KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 21, 2010

Tanggungjawab Umno sebagai rakan sekutu, beri kefahaman jelas kepada bukan Islam


Kenyataan Presiden MCA, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek yang menghina Islam menggambarkan kegagalan Umno memberi kefahaman kepada pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) berkenaan isu-isu yang menyentuh sensitiviti rakyat. Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Umno tidak memberi keutamaan kepada menteri-menteri kabinet agar memahami sesuatu isu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Umno sewajarnya memberikan kefahaman kepada pemimpin-pemimpin mereka, khususnya MCA, MIC tentang perkara yang boleh menimbulkan ketegangan seperti isu agama, dan budaya," tegas beliau ketika dihubungi Harakah.

Tambah beliau, PAS sebagai sebuah parti dakwah secara jelas memberikan kefahaman secara terbuka kepada DAP dan Dewan Himpunan Penyokong PAS berkenaan Islam, tanpa berselindung bagi mengelakkan sebarang pertembungan agama dan kaum. Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan sikap pemimpin Umno yang berdiam diri dalam hal Chua ini.

Katanya, jika kenyataan seumpama Chua ini dikeluarkan mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya DAP sudah tentu pemimpin Umno akan melenting dan memainkan isu ini secara meluas di akhbar kuasaan mereka.

Sehubungan itu, beliau mendesak Chua agar memohon maaf secara terbuka terhadap seluruh umat Islam di atas kenyataan beliau yang menghina Islam. Chua sebelum ini dilaporkan berkata negara akan mundur dan terkebelakang jika agama menjadi teras sesebuah kerajaan. 

Tiada ulasan: