MURSYIDUL AM PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya bahawa jika Umno tidak menjadikan Islam sebagai landasan penyatuan Umno-PAS, maka selagi itulah orang Melayu tak akan bersatu. Beliau juga menolak dakwaan kononnya beliau menjadi 'penghalang' utama kepada penyatuan Umno-PAS di negara ini. Sebaliknya menegaskan ketetapan itu adalah keputusan Muktamar Tahunan PAS di Ipoh dan Shah Alam. Jika Umno menerima dasar Islam, beliau mengingatkan PAS bukan lagi keseorangan sebaliknya ada rakan akrab DAP dan PKR yang patut diberi perhatian. Ikuti wawancara wartawan INTAN ABDULLAH bersama beliau di Rumah Kelantan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada pendapat Tok Guru, apa hubungan antara Melayu dan bangsa-bangsa lain dalam konteks penyatuan Umno-PAS seperti yang dicanangkan?
TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT: Seorang manusia yang bergerak dalam Islam, secara automatik dia bergerak untuk menyatukan orang Melayu dan orang Cina, India. Bukan kerana hendak menyatukan orang Melayu semata-mata. Ini orang yang menerima Islam. Kita bela orang Melayu sehinggalah ke sekarang ini. Ia menjadi asas dan tapak bagi orang Islam di Malaysia.
Sebab itu secara automatik orang yang bergerak atas nama Islam, dia menjaga Melayu dan manusia yang berbangsa lain juga. Oleh yang demikian tidak timbul masalah hendak bersatu dengan Umno. Ini kerana Umno, dia tolak Islam secara jelas, dengan niat atau dengan sengaja. Jadi, bila kami orang PAS yang membela Islam... lepas itu berkawan dengan orang yang tidak membela Islam, kita hendak buat macam mana?
Maknanya Umno kena kembali kepada dasar Islam?
Itu usul yang paling baik bagi orang Umno. Mereka kena pujuk pemimpin mereka (Umno) agar menukar dasar kebangsaan kepada dasar Islam. Maka tidak perlu lagi timbul masalah satukan PAS dengan Umno kerana secara automatik ia akan jadi satu. Jadi persoalan sekarang adalah kenapa Umno tidak mahu jadikan Islam sebagai asas perjuangan? Sedangkan Islam ini datangnya daripada langit melalui Nabi Muhammad SAW. Ini yang orang tidak boleh faham. Sebab itu sejak akhir-akhir ini, tengah dia (Umno) kalut hendak bela Islam, dia halalkan judi bola secara terang-terangan. Semakin hari semakin nampak tembelangnya, bagaimana untuk PAS hendak bersama dengan Umno?
Jika Umno ubah dasarnya menjadi Islam apa sikap PAS pula?
Secara automatik dia (Umno) jadi bersatu dengan Melayu, cuma satu lagi Umno kena ingat PAS sekarang bukan bersendirian kerana kita bersama dengan Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP. Jadi, jika bersama dengan Umno kalau mereka ubah dasar, maka kena bawa sama (semua parti dalam Pakatan Rakyat). Dia (Umno) tiada sebab tidak boleh terima DAP, kerana semuanya adalah manusia belaka. DAP adalah orang Cina tapi manusia juga. Kenapa (kalau) MCA Umno boleh terima, inikan pula dengan DAP...
Ada yang menganggap Tok Guru menjadi penghalang kepada usaha perpaduan menyatukan Melayu ini? Apa reaksi Tok Guru?
Tidak betul (pandangan itu). Itu adalah keputusan parti. Untuk itu, saya ini adalah antara orang yang memberikan dalil, semangat dan dakwah kepada penyokong PAS. Saya hanyalah antara individu yang memberikan sokongan, tetapi bukan saya. Ini adalah keputusan parti. Selama dua tahun berturut-turut ianya diputuskan dalam Muktamar Tahunan PAS di Ipoh Perak dan di Shah Alam, Selangor. Bukan keputusan saya. Keputusan jamaah.
Tok Guru setuju jika pilihan raya umum dibuat awal di peringkat Kerajaan Negeri berasingan dengan Kerajaan Pusat?
Tidak setuju kerana bila kita buat awal, Umno di negeri-negeri lain akan berkumpul, datang berkampung di negeri yang diadakan pilihan raya. Ini sangat merbahaya. Ini kerja yang tiada strategi dan taktik yang tidak betul.
Pakatan Rakyat ada menuntut dalam pilihan raya umum akan datang SPR melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam pengundian?
Ini isu teknikal cumanya saya setuju begini. Contohnya di luar negeri seperti di India. Saya tinggal di sana sewaktu belajar dan sempat mengundi dengan menggunakan dakwat sebagai tanda. Dakwat yang dia tandakan di tangan kita memang sukar untuk ditanggalkan. Pada masa itulah kita diberi masa untuk mengundi. Saya setuju untuk buat sebarang usaha agar tidak berlaku pengundian berulang atau mengundi dua kali. Ia adalah kaedah untuk elak daripada hal ini berlaku.
Berdasarkan 'mood' rakyat sekarang, Tok Guru apakah parti yang jadi perhatian sejak pelbagai isu yang menekan rakyat makin menjadi-jadi...
Kalau rakyat Kelantan memanglah (sokong PAS). Itu telah jelas daripada negeri Kelantan diperintah Umno. Sehinggalah PRU 1990 menyaksikan PAS jadi parti pilihan rakyat. Sehingga sekarang PAS masih mentadbir (Kelantan) walaupun Umno (menggunakan) bermacam-macam tindakan, diskriminasi, tekanan untuk berkuasa semula. Pagi tadi saya berada di Jerantut, nampak dengan jelas orang Cina dan India yang mengikuti majlis bersama saya. Yang tak datang, saya tidak tahulah bagaimana. Memang orang sangat-sangat menginginkan Pakatan Rakyat. Dan mereka berasa bangga mengenakan baju yang mempunyai lambang PAS tanpa mengira bangsa apapun. Begitu juga ada yang memakai lencana yang mempunyai gambar saya dan Ustaz Hadi dengan bebas. Mereka berasa bangga. Dia pun (Umno) kempen, kita pun kempen.
Tok Guru berpuas hati dengan prestasi negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat setakat ini?
Saya tak berapa suka masuk (campur) dalam perkara-perkara teknikal seperti ini. Ini kerana saya pegang dasar. Masalah yang timbul di Selangor atau Pulau Pinang, itu saya serahkan kepada pentadbiran mereka.
Ada yang menyatakan tarbiyah dalam PAS sudah semakin longgar. Apa komen Tok Guru sebagai Mursyidul Am PAS?
Tarbiyah dalaman PAS saya selalu pesan, apabila kita ceramah tidak perlu banyak menyebut tentang isu (tetapi) kena sebut tentang asas Islam. Kalau sebut tentang masalah ekonomi sekarang, sebut ekonomi yang ada sekarang ini bercanggah dengan Islam. Dengan ribanya, rasuahnya, tirisnya. Ini kita panggil dalam Islam sebagai maksiat atau derhaka kepada Allah. Derhaka ini bila kita buat dosa maka ia umpama memanggil bala turun. Misalnya kalau di Kelantan, kita panggil ianya sebagai sita. Malam-malam orang panggil ianya sebagai sita, burung sita itu akan turun. Bila kita buat maksiat ibarat kita memanggil bala turun. Banyak ayat al-Quran yang menyebut - bizanbihim; bila Allah SWT sebut; "Aku turunkan bala, bizanbihim - kerana dosa mereka."
Bila manusia buat dosa, mahu atau tidak, ibarat kita bawak bala Tuhan turun. Sebab itu antara takrif bagi tamadun ialah 'amanu wattaqaw' iaitu bila kita beriman kepada Allah dan hari akhirat dan takwa terus-menerus dalam semua bidang, maka Allah akan buka berkat dari semua sumber, bukan daripada bumi sahaja. Tetapi bumi dan langit. Bermacam-macam berkat, antaranya ialah berkat berasa bersaudara hidup, tidak kira kaum Melayu, Cina atau India terasa persaudaraannya. Ini berkat yang payah diperolehi. Orang tidak berasa seronok, hendak mencuri, rasuah kerana kita didik manusia ini dengan takwa kepada Allah. Bukan didik dengan mewah, dicanangkan kebendaan itu ukuran negara maju. Tidak. Negara maju bukan begitu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan