitu 'shoping' lebih syaitan sukai, sedekah ini dibenci olehnya. Sebab pahala banyak di sini dan ia akan bersihkan diri orang yang bersedekah itu dengan sifat yang kedekut, sombong dan sebagainya. Maka syaitan akan halang sedekah.

Kebetulan sambutan hari kemerdekaan jatuh pada bulan Ramadan tahun ini. Apakah cara sambutan yang lebih baik menepati konsep Ramadan, pada pandangan ustaz?

Tawaran hebat Ramadan ini adalah benda yang sukar untuk ditanggapi kerana tidak kelihatan. Ianya bersifat akhirat iaitu jauh dari kita. Berdasarkan satu pemikiran yang tidak percaya kepada agama iaitu rebut benda yang dekat biarkan yang jauh, ambik benda yang nampak, pasti kerana akhirat belum pasti. Itu yang mereka pegang. Peluang untuk bawa kembali anak-anak muda untuk isi sambutan kemerdekaan lebih menghayati watak Ramadhan. Konvoi sebagai musafir tetapi kena berpuasa. Walaupun ada rukhsah musafir boleh buka puasa tetapi kita rugi. Sebab bukanlah satu keperluan untuk konvoi itu tetapi kita hendak meraikan puasa itu. Itu siang hari Ramadan. Mungkin kalau ada perarakan, kita takut akan ada orang ambil kesempatan, letih berarak. Ini menyebabkan dia berbuka puasa sedangkan tiada rukhsah. Sudah tidak meraikan, kalau musafir itu ada tujuan yang patut jauh perjalanan, urusan yang tidak dielakkan. Tapi semata-mata nak konvoi patut dilihat semula. Mungkin ada yang tidak berpuasa kerana letih berarak beratur lama, ia telah melanggar hukum syarak ketika itu. Malamnya mungkin konsert. Peluang kita ubah kepada lebih Islami, selain itu dengan ibadah terawih, qiyamullail, tadarus, apatah lagi esoknya diberikan cuti. Kelab remaja, imarahkan masjid. Apatah lagi kita lihat apabila masuk ke 10 malam terakhir.

Ramadan sebagai universti atau madrasah. Banyak subjek supaya kita boleh graduasi segulung ijazah Ramadan. Tiga fasa Ramadan...

Awalnya rahmat, keampunan dan bebas dari api neraka. Kecemerlangan ini untuk dapat A dalam madrasah Ramadan ini apabila kita dapat mencapai tahap orang-orang yang bertakwa. Itu adalah kejayaan dalam madrasah yang kita lalui ini. Sebaliknya, jika tidak berjaya dapat sijil tersebut bermaksud kita gagal.
Ia hanya berjaya mencapai atau gagal, sebab itu suka saya sebutkan definisi puasa ini adalah tidak memadai defisini yang lama, iaitu tidak makan dan tidak minum dan perkara yang membatalkan puasa. Walaupun ianya betul, tetapi kalau orang yang dewasa tidak boleh berpegang dengan definisi itu lagi. Dia kena pegang dengan yang lebih tinggi lagi iaitu suatu panduan Rasulullah yang disebutkan sebagai sesiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan amalan dusta (yang berkaitan dengannya) dalam erti kata akhlak yang kotor, tidak elok, yakni tidak meninggalkan akhlak yang tidak elok maka Allah tidak berkehendak untuk dia meninggalkan makan dan minumnya. Yakni Allah tidak berkehendak dia berpuasa, dalam erti kata Allah tidak terima puasanya. Ianya sah tetapi dari segi pahalanya tidak ada, makbul tiada. Ianya sekadar tidak makan dan tidak minum. Pandangan seorang ulama, Ibnu Hazm berkata puasa seseorang batal dengan setiap maksiat yang dilakukan, ianya batal terus sebagai mana kalau makan dalam bulan puasa. Ia merangkumi semua jenis maksiat tanpa mengira kecil atau besar. Ia pandangan yang keras tetapi ia adalah suatu sikap bagaimana hendak menjaga kualiti puasa itu, ia dikira batal.

Terlalu keras tu. Ada pandangan yang lebih sederhana Ustaz?

Pegangan yang lebih sederhana, iaitu pahala puasa akan berkurang dengan maksiat yang dilakukan. Bukan batal tetapi kurang pahala dengan maksiat itu. Kalau kita kaitkan soal itu, konsep difardukan puasa semoga kamu bertakwa. Kita lalui sekolah Ramadan, di akhirnya adalah takwa. Kalau tidak berjaya dapat takwa ianya bermakna kita gagal. Kita lihat prosesnya, kalau dia sekadar puasa tidak makan minum, tetapi mengumpat maksiat mata tidak jaga, segala jenis maksiat dibuat dengan anggapan asas tidak makan, minum, puasa tidak batal. Kalau begitu puasa, malam terawih sunat sahaja, buka puasa makan semuanya. Kalau setakat puasa tidak makan minum sahaja, bagaimana hendak capai tahap ketakwaan?

Maknanya pancit di tengah jalan...

Iyalah. Malam pertama dan kedua sahaja terawih, kemudian beraya pulak. Macamana proses Ramadan hendak membentuk seseorang itu. Sebab itu ayat 183 surah al-Baqarah dikaitkan dengan ayat 184 kena ada kaitan dengan al-Quran, kemudian ayat 185 dan 186 masalah iktikaf. Bermula daripada 183 hingga 187 ia ditekankan tentang puasa kemudian 186, tentang doa kepada Allah. Ayat 183-187 semuanya berkait tentang puasa. Itu merupakan asas, kerana apabila disebut tentang al-Quran dalam ayat-ayat berkenaan bermakna segala apa yang berkait tentang al-Quran. Barulah ia melalui proses Ramadan dengan berjaya. Jika tidak, sekadar tidak makan atau tidak minum.

Tiada ulasan: