KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Ogos 16, 2010

Beraninya Presiden MCA menyanggah Islam


Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa melahirkan rasa terkilan dengan kenyataan Presiden MCA, Dato' Chua  Soi Lek yang mendakwa PAS dan Umno telah menggunakan Islam sebagai alat untuk meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia.


Beliau yakin kenyataan Chua Soi Lek ekoran daripada kekeliruannya terhadap Islam dan mungkin tidak mendapat gambaran yang jelas mengenai kesucian, kesyumulan dan keindahan Islam sehingga gagal menafsirnya dalam kerangka agama yang tepat dan betul. 

Ustaz Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok menjelaskan Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah Islam yang tulen dan diambil daripada sumber-sumber yang benar dan ia adalah agama yang menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat.

"Umat Islam diwajibkan untuk berdakwah samada kepada bangsa Melayu, Cina, India dan seluruh manusia. Ia adalah satu elemen penting bagi memastikan Islam terus dimartabatkan dan disanjung tinggi.  Dakwah kepada orang Melayu adalah yang paling utama memandangkan mereka telah beragama Islam dan ia merupakan sasaran dakwah yang perlu diberikan perhatian serius hari ini," katanya kepada Harakah.

Beliau yakin, kenyataan serta fakta-fakta yang dikemukakan Chua Soi Lek itu bukan kerana kecacatan dan ketempangan Islam, bahkan ia adalah kesilapan pemerintah yang mengamalkan korupsi dan penyelewengan kuasa kerana gagal mengimplementasikan prinsip-prinsip Islam dalam pentadbiran negara. Justeru beliau berharap dapat bertemu dan menerangkan intipati Islam yang sebenar kepada Chua Soi Lek.

"Saya percaya Islam mempunyai solusi-solusi terhadap pemasalahan yang berlaku. Malah, PAS sendiri telah menggagaskan agenda 'Islam Untuk Semua', 'Islam Memimpin Perubahan' dan 'Islam Adil Untuk Semua' kerana berkeyakinan hanya Islam yang mampu menyelamat manusia di dunia dan di akhirat," katanya.

Tiada ulasan: