Telah lama ruangan ini menyepi. Wartawan ANIS NAZRI dan INTAN ABDULLAH menghidupkannya kembali. Sasarannya, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat. Kemunculannya dalam Dewan itu dikatakan menenggelamkan ramai pemimpin lain yang seangkatan. Baik ustaz-uztaz, mahupun profesional lain, nama Suhaizan meniti bibir. Ikuti 5 soalan panas kali ini!
1. Dalam kepimpinan Pemuda PAS, saudara dilihat lebih menonjol jika dibanding dengan Ketua Pemuda sendiri, Ustaz Nasruddin Hassan. Terlibat dengan GMP dan GMJ. Adakah sudara rasa begitu juga?
SUHAIZAI KAIAT: Kita bekerja secara kolektif, dengan peranan masing-masing. Ada peranan yang dimainkan Ketua Pemuda, ada peranan juga Ketua Penerangan dan sebagainya. So, maknanya selepas dari peranan itu, itu masalah lain. Berkaitan dengan lebih menonjol itu... perkara ini rasanya tak timbul. Itu merupakan satu persepsi. Soal persepsi ini kita tidak boleh halang. Yang pentingnya, Pemuda PAS bergerak secara kolektif dengan masing-masing mempunyai peranan.
2. Saf kepimpinan Pemuda PAS sekarang lebih banyak diisi oleh ustaz-ustaz. Sehingga ada yang dakwa gagal untuk dekati massa. Ia jauh berbeza denagan era Dato' Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub. Fikir saudara macaman mana?
Itu tidak betul sebab kita sendiri ada program yang melibatkan pelbagai golongan. Seperti yang kita buat baru ini, Anak Muda Geng Kita. Itu bukan golongan ustaz. Begitu juga dengan PPSMI, Pemuda PAS berjaya menggerakkan massa dalam isu ini. Kita berjaya menggerakkan budayawan, guru, cendekiawan untuk bersama. Isu judi juga baru-baru ini, kita berjaya gerakkan massa. Begitu juga dengan isu-isu lain yang ditangani bersama di peringkat negeri dan kawasan. Bagi saya pandangan itu tidak adil. Lebih-lebih lagi kepada kepimpinan yang baru setahun. Memang mereka ada aktiviti mereka seperti kuliah, tazkirah dan sebagainya. Soal kuliah dan dakwah ini merupakan satu kelebihan kepada mereka. Mereka cuba memanfaatkan cara itu untuk berdakwah. Tapi, di samping itu mereka tetap ada aktiviti masyarakat yang tidak boleh dinafikan.
3. Tetapi kebanyakan isu yang digerakkan itu, terlihat saudara berada di hadapan sehingga menenggelamkan ustaz-ustaz ini?
Kita kena faham, di sini terletaknya amanah rakyat. Keperluan rakyat, untuk memperjuangkan rakyat. Kita tidak boleh buat semua itu secara bersendiri. Bukan sahaja PAS, mana-mana pun, baik Umno, MCA, NGO perlu bersatu. Kita buat sesuatu benda itu bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk parti dalam usaha menyelamatkan Malaysia. Untuk rakyat semuanya. Kepimpinan yang ada sekarang baru setahun. Masih awal lagi. Sama juga waktu Salahuddin (Ayub) dulu (ambil alih Pemuda). Waktu awal dulu, susah juga dengan kekalahan PAS pada 2004. Masalah jugak nak bergerak, tapi bagi saya itu satu proses untuk mana-mana pemimpin.
4. Mungkinkah saudara terbawa-bawa gaya Mahfuz dan Salahuddin dalam menggerakkan massa, khususnya dalam isu-isu yang berkaitan dengan rakyat? Ada hujah menepisnya?
Soal itu tidak timbul. Macam saya katakan tadi, kita berkerja secara kolektif. Setiap apa yang dilakukan diputuskan bersama parti, bukan kita pandai-pandai merancang sendiri. Cuma peranan itu diagihkan kepada semua agar ia membentuk satu hasil yang lebih baik dan berkesan.
5. Dengar kata saudara bercadang untuk meninggalkan karier bagi memberi tumpuan kepada bidang penulisan. Adakah saudara mengejar glamour atau populariti?
Mana tahu ni... (ketawa) Sebenarnya minat saya membaca perjuangan terdahulu tentang tokoh dalam dan luar negeri. Tokoh-tokoh besar seperti Dr Burhanuddin Helmi, Dato' Onn Jaafar, Professor Zulkifli Muhammad yang kita anggap 'genuine' bersama rakyat. Jika dilihat mereka ini semua dari kalangan penulis. Penulisan ini tidak akan dapat jika tidak membaca. Pembacaan dan penulisan ini akan menajamkan pemikiran kita. Bagi saya itu semua proses kematangan dalam kepimpinan. Saya pun memang minat menulis. Saya sudah banyak menulis kenyataan media selain memorandum. Tahu bila saya mula menulis memorandum? Saya 'start' menulis memorandum ketika darjah enam (ketawa). Masa darjah enam itu saya menulis memorandum kepada Kementerian Kesihatan. Secara tidak langsung, dengan penulisan ini akan memberi kefahaman kepada masyarakat dan menajamkan pemikiran bagi menghadapi masa hadapan dengan cabaran yang pelbagai. Dan saya memang minat menulis dan teringat dengan kata-kata pensyarah saya. Dia kata 'jika kamu tidak tahu menulis apa yang kamu buat, jangan harap kamu dapat buat'. Itulah kata-katanya yang saya pegang dan menjadi dorongan saya untuk menulis. Bukan untuk glamour atau popular, tapi lebih kepada minat dan proses menajamkan pemikiran itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan