Ada pandangan yang mengatakan bahawa dalam bulan puasa atau bulan Ramadan, bulan yang penuh rahmah dan keampunan dari Allah, bulan madrasah tarbiyah untuk umat Islam, bulan di mana umat Islam boleh merangkul sebanyak mungkin pahala dan sekaligus menghapuskan sebanyak mungkin dosa, maka aktiviti-aktiviti politik perlu direhatkan.
Hentikan politik sepanjang Ramadan?
Ini bermakna kata-mengata, kritik-mengkritik dan tuduh-menuduh antara satu parti politik dengan parti politik yang lain (parti lawan) perlu dihentikan. Ini kerana Ramadan menghendaki mereka yang berpuasa mendisiplinkan anggota tubuh badan mereka daripada melakukan perkara-perkara yang boleh dianggap sebagai lagha (tidak berfaedah atau tidak berguna).
Anggota mulut perlu digunakan untuk bertasbih, bertahmid dan membaca ayat-ayat suci al-Quran bukan untuk berceramah di pentas-pentas politik yang pasti melibatkan kritikan, sindiran terhadap parti lawan kerana ini adalah asam-garam ceramah politik. Kalau tidak pendengar akan mengantuk dan tidak bersemangat (tidak bertakbir atau ucapan-ucapan lain seperti hidup satu-satu bangsa).
Begitu juga dengan anggota badan lain manusia seperti kaki, telinga, mata dan tangan (malah hati pun) perlu turut didisiplinkan. Pergerakan semua anggota badan manusia hanya untuk mengingatkan Allah Yang Maha Besar dan Maha Agung. Apakah benar semasa puasa sebulan Ramadan, politik mengambil cuti istirehat?
Pemikiran sekular dalam ibadah puasa
Mereka yang berpandangan bahawa politik perlu beristirehat semasa bulan puasa adalah mereka yang terikat dengan pemikiran sekularis: Pandangan yang memisahkan antara 'politik' dan 'agama'.
Pandangan yang melihat bahawa 'politik itu kotor', maka ia tidak sesuai untuk berada dalam bulan yang mulia seperti Ramadan. Pemikiran ini penuh dengan stereotype dan prejudis terhadap politik dan menafikan hakikat bahawa Rasulullah SAW adalah ahli politik yang paling hebat pernah memimpin manusia. Pengiktirafan ini diberi bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga oleh seorang Professor Sejarah bukan Islam dari Amerika Syarikat.
Tibanya Ramadan bermakna dunia bebas dari faktor-faktor yang merosakkan. Pintu syurga (pintu kebaikan) dibuka dan pintu neraka (pintu keburukan) ditutup. Apa yang lebih penting ialah syaitan-syaitan yang biasanya menjadi pembantu-pembantu kepada mereka yang jahat dan zalim (termasuk pemimpin) dirantai.
Ini bermakna dengan Ramadan Allah telah membawa kepada manusia suatu suasana yang amat kondusif bagi terbinanya kebaikan-kabaikan di dunia ini. Persekitaran inilah yang ingin dibina oleh parti-parti politik yang berteraskan Islam sebagai landasan perjuangan mereka; dan PAS tergolong dalam kategori ini.
Mewujudkan persekitaran Islamik
Persekitaran Islamik perlu diwujudkan kerana pengaruh persekitaran terhadap kehidupan manusia begitu besar sekali. Persekitaran akan membentuk pandangan hidup atau tassawur manusia.
Pandangan hidup manusia akan membentuk sikap manusia dan seterusnya sikap manusia (termasuk sikap politik) akan mempengaruhi bagaimana mereka bertindak (termasuk tindakan politik) dalam kehidupan seharian mereka.
Ini bermakna secara asasnya aktiviti gerakan Islam seperti PAS adalah selari dengan 'sifat' Ramadan yang Allah SWT anugerahkan kepada manusia. Ini juga bermakna gerakan Islam seperti PAS perlu memaksimakan kerja-kerja politik mereka dalam Ramadan bagi mengambil peluang yang diberikan oleh Allah ini.
Kerja-kerja politik yang pelbagai bentuk (termasuk ceramah politik) boleh digolong sebagai amal Islami. Tarbiyah Ramadan yang bersungguh-sungguh dan berkesan adalah perlu untuk menarik keluar pemikiran sekular yang berakar-umbi dalam pemikiran manusia dan diisikan dengan ilmu Islam yang sebenar. Dengan ini manusia tidak akan lagi prejudis dan skeptis terhadap Islam. Minda inkuisitif dan saintifiknya akan selari dengan kehendak Islam, akan membenarkan kewujudan Islam.
Apabila mereka menerima pakai prinsip 'kami dengar dan kami patuh', mereka bukanlah sebagai robot-robot yang dicipta oleh kilang-kilang tetapi manusia yang beriman dan yakin dengan kebesaran Allah yang mencipta mereka. Terbinanya pemikiran sekularisme dalam benak masyarakat Islam telah dan akan menjadi benteng yang kukuh terbina kekuatan ummat Islam. Ini adalah pandangan ulamak tersohor iaitu Syeikh Yusuf al-Qaradawy.
Meningkatkan gerakerja politik
Tanpa kerja-kerja yang gigih dan pelbagai dalam bulan Ramadan oleh gerakan Islam seperti PAS, dibimbangi persekitaran Islam yang Allah anugerahkan dengan datangnya Ramadan tidak akan bertahan lama. Amalan-amalan yang dilaksanakan dalam Ramadan seperti sembahyang Tarawih dan Taddarus al-Quran tidak membekas dalam hati masyarakat Islam.
Selepas Ramadan mereka kembali ke takut lama - prejudis dan sinis terhadap Islam. Ini berlaku dalam masyarakat Melayu-Islam. Lihat sahaja bagaimana sikap mereka terhadap solat terawih, di awal Ramadan betapa bersesak-sesaknya mereka bersolat, tetapi makin lama mereka berpuasa, saf-saf makin jarang dan kurang.
Sepatutnya, makin berakhirnya Ramadan makin ramailah anggota masyarakat Islam datang berkerumun ke Surau dan Mesjid kerana mereka sendiri pun tahu bahawa sepuluh hari terakhir Ramadan akan turun Lailatul-Qadr yang lebih baik dari seribu bulan.
Beza Melayu budaya dengan Melayu Islam
Berdasarkan realiti di atas ada penganalisis membezakan di antara Melayu budaya (cultural Malay) dengan Melayu Islam (Islamic Malay). Melayu budaya dikatakan lebih cenderung untuk menyokong Umno dan Melayu Islam lebih berminat untuk bersama PAS.
Sekiranya kehadiran Ramadan dilihat dari perspektif Melayu budaya dibimbangi amalan-amalan yang dilakukan semasa Ramadan seperti solat tarawih dan tadarus al-Quran tidak akan berbekas di dalam hati kerana bagi mereka ini adalah semata-mata tradisi atau budaya bukan tuntutan agama.
Bagi mereka yang dikategorikan sebagai Melayu Islam sudah semestinya melihat ibadat yang dilakukan semasa Ramadan sebagai tuntutan agama; dan fahaman ini perlu dilebarkan dalam masyarakat. Akhirnya, secara majoriti masyarakat Melayu tergolong dalam kategori Melayu Islam yang tidak lagi prejudis dan skeptis terhadap Islam.
Dengan melebarnya kategori Melayu Islam maka keberkatan dari Ramadan akan dapat dituai sepenuhnya. Maka kelompok Melayu Islam yang majoriti akan menjadi teras dan payung kesejahteraan kepada masyarakat majmuk Malaysia kerana keadilan Islam mencangkupi dan melangkaui batasan ras dan agama. Gerakan Islam seperti PAS yang merealisasi sepenuhnya keberkatan Ramadan akan menjadi peneroka bagi melebarkan jaringan keberkatannya di peringkat serantau dan juga di peringkat dunia.
Rahmat untuk sekalian alam
Ini adalah berupa usaha merealisasi tuntutan Islam sebagai 'rahmat untuk seluruh alam'. Bayangkan sekiranya keberkatan Ramadan dapat dihayati seutuhnya di peringkat nasional dan internasional dan keberkatan itu dihayati sepanjang tahun dalam ertikata semua bulan-bulan lain (sebelas bulan semuanya) 'menjadi' Ramadan, maka gerakan Islam seperti PAS dapat menguasai politik antarabangsa.
Sekiranya ini berlaku (dan tidak mustahil ia boleh berlaku dengan izin Allah), maka perjalanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), OIC, Liga Arab, ASEAN dan seumpamanya akan menerima keadilan Islam sebagai dasarnya. Kuasa-kuasa besar akan berlaku adil kepada kuasa-kuasa kecil. Kekayaan dunia akan diagih secara berkesan. Akhirnya, hubungan antarabangsa akan berdasarkan kepada keadilan Islam.
Sememangnya, fasa keadilan pemerintahan Islam ini yang berpusat di Palestin dipimpin oleh Imam Mahdi (yang namanya juga Muhammad bin Abdullah dari keturunan Saiyidatina Fatimah Az-Zahrah) telah pun disabdakan oleh Rasulullah SAW melalui sebuah Hadis oleh seorang sahabat bernama Nu’man bin Basyir.
Fasa ini adalah fasa terakhir dalam kitaran sejarah dunia sebelum berlakunya kiamat. Dalam hal ini, peranan gerakan Islam seperti PAS adalah membina jejambat-jejambat politik dan pentadbiran yang menuju ke arah ini. Sebagai kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa politik adalah sesuatu yang lumrah dan tidak terpisah dari kehidupan manusia; dan perjalanan politik Islam adalah selari dengan tuntutan Ramadan itu sendiri.
Ramadan menghendaki ummat Islam patuh dan tunduk kepada syariat Allah di bawah naugan rahmah dan keampunan-Nya. Atas hakikat ini, adalah sesuatu yang tidak wajar untuk kita ummat Islam untuk bersikap prejudis dan skeptis terhadap Allah dan syariatnya kerana manusia itu sendiri dan seluruh alam ini adalah ciptaan Allah Yang Maha Agung dan Maha Perkasa. - Haji Wan Abdul Rahman Wan Ab Latiff
Tiada ulasan:
Catat Ulasan