PAS menyifatkan cadangan memansuhkan diskaun Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial di Selangor oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua bersifat peribadi. Malah, isu tersebut belum pernah dibawa berbincang dalam Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) dan DAP.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan perkara ini selepas majlis pelancaran buku terbarunya bertajuk Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin di Masjid Rusila, Marang, 6 Ogos lalu.
"Pandangan (mansuh diskaun Bumiputera) itu lebih bersifat peribadi (Tony Pua). Sebenarnya, kita (PAS) belum bincang apa-apa lagi perkara (isu) itu di peringkat Pakatan Rakyat. Dengan sebab itu, kita (PAS) kena bincang di peringkat Pakatan Rakyat (PAS, KeADILan dan DAP). Apa yang berlaku hari ini tidak sampai ke (sasaran) Bumiputera pun, sampai kepada pemimpin-pemimpin Umno sahaja," jelasnya ketika ditanya pada sidang media tersebut.
Menurut Ustaz Abdul Hadi, Umno cuba menjuarai isu hak Bumiputera yang sebenarnya dimonopoli oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja. Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang bagaimana pun mengakui belum melihatnya secara 'detail' hasrat cadangan pemansuhan diskaun pemilikan hartanah kepada Bumiputera tersebut.
Kata beliau lagi, secara realitinya yang ada dalam negara ini majoriti rakyat adalah Bumiputera yang masih miskin. Menurutnya, Islam juga tidak membenarkan berlaku zalim terhadap kaum serta bangsa lain yang memerlukan pembelaan.
"Saya tidak melihat 'detail' tapi saya melihat realiti yang ada dalam negara kita (Malaysia) bahawa majoriti rakyat adalah bumiputra dan yang miskin adalah Bumiputra.
"Sebab itu, kita (PAS) perlu melihat majoriti rakyat yang mengalami masalah kemiskinan. Dalam masa sama, kita (Islam) wajib membela kaum lain yang miskin dan yang patut juga dibela. Kita (Islam) tidak boleh menzalimi kaum lain dalam keadaan kita (Melayu) membela kaum kita sendiri," tegasnya.
Sementara itu, Ustaz Abdul Hadi berkata rasionalnya penerbitan buku terbaru tersebut bagi memberi pemahaman Islam kepada masyarakat di negara ini. Ini kerana, katanya Islam adalah penyelamat ummah dan orang Islam patut berbangga serta bermegah dengan agama tersebut.
"Harapan saya ialah supaya masyarakat memahami Islam ada peranannya. Islam adalah penyelamat.Khusus bagi orang Islam sepatutnya mereka bukan sahaja beriman dengan Islam. Mereka (umat Islam) berbangga dan bermegah dengan Islam setelah kegagalan kuasa besar dunia," ujarnya.
Buku terbaru karangan Tuan Guru Abdul Hadi bertajuk Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin telah dilancarkan oleh Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Hussin Awang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan