Exco Kerajaan Kelantan, Dato Paduka Husam Musa menyarankan rakyat negeri itu membayar zakat fitrah pada tahun ini menggunakan dinar dan dirham Kelantan. Katanya, anak Kelantan yang berada di perantauan sebaiknya menunaikan zakat fitrah di negeri asal mereka sekali gus membantu golongan yang memerlukan. Ini juga katanya, sebagai tanda sokongan kepada usaha Kelantan untuk mengembalikan syiar Islam yang sudah lama menggunakan dinar dan dirham sebagai mata wang.
"Balik Kelantan, bayar zakat fitrah dengan dirham Kelantan," kata Husam. Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Berbuka Puasa Persatuan Anak Darul Naim (Persada) Kuala Lumpur dan Selangor, di ibu negara baru-baru ini.
Turut berucap pada majlis itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Tambahnya, selain menggunakan dinar dan dirham sebagai mata wang ianya juga sebagai satu pelaburan yang bijaksana untuk masa depan.
"Dinar dan dirham adalah 'growing asset'. Siapa kata ini merugikan rakyat Malaysia, saya tidak boleh maafkan," katanya. Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyatakan hasratnya untuk membayar zakat fitrah tahun ini menggunakan dinar dan dirham.
Hasrat sama juga turut dizahirkan para Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta pemimpin PAS negeri itu. Tun Mahathir turut mengakui nilai dinar itu apabila beliau sendiri pernah melancarkan 'gold coin' yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia suatu ketika dulu.
Pada 18 Julai 2001 sekeping syiling Kijang Emas seberat satu auns harganya ialah RM1,082. Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010 ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104. Isu dinar dan dirham yang diperkenal Kelantan menjadi kontroversi apabila Kerajaan Pusat menganggap ianya bertentangan dengan undang-undang.
Menurut mereka, hanya Kerajaan Persekutuan melalui kelulusan Bank Negara, boleh mengeluarkan mata wang. Kelantan bagaimanapun berpendapat, pengeluaran dinar dan dirham tersebut hanyalah untuk kegunaan rakyat negeri itu sesama mereka atau sebagai perhiasan bukannya sebagai mata wang seperti yang didakwa Umno.
Pada 2006, Kerajaan Kelantan telah melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23 mm dengan berat 4.25 gm bernilai RM332.25. Selain itu, separuh dinar bersaiz 20 mm (1.06 gm) bernilai RM176.76) dan suku dinar bersaiz 21 mm (0.5 gm) bernilai RM99.38.
Kini nilaian dinar tersebut sudah meningkat berbanding ketika dilancarkan. Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin. Pada majlis pelancaran baru-baru ini oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, sejumlah RM100,000 telah dibeli orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan