KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Ogos 04, 2010

"Perpaduan Melayu" untuk tutup penyelewengan tegar Umno-BN

Parti Islam Semalaysia (PAS) sentiasa mengingatkan semua pimpinan dan ahli PAS di semua peringkat supaya jangan terpedaya dengan taktik media Umno untuk menenggelamkan isu negara yang bertimbun-timbun sekarang yang mengambarkan kerajaan yang ditunjangi Umno-BN semakin rapuh dan reput. 

Ketika gelombang krisis keyakinan kepada Umno dan BN di bawah pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak sedang karam, maka produk perpaduan Melayu dijadikan sebagai benteng untuk menutup bangkai gajah yang terlalu besar. 

Slogan 1 Malaysia nampaknya tidak menjadi dengan gelagat Perkasa dan kenyataan pedas Dato' Nasir Safar. Slogan ini hanya menjadi pemanis mulut tetapi sebanrnya hampas kepada rakyat. Tidak ada makna slogan ini diterapkan, kerana dalam masa yang sama Umno terus keras dengan asobiyah Melayunya, dan menikam parti-parti bukan Melayu lain dalam BN secara halus.

PAS menyedari ini adalah sebahagian daripada taktik media untuk mengalih isu yang sebenar dan melupakan isu pokok yang mencengkam rakyat. Mereka melontarkan isu ini melalui proksi mereka Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Perak, yang hendak menjadi perantara, untuk  menunjukkan bahawa mufti yang mencadangkan perpaduan ini. Bukannya Umno tetapi mufti. 

Apabila PAS menolak, maka adalah peluang untuk Umno menduduh PAS sombong dan angkuh, tak mahu kepada perpaduan. PAS yang tak mahu bukannya Umno, begitulah propaganda mereka nanti. 

Perlu diingat bahawa isu perpaduan Melayu diuar-uarkan ketika rakyat didahulukan dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga gula pada 16 Julai 2010. Pemimpin Umno mahu rakyat leka dan berbincang  mengenai isu perpaduan Melayu, yang tidak pernah berbangkit langsung dalam mesyuarat tertinggi PAS. 

Hajat Umno supaya rakyat tidak marah mengenai kenaikan harga minyak, gas dan gula. Perlu dingatkan bahawa gula, tepung dan minyak akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat ke arah untuk menghapuskan subsidi di negara ini dalam masa 3 hingga 5 tahun.

PAS hendak mengingatkan kepada rakyat, bagaimana pihak atasan negara mengarahkan editor-editor media utama agar jangan sama sekali menggunakan tajuk berita "harga barang naik" ketika ditaklimat pada 15 Julai 2010. 

Sebaliknya, media perlu meletakkan "subsidi dikurangkan", "rasionalisasi", "menstrukturkan semula" supaya rakyat menjadi tidak faham, malah ada yang faham dengan tindakan kerajaan itu, bahawa harga barang turun. 

Maka tidak hairanlah kepada kita, pada hari ini media proksi Umno-BN memainkan isu perpaduan Melayu supaya rakyat lupa isu negara yang begitu banyak dan kenaikan harga barang.

PAS hendak memaklumkan kepada semua ahli dan pimpinan parti supaya fokuskan kerja kita untuk mengantikan Umno di negara ini. Penerangan dan dakwah kepada ahli Umno yang tidak faham perjuangaan PAS perlu dilakukan secara berterusan, usah dilayan segala ajakan dan pujuk rayu Umno untuk melamar PAS. Kita biarkan cinta Umno tidak berbalas dan biarkan Umno 'angau' seorang diri.

Petunjuk ekonomi negara semakin tertekan dengan kadar faedah pinjaman bank dinaikkan. Bank Negara Malaysia (BNM) pada 8 Julai lalu menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi kali ketiga tahun ini kepada 2.75 peratus. 

Susulan itu, bank turut menaikkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) masing-masing. Maybank menaikkan BLRnya sebanyak 0.25 peratus kepada 6.30 peratus. Semuanya gara-gara pemimpin negara yang boros dan rasuah sehingga amat dirasai oleh rakyat biasa di negara

Begitu banyak isu-isu negara yang mengambarkan Umno-BN sudah tidak mampu mengemudi negara, antaranya peruntukan saham bumiputera lesap sebanyak RM52 bilion; kadar jenayah meningkat; anak luar nikah Melayu sahaja 17,303 orang (2009); enjen kapal terbang hilang; kapal selam berharga RM1.7 bilion tidak boleh menyelam; hutang negara RM362.4 bilion; serah telaga minyak blok L dan M pada Brunai bernilai RM320 bilion (kalau perbelanjaan negeri Kedah RM400 juta, dapat belanja selama 700 tahun);  terlepas Pulau Batu Putih pada Singapura; Pos Malaysia rugi RM 227 juta; 217 hektar tanah serah pada Singapura; serah 50 peratus kepada Singapura untuk membangun Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI); wang Felda susut daripada RM4.08 bilion 2004 hanya tinggal RM1.35 bilion pada tahun 2009; membazir wang rakyat RM77 juta kepada APCO Israel setahun untuk menjadi penasihat komunikasi dan bermacam-macam lagi kepincangan Umno-BN sepanjang memegang tampuk kuasa.

Isu-isu inilah yang perlu disampaikan kepada rakyat, maka jangan kita hiraukan pujukan Umno-BN melalui proksinya, PAS sudah tegas dengan Paktan Rakyat. PAS tidak akan mencari nahas untuk untuk mencari pasangan hidup dengan orang yang ada masalah kesihatan yang sukar hendak diubat. - Ustaz Idris Ahmad

Tiada ulasan: