Dewan Pemuda PAS Pusat menegaskan usaha membanteras maksiat bukanlah terletak dibahu PAS sahaja malahan harus dilakukan disemua peringkat lebih-lebih lagi Kerajaan Pusat yang seharusnya tegas dalam melaksanakan syariat Islam di dalam dasar kerajaan Malaysia.
Menurut Timbalan Ketuanya, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, Dato’ Seri Noh Omar yang juga seorang menteri sepatutnya membawa masalah itu ke parlimen memandangkan kerajaan pusat lebih dipertanggungjawabkan atas kelulusan lesen sesebuah pusat hiburan dan rumah urut.
Terdahulu, Noh Omar merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang mencabar PAS agar mendesak Kerajaan Selangor supaya menutup pusat hiburan dan rumah urut di negeri ini ditutup sepanjang Ramadhan dengan alasan menghormati bulan yang mulia itu dan jika PAS benar-benar memperjuangkan Islam.
Mangulas lanjut, Ustaz Azman berkata, kenyataan Noh Omar dilihat seakan-akan ingin menonjolkan Umno sebagai parti yang membawa imej Islam dan tidak keterlaluan dikatakan Islam yang dibawa oleh parti itu adalah ajaran Islam yang sebenar dan PAS hanyalah satu parti yang menggunakan Islam sebagai alat untuk mencapai matlamat politik.
"Tetapi jika dilihat pada rekod pemerintahan Selangor sebelum ini di bawah pemerintahan Umno-BN sendiri pun mereka tidak bertindak demikian sedangkan ketika itu Umno menjadi majoriti di dalam kerajaan Negeri Selangor," katanya.
Bekas Adun Rantau Abang itu turut mempersoalkan kenapa selama 51 tahun Umno memerintah, mereka tidak melaksanakan apa yang disarankan oleh Noh Omar itu, bukankah itu membuktikan Umno adalah 'kuda tunggangan' parti-parti komponen BN.
"Dan mengapa negeri-negeri yang diperintah oleh Umno seperti Johor, Terengganu, Pahang tidak disarankan berbuat demikian?.Dan adakah Islam itu hanya pada bulan Ramadhan sahaja?" soal beliau.
Ustaz Azman juga melihat kenyataan Noh Omar itu sebagai sindiran kepada mantan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr. Mohamed Khir Toyo yang gagal melakukan tindakan sedemikian sebelum ini. Beliau menegaskan masjid-masjid harus diperbetulkan fungsinya dan diimarahkan sebagai tempat mentarbiyah rakyat agar menjadi manusia yang berakhlak mulia.
"Sempena Ramadhan ini, tazkirah patutnya diwajibkan di semua masjid dan surau di seluruh Malaysia sebagai memberi peringatan dan ilmu kepada umat Islam.
"Dengan langkah ini setidak-tidaknya menyedarkan umat Islam tentang dosa dan pahala. Bukankah ketika Umno di bawah pemerintahan Khir Toyo melarang masjid dan surau mengadakan Tazkirah Ramadan serta mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memantau semua masjid dan surau di dalam Negeri Selangor agar memastikan tiada program tazkirah?" tegas beliau.
Malangnya, jelas beliau penyampai tazkirah pula akan ditangkap dan AJK masjid dan surau akan dipanggil untuk disiasat. Ustaz Azman menyarankan agar sebelum semua pusat-pusat hiburan serta rumah-rumah urut di Negeri Selangor ditutup, kerajaan Umno BN membatalkan semua lesen premis berkenaan terlebih dahulu bukan sahaja sepanjang Ramadhan ini bahkan pada bila-bila masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan