Jumlah Paparan Halaman

Jumaat, Ogos 13, 2010

Setpol Presiden PAS memberitahu lawatan Tuan Guru Abdul Hadi bina imej PAS di peringkat antarabangsa

Tok Guru Abdul Hadi Awang juga sering dikunjungi oleh wakil-wakil kedutaan negara luar di Pejabat Agung PAS selain beliau diundang mengisi pelbagai program diperingkat antarabangsa. 


Muqadimah: Keluaran lalu, Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr. Samsuri Ahmad Mokhtar telah menjelaskan beberapa jalur kenapa dan mengapa Presiden PAS sering ke luar negara. Kali ini, beliau membawa contoh bagaimana peranan yang dimainkan Tok Guru di pentas antarabangsa disamping melihat imej PAS yang dibina. Harakah kali ini menyiarkan mewawancara Dr. Samsuri bahagian akhir berkenaan isu ini. Ikuti butiran lanjut bersama TARMIZI MOHD JAM dan ROY RASUL yang menemui beliau di Pejabat Agung PAS baru-baru ini. Juru Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH.  

Katanya Tok Guru juga diundang untuk selesaikan konflik di Yaman?

Memang Tok Guru diminta khusus untuk menyelesaikan. Menjadi perunding antarabangsa isu di Yaman. Kebetulan saya bersama Tok Guru di sana. Isunya, berlaku pertempuran di Yaman antara puak Sunni dan Syiah. Kerajaan Mesir dan Kerajaan Qatar sudah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikannya. Tetapi tak boleh. Kalau tak diselesaikan maka ia akan menjadi sebab kuasa barat masuk ke Yaman. Barat memang nak masuk ke Yaman sebab kedudukan Tanah Arab amat strategik untuk Amerika dan sekutu-kutunya. Mereka memang nak sangat masuk ke Yaman. Jadi, di kalangan negara Arab, meminta Tok Guru Presiden menyelesaikan kerana Kerajaan Mesir dan Qatar tak boleh selesaikan. Maka ada utusan khusus dari Arab Saudi minta supaya Presiden PAS memainkan peranan itu. Sebagai orang yang berperpengaruh dan kenalan yang ramai di Timur Tengah, Tok Guru diminta membantu menyelesaikan konflik... maka Tok Guru pergi. Mula-mula ke Bahrain, Iran, Yaman dan di sana Tok Guru jumpa dengan Presiden Yaman dan berjumpa pemimpin negara, kabilah-kabilah, pemimpin pembangkang dan parti-parti politik dan akhirnya puak-puak yang bertelagah. Dan dalam masa yang sama, Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa yang dipengerusikan Syeikh Yusuf Al-Qhardawi meminta Tok Guru menjadi wakil peribadi beliau untuk menyelesaikan konflik di Yaman. Alhamdulillah... selepas beberapa bulan hasil daripada mereka meminta Tok Guru terlibat dalam penyelesaian konflik ini, dan mungkin mereka berasa malu terpaksa memanggil orang luar untuk menyelesaikan isu ini, maka berlaku sedikit sebanyak gencatan senjata dan perbincangan untuk merundingkan keamanan di Yaman.

Maknanya Tok Guru Presiden amat dipercayai gerakan Islam dunia dalam menghormonikan dunia?

Dalam konteks lain apabila ada parti politik Islam di Indonesia terlibat dalam pilihan raya untuk berbincangan menubuhkan negara mereka. Meminta pandangan daripada Tok Guru Presiden PAS. Jadi, ini perkara-perkara yang menyebabkan kita rasa kehadiran beliau di luar negara sedikit sebanyak di atas misi-misi tertentu di atas sifat peribadi. Beliau sebagai orang senior dan mempunyai pengalaman-pengalaman pengurusan pembangkang politik dan sebagainya selain dari ilmu Islam yang dimiliki beliau. Sebab itu, saya boleh sebut mungkin ramai yang rindu kita mahu Tok Guru berada di sini sepenuhnya tetapi dalam sama yang sama pandangan dan buah fikiran beliau diperlukan juga oleh rakan dan gerakan Islam maka terpaksa beliau memenuhi undangan.

Bagaimana layanan negara-negara berkenaan?

Itulah yang saya nampak sebab saya bersama Tok Guru dalam  misi-misi luar negara melibatkan beliau. Kita boleh nampak, maknanya pergi ke tempat-tempat itu, Tok Guru dilayan sebagai tetamu negara. Dia pergi ke Turki diletakkan dalam kereta yang berasingan daripada delagasi yang lain. Saya rasa tentu ada sesuatu dan memang setiap kali kunjungan ke Iran umpamanya, khusus bagi Taqrid Muzahib itu ada mesyuarat atau persidangan pada masa itu mereka (pemimpin Islam lain) mengambil kesempatan bertemu Tok Guru meminta pandangan. Dan kita boleh rasa kalau Tok Guru tak hadir, contohnya dalam Taqrib Muzahib tahun berikutnya bila hadir, mereka akan tanya mengapa dan kenapa tak hadir. Kerana bagi mereka kehadiran Tok Guru amat diperlukan untuk saling tukar-tukar fiiran dan kongsi pengalaman.

Bagaimana Dr melihat Tok Guru Presiden mengagihkan masa antara dalam negeri dengan luar negara sejak mutakhir ini.

Memang saya pernah bincang dengan Tok Guru, banyak perkara yang beliau kena buat. Bincang dalam negara dan luar negara. Dalam negara sebagai Adun Rhu Rendang, Ahli Parlimen Marang, Presiden PAS, dan Presiden PAS itu meratalah dari Johor sampai ke Sabah. Tok Guru kata kalau dia ada 10 tangan, tak apa. Dia kata tangan dia macam orang lain juga. Macam orang lainlah atas sifat sebagai manusia sama.
Tetapi dari segi gerak kerja pembahagian, kita melihat dan Tok Guru sebut kita sudah  menjadi parti yang matang. Dekat 60 tahun kematangannya dan mempunyai organisasi yang matang dia ada Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli-ahli Jawatan Kuasa. Ada semua. Dari segi organisasinya, ia mantap. Namun, ada kelemahannya di sana sini tetapi semuanya boleh diperbaiki untuk beliau memenuhi semua undangan dalam negara. Kita rasa pun tak mungkin, maka di sana berlaku pembahagian.

Jadi, tanggungjawab itu akan dijalankan oleh Timbalan atau Naib-naib Presiden?

Mana yang boleh dicover oleh naib, timbalan, ketua-ketua dewan, pesuruhjaya negeri-negeri, mereka boleh buat. Apabila Tok Guru tak ada, dengan sendirinya boleh ambil tanggungjawab itu oleh timbalan dan naib-naib yang tinggal itu. Dari segi lain,  mungkin ada orang kata yang kita mahu dari Tok Guru ialah tarbiah. Tapi inipun, kalau Tok Guru ada di sini, tidak mungkin beliau memenuhi semua program tarbiah. Sebab itu diwujud Lajnah Tarbiah. Lajnah ini ada ketuanya dan jawatakuasanya. Jadi, pembahagian ini boleh meringankan beban dari segi gerak kerja. Ada ketika apabila beliau melihat suasana agak tenang dan mendapat jemputan dari luar negara, beliau boleh tinggal negara.

Apakah terdapat cara lain yang boleh mendekatkan Tok Guru dengan ahli-ahli?

Memang ada. Baiknya sekarang ini, di dunia tanpa sempadan walaupun berada di luar negara Tok Guru masih boleh follow pekembangan di Malaysia setiap hari. Saya boleh sebut kerana saya bersama dengan beliau di luar negara. Beliau tidak pernah miss lihat internet terutama layari Harakahdaily dan yang paling favourate berita luar negara dari laman Islam Online. Harakahdaily dan akhbar lain beliau akan tengok walaupun di luar negara setiap hari beberapa kali. Walaupun duduk di luar negara, jadi mana-mana lokasi yang tidak dapat internet beliau akan hubungi sesiapa berkenaan dengan telefon. Jadi, walaupun beliau tidak ada dalam negara tetapi dari segi maklumat beliau up to date.

Terdapat juga pandangan-padangan dari bawah yang melihat dalam banyak isu besar Presiden PAS tak beri kenyataan tetapi dijawab lazimnya oleh Setiusaha Agung atau Ketua Penerangan. Mengapa?

Kalau dah ada Ketua Penerangan jawab dari satu aspek isu biasa umpamanya isu saman ekor, takkan lah kita nak minta Presiden PAS bagi pandangan yang sama pula. Jadi, kalau ada orang lain itu sudah cukup, kecuali timbul masalah. Bila timbul masalah, Tok Guru akan tutup dengan kenyataan rasmi bagi mematikan isu itu. Kadang-kadang sesetengah isu besar yang Presiden sendiri perlu dapatkan dari ahli mesyuarat, lepas itu dipanggil mesyuarat. Contohnya satu masa dulu, hangat isu kerjasama Umno-PAS diperkatakan. Sehingga timbul ada cadangan nak buat Muktamar Khas. Kita jangan percaya dengan musuh dia tengok macam kita pening sikit maka dia pun cucuk. Ini permainan musuh. Kita kena belajar untuk memahaminya.

Tapi Dr, ini permaian kotor media. Ada media baru, bloger ataupun media tradisional seperti Utusan dan tv yang memburuk lagi keadaan dan akhirnya menimbulkan persepsi negatif terhadap Presiden PAS...

Saya sebenarnya tidak mahu tuduh atau membuat andaian kepada media sebab media pun ada peranan-peranannya. Cuma sedikit sebanyak persepsi ini timbul dari pelbagai aspek. Sebahagiannya mungkin disebabkan media terutamanya media-media arus perdana yang tidak  frendly dan mungkin ada agenda mereka. Kalau dulu mungkin kita percaya media arus perdana, Utusan, atau Berita Harian. Orang percaya tetapi akhir-akhir ini kita pula kurang percaya. Jadi, kita perlu tak cepat melatah dengan mainan nakal dari media arus perdana dan mungkin sesetengah dari media baru yang agak lebih bebas sekarang ini.
Ahli-ahli parti sepatutnya menilainya. Sebab itu dalam al-Quran ada disebut, apabila kita mendapat maklumat, kita kena selidik terlebih dahulu. Jadi, jangan kita buat persepsi dari apa yang kita baca, dengan banyak perkara yang kita baca itu akhirnya dibuat pertimbangan diri. Kalau tidak PAS akan bergolak dengan pelbagai persepsi.

Sejauh mana Presiden PAS atau Dr sendiri melihat peranan yang dimainkan Harakah dan Harakahdaily dalam konteks untuk memperkasakan parti dan meuar-uarkan berita yang melibatkan Tok Guru Presiden.

Yang pertama Harakah atau Harakahdaily sebagai organ parti. Ini adalah sumber berita  untuk parti, termasuk aktiviti Presiden PAS atau orang lain. Kedua, ialah sebagai sumber ilmu untuk mendidik ahli-ahli kepada tarbiah dan dakwah. Mendidik ahli dan masyarakat   dengan ilmu-ilmu sebagai satu dakwah dan memberi kefahaman politik kepada rakyat. Jadi, tugas itu tugas menyeluruh. Politik dakwah dan tarbiah juga pemberitaan. Atas sebab itu Harakah dan Harakahdaily sebagai organ parti mesti memainkan peranan sedemikian. Ia bukan saja membantu Presiden PAS sebagai pemimpin bagi parti tetapi dalam masa yang sama membantu parti untuk memberikan kefahaman kepada rakyat dan akhirnya menimbulkan persepsi yang baik kepada rakyat.

1 ulasan:

Kuda Perang berkata...

Takbir!!!

Allahu Akbar!!!

Takbir!!!

Allahu Akbar!!!

Takbir!!!

Allahu Akbar!!!