KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Ogos 16, 2010

Saman ekor: Kase pertimbang lakukan semakan kehakiman jika kerajaan Umno-BN enggan!

Lebih 60 pemilik kenderaan yang menjadi mangsa saman ekor hadir pada pertemuan anjuran Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) bertempat di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), 10 Ogos lalu.

Pengerusi Kase, Dato' Mahfuz Omar yang juga Naib Presiden PAS menegaskan pertemuan tersebut diadakan bagi menjelaskan kepada masyarakat tentang kedudukan dan status saman ekor sama ada sah atau tidak daripada segi undang- undang.

Mahfuz melahirkan rasa kesal kerana isu yang sudah sekian lama menjerut rakyat itu baru, kini baru mendapat perhatian kerajaan. Beliau menegaskan, jika kerajaan masih menghalang pemilik kenderaan membayar cukai jalan dan menggunakan kenderaan di jalan raya, Kase akan mempertimbangkan untuk membuat semakan kehakiman.

"Kita sebenarnya tidak berhasrat membuat semakan kehakiman kerana sudah terdapat keputusan mahkamah yang dibuat di Kuching Sarawak, seorang pemilik kenderaan yang meminta dibuat semakan kehakiman di atas keputusan JPJ yang menghalang beliau memperbaharui cukai jalan.

"Mahkamah Tinggi Kuching telah membuat keputusan tindakan yang dibuat JPJ itu salah dan bercanggah dengan Perlembagaan serta menyalahi perundangan negara kita.  Keputusan mahkamah tersebut sebenarnya sudah cukup untuk diguna pakai oleh JPJ untuk membenarkan seluruh mangsa saman ekor ini memperbaharui saman ekor tanpa perlu membayar kompaun saman ekor," katanya dalam ucapan aluan majlis tersebut.

Mahfuz mempersoalkan, jika kerajaan masih berpegang tindakan yang dilakukannya itu betul, kenapa kerajaan tidak bersedia membawa 'pesalah-pesalah' itu ke mahkamah. Beliau yakin kerajaan sendiri tidak mempunyai hujah daripada segi perundangan untuk mengheret 'pesalah-pesalah' saman ekor ini ke mahkamah.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kase yang juga salah seorang peguam, Zulhazmi Shariff menegaskan polis dan JPJ tidak mempunyai hak serta kuasa menghukum mangsa saman ekor kerana polis trafik yang berhak mengeluarkan notis dan kesalahan trafik. JPJ pula katanya bertanggung jawab memperbaharui lesen memandu serta cukai jalan kenderaan sama ada milikan persendirian atau perniagaan.

Katanya lagi, tindakan JPJ menyenaraihitamkan serta menghalang mereka yang terbabit dari memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan prinsip keadilan hak serta hak asasi manusia.

"Prinsip umum undang-undang telah menyatakan 'seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah' melalui proses pengadilan di mahkamah," katanya.

Pada majlis berkenaan, seorang mangsa saman ekor, Subramani Rengasamy meluahkan rasa tidak puashatinya apabila berhadapan dengan kerenah sistem perundangan jalan raya negara ini. Katanya, dia pernah ditahan polis dan minta dibicarakan atas dakwaan melanggar Seksyen 53 Akta Pengangkutan Jalan.

"Polis kata saya langgar garisan 'zebra'... masa itu saya minta sapina mahkamah dan panggil seorang pakar undang-undang JPJ untuk dia sahkan perkara tersebut sedangkan pada waktu itu, garisan 'zebra' tidak diwartakan lagi," katanya.

Exco Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamzan yang turut serta pada majlis tersebut turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan JPJ menyenarai hitam pemilik kenderaan terbabit.

Jelasnya, beliau juga menerima aduan daripada orang ramai yang  tidak berpuas hati dengan saman ekor yang dikenakan, malah ada antara mereka tidak dapat memperbaharui cukai jalan akibat saman ekor yang dikenakan sepuluh tahun lalu tetapi hanya dinyatakan pada tahun ini.

Majlis kira-kira dua jam itu juga turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan Adun Paroi, Mohamad Taufek Abdul Ghani yang juga Timbalan Pengerusi Kase. Mangsa saman ekor boleh mengemukakan aduan dan pandangan mereka kepada Kase melalui emel; parlimen.pas@gmail.com.

Tiada ulasan: