KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Ogos 27, 2010

Potensi ada, tapi mampukan Pakatan Rakyat buat kejutan dalam PRU Negeri Sarawak tahun depan?


Premis asal dan agak matang dalam menilai politik Sarawak sekarang ialah “Sarawak tetap kubu kuat Barisan Nasional (BN).” Maka tugas menumbangkan BN dalam pilihan raya negeri ke-10 nanti dijangka berdepan laluan sukar dan mencabar. 

Sesungguhnya, tugas menumbang BN itu terletak di tangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR). Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan dua pertiga daripadanya berada di luar bandar. Mana-mana parti atau pakatan politik menguasai majoriti DUN atau setidak-tidaknya 36 kerusi selayaknya parti itu membentuk kerajaan negeri. 

Namun hasil pilihan raya negeri 2006, didapati BN memenangi 62 kerusi DUN dan parti-parti pembangkang hanya sembilan DUN.  Semua kerusi dimenangi pembangkang adalah berada di sekitar bandar. Ia bermakna pengaruh BN amat tegar di kalangan 50 peratus daripada 2.5 juta penduduk yang tinggal di luar bandar. 

Demografi politik perkauman

Demografi politik Sarawak adalah terdiri daripada 28 suku kaum; Iban 33 peratus, Cina 26 peratus, Melayu 21 peratus, Melanau tujuh peratus, Orang Ulu lapan peratus, dan Bidayuh lima peratus. Pengundi luar bandar adalah terdiri daripada suku Bumiputera (Iban, Melayu, Melanau, Orang Ulu dan Bidayuh). 

Sementara pengundi bandar merupakan campuran, dengan majoritinya orang Cina. Ia bermakna, pengundi Cina lebih berpihak kepada pembangkang, khsusnya DAP. Disebabkan demikian, BN agak kuat di kawasan bandar yang majoriti pengundi Melayu. 

Justeru landskap politik Sarawak kini masih dibayangi dengan gambaran penaungan dan keutuhan perkauman yang kuat. Jika landskap ini belum berubah untuk tempoh pilihan raya akan datang, maka BN kekal selamat untuk terus memerintah Sarawak. 

Namun, landskap politik pasca pilihan raya kecil Sibu ada petunjuk khusus untuk membuat bacaan politik di bumi yang kuat asas perkauman ini. Tatkala keputusan di Sibu pada 16 Mei lalu telah membuktikan DAP mendapat sokongan baru 2,942 undi.  Jika asas ini dianalisis seacara mudah, maka kesemua DUN yang BN menangi dengan majoriti kurang 2,500 undi adalah tidak selamat. Apa pun itu bergantung kepada kestabilan mood pengundi Cina dan faktor-faktor politik semasa.

Jangkaan pilihan raya 

Namun, kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak nanti dijangka akan berlaku dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang. Jika tempoh itu memberi implikasi besar kepada perubahan mood pengundi untuk kembali kepada normal, ia akan menyebelahi BN. 

Sekiranya mood itu berkekalan dan mengalami bauran (diffusion) kalangan pengundi Bumiputera, seperti mana arus penolakan terhadap BN di negeri-negeri lain, khususnya di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ia pasti menggugat peluang BN mencapai majoriti selesa di Sarawak. 

Nilai-nilai perubahan itu akan berlaku di Sarawak jika demografi politik mengalami transisi sosiopolitik seperti pengundi luar bandar ramai celik maklumat, penduduk di luar bandar memprotes tahap kemajuan yang mereka alami sekarang, disokong pula dengan ramainya pengundi muda mendaftar sebagai pemilih, tinggi kadar kematangan berpolitik apabila keinginan naungan mulai longgar dan tinggi pendedahan kepada maklumat melalui media alternatif. 

Di samping, kesan gerakan politik PR yang menjadi fenomena semasa pilihan raya kecil Sibu mula terbaur ke kawasan luar bandar. Realiti ini cukup menghantui pemikiran politik pemimpin BN Sarawak. Lebih-lebih lagi berlaku perkembangan terbaru pihak PR di Sarawak menunjukkan pihak DAP, PAS dan KeADILan serta SNAP sudah mula mengukuhkan gerakan politik masing-masing. 

Misalnya pihak PAS telah sedia tampil di Sibu, Miri dan Bandar Raya Kuching. Kesemua kawasan ini amat berpotensi bagi PR untuk menang apabila mengambil kira petunjuk pasca Sibu dan langkah-langkah penubuhan cawangan baru serta persefahaman kukuh PR mula mendapat sambutan hangat kalangan pengundi tempatan. 

Walau bagaimanapun, pihak PR seharusnya dapat memperkasakan lagi beberapa pendekatan persefahamana pakatan bagi menghadapi pilihan raya nanti. Antaranya yang paling berpengaruh di dalam membina keyakinan pengundi ialah formula pembahagian kerusi yang mengutamakan keupayaan menyumbang kepada nilai kemenangan. 

Mungkin di antara formula itu ialah mempersetujui kerusi-kerusi di kawasan bandar untuk semua parti dalam PR. Maksudnya semua empat parti dalam PR diberi hak untuk bertanding di Miri, Sibu, Bandar Kuching, Bintulu dan Mukah.

Jika formula ini dipakai, PAS setidak-tidaknya boleh bertanding satu kerusi di semua DUN di bandar-bandar tersebut.Selain itu, tumpuan untuk bertanding di beberapa DUN di luar bandar yang dominan pengundi Melayu.

Pilihan raya 2006

Pada pilihan raya negeri 2006, daripada 71 kerusi dipertandingkan. Undi popular diraihnya BN telah merosot sebanyak 8.3 peratus (71.2 peratus pada 2001 kepada 62.9 peratus pada 2006). Rekod pencapaian BN menunjukkan PBB amat utuh apabila memenangi kesemua 35 kerusi yang ditandinginya. Demikian juga SPDP memenangi kesemua lapan kerusi. Manakala SUPP kalah lapan daripada 19 kerusi dan PRS kecundang di satu daripada sembilan kerusi. 

Sementara pihak pembangkang pula menguasai sembilan kerusi melalui DAP yang memenangi enam kerusi, manakala KeADILan, Bebas dan SNAP masing-masing menang satu kerusi. Apa pun perkembangan dalam pembangkang selepas itu didapati wakil SNAP yang mengalahkan SUPP di DUN Engkilili telah menjadi Bebas tidak lama selepas memenangi kerusi itu. 

Begitu juga wakil Bebas, Gabriel Adit Demong yang bertanding di DUN Ngemah telah menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM) pada Disember 2009. 

Peluang tambahan kerusi PAS 

Perubahan kedudukan parti tidak berlaku kalangan wakil rakyat DAP dan KeADILan. Ini menunjukkan semangat PR amat kukuh di Sarawak. Tinggal lagi, PAS sendiri yang hanya bertanding satu kerusi di DUN Beting Maro wajar menagih simpati rakan dalam PR untuk mendapatkan tambahan kerusi di kawasan bandar. 

Harapannya, kepimpinan PAS Sarawak wajar melakukan kesepakatan mesra, terutama dengan DAP yang dominan di kawasan bandar. Peluang tambahan itu wajar bagi PAS disebabkan realitinya PAS berupaya untuk mewujudkan petugas parti di semua kawasan bandar, di samping bersedia membantu calon-calon DAP dan KeADILan di tempat-tempat PAS bertanding.

Pilihan raya yang dijangka Mac atau April tahun depan dijangka menyaksikan dua pertembungan politik permuafakatan: BN dan PR. Pihak BN sebagai pihak hegemoni dianggotai PBB, SUPP, SPDP dan PRS, dan PR sebagai pakatan pembangkang setakat ini gandingan DAP, KeADILan SNAP dan PAS.  Sementara PCM belum pasti menyertai mana-mana permuafakatan, di samping terdapat satu lagi parti, Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB) yang baru mendaftar. 

Kemunculan parti baru

Walau bagaimanapun, ketika pakatan pembangkang bersatu hati untuk mengemukakan calon di semua kawasan dalam perlawanan satu lawan satu dengan BN, PERSB  dan PCM selaku parti baru muncul dengan impian masing-masing. 
PERSB mempamerkan hasrat untuk bertanding di semua kawasan. Ia meletakkan PERSB sebagai pihak ketiga di dalam persaingan pilihan raya Sarawak. Manakala PCM hanya akan meletakkan calon di 10 hingga 15 kawasan, sekali gus membayangkan PCM sebagai parti baru yang bakal bergabung sama ada dengan BN atau PR. 

Berdasarkan latar belakang PCM Sarawak asalnya diketuai seorang wakil Bebas, kemungkinan besar beliau akan bersendirian yang akan bertanding di kawasan popular bagi calon-calonnya. 

Menilai dari segi peluang mencapai kemenangan, nyata sekali BN masih berkeyakinan besar dan selesa mempertahankan dominasi dan menguasai majoriti dua pertiga. Meskipun berlaku hambatan keyakinan berikutan mood pengundi pasca pilihan raya kecil Sibu, permasalahan pengundi Cina belum cukup menggugat nilai majoriti dua pertiga tersebut. Kerusi yang pengaruh pengundi Cina agak tinggi hanya sekitar 15 kerusi. 

Jika BN kehilangan semua kerusi itu, masih ada lagi 56 kerusi. Nilai majoriti dua pertiga ialah 47 kerusi, maka keselesaan bagi BN cukup mantap ke arah kelangsungan hegemoni BN di Sarawak. 

Impak pasca Sibu

Meskipun begitu, impak pasca pilihan raya kecil Sibu itu mungkin boleh menggugah keyakinan tersebut sekiranya pihak PR mampu mempamerkan persetujuan mantap dari segi isu calon, pembahagian kerusi, kerjasama petugas parti dan manifesto parti. 

Misi PR di Sarawak adalah untuk memastikan tidak berlaku peluang BN berkuasa dengan dua pertiga. Sebagaimana kenyataan Haji Mohamad Sabu ketika di Miri (20 Julai lalu), pilihan raya Sarawak merupakan peluang bagi rakyat bertindak sebagai kuasa check and balance untuk menafikan kuasa dua pertiga BN. 

Bagi mencapai misi ini, BN tidak akan tergugat, cuma mungkin terjejas moralnya seperti mana dihadapi di peringkat Pusat sekarang yang agak sulit menguruskan kuasa di parlimen tatkala memerlukan sokongan dua pertiga. Manakala bagi PR pula, ia cukup berat untuk dicapai kerana jumlah kerusi yang harus dimenangi ialah sebanyak 25 kerusi dan BN pula memenangi 46 kerusi. Apa pun sekiranya berkehendak, maka seribu daya harus diusahakan.

Sejauh mana keupayaan pihak PR untuk meraih tambahan kerusi akan terjawab sekiranya persiapan yang ada tinggal kira-kira enam bulan sahaja lagi. Ia satu tempoh yang singkat bagi PR untuk menjayakan sekurang-kurang lima persiapan asas: ketetapan kerusi bertanding bagi masing-masing parti, memilih bakal calon yang teruji, mengurus penyokong agar mendaftar sebagai pemilih, melatih pasukan dan petugas pilihan raya dan tidak kurang penting adalah persediaan kewangan pilihan raya yang secukupnya.

Peranan parti baru

Tidak harus juga diketepikan peranan dua parti baru (PCM dan PERSB) dalam merancakkan pilihan raya Sarawak akan datang. Ada pihak yang meramalkan PCM akan ditolak mentah-mentah oleh rakyat ekoran sikap Gabriel Adit Demong yang dianggap tokoh lompat parti kerana pernah keluar daripada KeADILan menjadi Bebas. 

Justeru itu, kerusi yang dimenangi atas tiket Bebas hanya dengan majoriti kecil pada pilihan raya 2006 dijangka menghadapi lalui sukar untuk mempertahan kemenangannya. Melainkan jika berlaku persefahaman semula dengan PR atau BN melalui straight fight menghadapi lawan. Apa pun, tidak mungkin bagi BN bekerjasama dengan PCM sebagai parti yang belum dilihat berjasa kepada rakyat. 

Demikian pula dengan PERSB yang diasaskan sekumpulan ahli perniagaan dan golongan professional muda. Berbekalkan komitmen untuk mengubah nasib penduduk luar bandar dijangka terlalu sukar untuk bertapak dan merubah status penaungan pengundi di luar bandar oleh BN. Ia akan menghadapi lalun sama dengan PCM kerana sebagai parti baru, sukar baginya untuk bertapak dalam waktu singkat. 

Amat sesuai bagi PERSB adalah bergabung di bawah PR dan boleh menerima prinsip pembahagian kerusi yang seimbang menghadapi BN.

Misi PR membawa arus perubahan

Persoalan yang berputar kalangan penganalisis politik kini adalah sejauh mana komitmen PR yang membawa misi arus perubahan dalam senario politik Sarawak; mampukah PR menawan kerusi-kerusi panas yang dimenangi BN sekian lama? 

Apa pun di sana sudah ada petunjuk, iaitu sikap penolakan pengundi Cina terhadap BN cukup jelas kepada SUPP, di samping sudah berlaku penerimaan baik dan harapan tinggi pengundi kepada misi arus perubahan yang sudah berjaya digerakkan semasa pilihan raya kecil Sibu. 

Penerimaan dan harapan pengundi itu masih segar dan komitmen pemimpin PR sudah terserlah. Tinggal lagi, bagi memenuhi peluang itu adalah pengisian program mendepani pengundi dan connecting pihak kepimpinan PR dengan pengundi harus diatur secara tuntas.

Sungguh pun begitu, BN negeri Sarawak di bawah kepimpinan Abdul Taib Mahmod cukup sedar dengan perkembangan mutakhir ini dan sedang merungkai segala permasalahan yang tertangguh selama ini kerana janji ditaburkan dalam pilihan raya lalu masih belum terlangsai. 

Soalannya, apakah rakyat sekian lama terbuai dengan janji akan terus terlena dan pemimpin BN terus gebu dengan keempukan kuasa anugerah rakyat? Hanya rakyat selaku pengundi bakal memberi jawapannya dalam pilihan raya nanti. - Wan Nik Yusoff Ngah

Tiada ulasan: