KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Ogos 27, 2010

Benarkah pesta sambut tahun baru yang dirayakan anak-anak muda itu galakkan zina?


Fenomena pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini menunjukkan trend kejadian itu berlaku pada Julai, Ogos dan September. Pelbagai pendedahan di dada akhbar dilihat menjurus kepada ketiga-tiga bulan tersebut, selaras dengan tempoh seseorang wanita mengandung iaitu selama sembilan bulan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, berkata berdasarkan pemerhatian beliau gejala pembuangan bayi pada bulan-bulan tersebut menunjukkan berlakunya penzinaan pada bulan Disember.

"Dalam bahasa mudah, bulan Julai, Ogos dan September adalah bulan melahirkan, sama ada pada usia kandungan tujuh bulan, lapan bulan atau sembilan bulan, manakala pada Disember tahun sebelumnya bulan mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan penzinaan," kata beliau dalam satu kenyataannya kepada Harakah.

Menyedari Disember sebagai bulan akhir pada kalendar tahunan, Nasrudin menjelaskan pada bulan tersebut, pesta sambutan tahun baru yang lazimnya diminati golongan remaja dilihat menyumbang ke arah gejala maksiat yang melampau.

"Kita sedar pesta sedemikian banyak menyumbang ke arah gejala sosial yang menjadikan golongan muda-mudi hanyut melayan nafsu liar mereka sehingga ada yang megandung di luar nikah, yang akhirnya menjadikan bayi-bayi malang sebagai mangsa," tegas beliau.

Mengulas lebih lanjut, Nasrudin menegaskan sudah sampai masanya kerajaan bertindak drastik seperti mengurangkan program televisyen yang berbentuk hiburan melampau, membanteras pusat-pusat hiburan serta penjualan bebas video lucah.

Dalam masa sama, katanya semua pihak di pelbagai peringkat perlu berganding mahu dalam menjalankan usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman Islam terhadap golongan muda kerana hanya dengan pegangan Islam sahaja mampu menjadi bentang dari melakukan kemaksiatan.

Tiada ulasan: