PAS mahu kerajaan terus menghapuskan saman ekor yang mudah dimanipulasikan oleh banyak pihak dan menarik balik senarai hitam mangsa saman ekor berkenaan sepenuhnya, agar mereka boleh memperbaharui cukai jalan bagi operasi kenderaan masing-masing.
Menurut Naib Presidennya, Dato' Mahfuz Omar, tindakan kabinet mengizinkan mangsa saman ekor yang disenarai hitam memperbaharui cukai jalan untuk tempoh tertentu, seperti yang diumumkan baru-baru ini, tetap tidak adil selagi mereka tidak disahkan bersalah oleh pihak mahkamah.
Tegasnya kepada Harakah, langkah terbaru kerajaan itu boleh dianggap strategi kerajaan Umno-BN untuk meredakan kemarahan rakyat dan pada masa yang sama, mereka mengharapkan rakyat berterima kasih kepada kerajaan atas kelonggaran itu.
Mahfuz berkata, motif kerajaan hanya sekadar untuk menunjukkan seolah-olah mereka mempunyai sifat prihatin terhadap masalah rakyat, tanpa mempedulikan isu sebenar yang membeban rakyat dengan bayaran saman yang melampau.
PAS katanya, tidak menentang saman yang betul, untuk menjaga keamanan lalulintas tetapi menentang saman ekor yang terlalu banyak kelemahannya, dan kesannya terpaksa ditanggung oleh pemilik kenderaan berkenaan.
Katanya, jika kerajaan benar-benar prihatin dalam isu ini, sepatutnya tiada tempoh had tertentu dikenakan sebaliknya, saman ekor mesti dihapus dan mereka yang menjadi mangsa wajar disahkan bersalah oleh mahkamah dan larangan senarai hitam untuk memperbaharui cukai jalan ditarik serta-merta. Beliau menyifatkan kerajaan Umno-BN telah melakukan pelanggaran perlembagaan, kerana dengan sewenang-wenangnya menghukum orang tanpa didapati bersalah terlebih dahulu.
"Sepatutnya mereka (kerajaan Umno-BN) memohon maaf kepada rakyat kerana ia satu pelanggaran perlembagaan yang dilakukan oleh kerajaan. Kerajaan patut memohon maaf kepada rakyat bukannya menggantung 'senarai hitam' sementara tetapi perlu membuang semua kaedah tak betul itu, " katanya.
Senarai hitam pemilik kenderaan tegasnya mesti dimansuhkan kerana apa yang berlaku selama ini bertentangan dengan Akta Keselamatan Jalan Raya 1977. Kerajaan tidak wajar sama sekali menangguhkan sementara tindakan menyenarai hitam kesalahan di jalan raya.
Rabu lalu, Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Kong Cho Ha berkata, kabinet memutuskan untuk menarik balik tindakan menyenarai hitam kesalahan di jalan raya buat sementara waktu, bagi membolehkan orang ramai memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan, bermula hari ini hingga 28 Februari tahun depan.
Mengulas lanjut, Mahfuz merujuk kepada keputusan saman ekor di Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak yang jelas mengatakan tindakan JPJ itu satu tindakan salah dan bertentangan dengan perlembagaan. "Jadi, tidak wajar untuk kerajaan meneruskan selepas Februari 2011 nanti kerana itu satu perbuatan yang ternyata salah. Saya lihat tindakan kerajaan meneruskan senarai hitamkan ini menunjukkan seolah-olah meletakkan diri mereka mengatasi perlembagaan dan mengatasi undang-undang.
"Sedangkan kerajaan tidak boleh melakukan sedemikian rupa, sebab itu Kempen Anti Saman Ekor (Kase) tidak akan mansuhkan dan bubar kempen ini malah akan teruskan tugas kami bagi membuat pemantauan selepas daripada Februari 2011," katanya.
Sehubungan itu juga, katanya, beliau mengajak masyarakat untuk bersatu menentang saman ekor ini kerana apabila rakyat bersatu ia akan menunjuk kesan awal walaupun bersifat sementara. Hakikatnya apa yang kerajaan lakukan itu kesan daripada penyatuan rakyat Malaysia.
"Saya nak katakan kepada rakyat betapa perlunya rakyat bersatu padu menentang kezaliman, diskriminasi yang dilakukan kerajaan Umno-BN ini," katanya. Malah ujarnya, sudah pasti jika penyatuan itu dapat dilanjutkan kerajaan yang zalim akhirnya akan akur kepada tuntutan rakyat dalam isu senarai hitam saman ekor itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan