Bekas pesyarah UIAM, Ustaz Zawawi Yusoff membicarakan mengenai transformasi Ramadan yang tidak tercapai oleh kebanyakan orang. Mereka hanya patuh kepada lapar dan dahaga semata-mata, tidak berusaha untuk memulihara pahala puasa. Perkara haram masih diteruskan, walaupun diri berpuasa. Ikuti kupasan menarik pakar motivasi Human Touch Consultant ini. Wartawan INTAN ABDULLAH menerjah isu ini bersama beliau mengapa tranformasi Ramadan gagal. BAHAGIAN AKHIR.
Apa harapan ustaz untuk Ramadan yang sedang diimarahkan sekarang?
Semoga, kita akan lebih menghargai Ramadan pada kali ini, kerana kita masih lagi mempunyai peluang kalau kita pandai menggunakan masa. Cara untuk sedarkan semula ialah dengan ilmu dan mengingati mati. Kalau boleh diuar-uarkan menerusi penulisan seperti penerbitan buku terbaru, hadiah-hadiah sebelum Ramadan dengan buku-buku, dengan filem, dokumentari tentang Ramadan, penemuan-penemuan perubatan. Itu kena diuar-uarkan secara besar-besaran supaya Ramadan ini dapat dilihat dari aspek rohani dan jasmani. Ia akan dapat mengubah. Satu lagi faktor, ialah masyarakat ini datang daripada pemimpin. Kalau seseorang pemimpin itu hidup dalam ruh Ramadan, baiknya di dalam atau di luar Ramadan menyebabkan orang bawah mudah untuk mengikutinya.
Maksud Ustaz... kalau boleh dihuraikan sikit?
Contohnya puasa sunat, seperti diamalkan sahabat iaitu puasa sunat Isnin-Khamis mengajar kita tentang persediaan. Itulah yang saya katakan kita kena buat cara untuk mengekalkan semangat Ramadan dan menghidupkan sebelum datangnya Ramadan. Begitu juga dengan solat berjemaah. Malangnya, kita lihat ada situasi kuliah-kuliah di masjid dihalang, orang-orang yang berkebolehan tidak diberi peluang. Sebenarnya proses mentarbiyah dan memakmurkan masjid itu kena dijalankan sepanjang tahun. Bukan hanya sebulan Ramadan sahaja.
Tapi dah berpuluh kali sambut Ramadan, masih tak berubah... di mana silapnya?
Kenapa orang tidak berubah pada Ramadan? Sebabnya syaitan telah rekrut dia selama 11 bulan. Jadi bila datang sebulan Ramadan, syaitan rileks sahaja. Jadi kita kena rekrut orang (dengan kebaikan) 11 bulan sebelum datangnya Ramadan. Isu-isu yang berkait dengan ruh Ramadan itu kena dipanjangkan selepas Ramadan, barulah menyambutnya daripada tahun ke tahun daripada bulan ke bulan, minggu ke minggu. Kalau hari raya, Rasulullah ada menyatakan tentangnya iaitu menurut Imam Malik, hari raya ialah hari yang kita tidak melakukan dosa. Hari yang kita meninggal dunia 'husnul khatimah', selamat daripada azab kubur, kemuncak apabila dapat melihat wajah Allah. Itu semua berkaitan dengan puasa kerana puasa itu menahan diri. Jadi sifat menahan diri itu kena ada sepanjang masa. Barulah kedatangan puasa itu disambut dan ditunggu-tunggu. Jadi, persiapan ilmu, buku-buku, kempen besar-besaran, contoh-contoh pemimpin, proses merekrut orang dengan ruh Ramadan, puasa sunat; itu antara perkara untuk mengingatkan kita bahawa bulan ini sememangnya ditunggu-tunggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan