KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 14, 2010

Tahaluf Siasi bezakan kerjasama PAS dalam PR dengan Umno yang duduk sebumbung dalam BN - Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama para editor Tarmizi Mohd Jam dan Zulkifli Sulong, para wartawan Harakah dan Harakahdaily sewaktu program "Sesi Cakap-Cakap Bersama Presiden PAS" anjurkan lidah rasmi PAS, Harakah, baru-baru ini.

Program "Sesi Cakap-Cakap Bersama Presiden PAS" telah membedah beberapa isu. Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakui Melayu sebagai teras politik negara. Namun, tahaluf siasi yang dilangsung cukup memberi impak kepada PAS selama ini. Tahaluf membezakan antara kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat dan Umno bersama BN. Begitu juga isu-isu pemerkasaan PAS di kawasan Melayu turut disentuh malah, beliau menolak pelawaan Umno untuk bersatu. PAS bukan ego tetapi berpegang teguh dengan prinsip Islam. Dengan tegas beliau juga menolak DAP sebagai boneka PAS seperti didakyah Umno-BN. Isu Dewan Himpunan Penyokong PAS juga diperjelaskan. Ikuti interbiu eksklusif ini bersama TARMIZI MOHD JAM, ZULKIFLY SULONG dan enam wartawan Harakah dan Harakahdaily; INTAN ABDULLAH, ROY RASUL, NYZA AYOB, SALMIYAH HARUN, ANIS NAZRI dan NAZRI ABDULLAH di Pejabat Editorial Harakah, baru-baru ini. Foto ANIS NAZRI. (Bahagian 2)

Dato' Seri memberi signal, PAS menolak ajakan Umno untuk bersatu atau bekerjasama? Begitu?

DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: Islam mengajar ada perkara yang wajib bersatu, dan ada perkara haram untuk kita bersatu. Wajib PAS tolong mencegah masalah, tetapi haram kalau menyokong ke arah kemungkaran. Waktu PAS hendak melaksanakan hukum hudud di Kelantan, kita diberikan surat amaran, jika buat Kerajaan Pusat akan bertindak. Jika begitu bagaimana hendak kerjasama dengan parti macam ini? PAS juga mengambil kira tanda keikhlasan. Kita pernah memerintah dua buah kerajan negeri sebelum ini, iaitu Kelantan dan Terengganu. Apa yang Umno-BN tak buat pada PAS? Boleh disenaraikan. Apa yang Umno buat pada Kerajaan Sabah sewaktu PBS menang? Pemimpin Umno perlu muhasabah balik. Anak-anak kita di universiti dinafikan biasiswa, pensyarah pula ada yang ditukar, 'dibuang daerah'. Saya guna istilah 'buang daerah' kerana Umno memang begitu. Hal ini amat menyentuh ahli biasa PAS.

Timbul tuduhan liar Dato' Seri. Jika disingkap laman-laman media baru seperti blog, twitter, facebook dan lain-lain, mereka persoalkan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat. Dulu, PAS juga yang dakwa bekerjasama (Umno) dalam BN sebagai 'kafir'. Apa yang membezakan kerjasama ini? 

Sebenarnya, kita perlu mempelajari feqah politik Islam sebagaimana solat, puasa, haji... semuanya ada feqah. Maka politik pun ada feqahnya seperti yang diajar dalam Al-Quran dan oleh Nabi Muhammad SAW. Islam mengharamkan kita membuang akidah perjuangan kita (PAS) dan Islam melarang kita memaksa orang lain supaya menganut agama kita (Islam).  Ini kerana orang Islam mesti beriman kepada Allah SWT, dan iman tidak boleh dipaksa. Mesti dengan rela hati. Dalam masalah akidah ini, PAS tidak boleh bertolak ansur, tetapi dalam masalah muamalah ini, ada batas-batas yang ditunjukkan oleh Islam. Contoh secara praktikal apabila Nabi Muhammad SAW hendak berhijrah dari Mekah ke Madinah. Di sana, ada orang-orang musyrikin yang hendak membunuh Nabi dan sahabat-sahabatnya, dan di sana ada orang-orang musyrikin yang bukan Islam amat benci kepada kezaliman. Dan Nabi mengambil khidmat daripada seorang dari mereka yang bukan Islam untuk menunjukkan jalan pintas berhijrah menuju ke Madinah. Di sini menunjukan, hijrah yang dilakukan Nabi SAW itu, melibatkan orang bukan Islam (kafir) yang benci kepada kezaliman. Apabila Nabi SAW mendirikan negara Islam di Madinah, Nabi mendahulukan perpaduan orang Islam. Ini kerana dalam Islam ada dua perpaduan iaitu perpaduan Islam dan perpaduan kemanusiaan. Nabi SAW mengambil fasa yang pertama iaitu perpaduan Islam di kalangan Muhajirin dan Ansar yang berhijrah ke Madinah dengan penduduk Madinah sendiri disatukan dalam satu kumpulan yang beriman dan berakidah kepada Islam. Yang kedua, Nabi SAW mengajak kumpulan-kumpulan bukan Islam yang mempunyai titik persamaan dengan kemanusiaan di antaranya mahu  keadilan dan menentang kezaliman. Benci kepada kejahatan. 

Dato' Seri sebut tadi, bekerjasama atas titik persamaan. Ini yang dilakukan oleh PAS dengan parti-parti KeADILan dan DAP yang disebut sebagai tahaluf siasi... 

Iya.... PAS mengajak kumpulan ini supaya bekerjasama dengan kita.  Yang disebut feqah politik ialah tahaluf siasi iaitu persamaan dengan pihak lain yang mempunyai titik persamaan dengan kita (PAS). Di zaman Nabi SAW, lahirlah Piagam Madinah yang cukup terkenal. Piagam Madinah ini melibatkan orang Islam dan bukan Islam. Orang bukan Islam merupakan majoriti pada awalnya tetapi orang Islam bersatu, orang bukan Islam tidak bersatu. Yahudi dan Kristian sesama mereka tidak bersatu. Mereka tidak senang dengan kepimpinan mereka (Yahudi/Kristian) yang zalim ketika itu, tidak senang dengan jenayah dan gejala membunuh anak hidup-hidup. Di sini Nabi SAW mengambil pendekatan dan menangani sifat 'kemanusiaan' yang sama pada semua manusia, untuk bertahaluf. Dan mereka menerima penubuhan sebuah negara pertama melibatkan orang Islam dan bukan Islam. Kerjasama tahaluf siasi inilah yang diambil khusus oleh PAS setelah dikaji dari segi hukum syarak dan dari segi keperluan politik semasa. 

Berdasarkan Piagam Madinah, tahaluf telah menyatukan orang Islam dan bukan Islam. Di Malaysia juga, masyarakat majmuk wujud dan PAS tidak boleh memerintah tanpa dokongan orang bukan Islam. Apa komen Dato' Seri?

PAS menyedari bahawa kita tidak boleh memerintah Malaysia dengan satu kaum, kerana masyarakat di sini majmuk. Kita perlu mengambil kira masyarakat pelbagai kaum yang ada dalam negara ini. Oleh sebab itu kedudukan masyarakat majmuk dalam negara ini perlu diberi perhatian serius dan Islam ada penyelesaiannya sendiri. Maka PAS mengambil pendekatan tahaluf siasi iaitu dengan PAS mengambil titik persamaan yang halal dikatakan halal dan yang haram tetap ditegaskan haram. Ini PAS tidak berganjak. Dalam perkara ini, Umno tidak mempeduli soal halal dan haram, dalam kerjasama dia dalam BN. Umno tidak ada batasan sebab dia tidak ada feqah politik dalam muamalah dia dengan orang bukan Islam. PAS menunjukkan sikap kita yang ikhlas. Kita tegas dengan orang bukan Islam, hasil daripada ini kita dapat lihat impak yang lebih baik setelah kita memerintah Kelantan sejak tahun 1990 dan memerintah Terengganu 1999. 

Maksud Dato' Seri, kesan dari tahaluf siasi telah meluaskan pengaruh atau memperkasakan PAS dalam negara ini...

Hakikatnya PAS telah berjaya melakukan anjakan paradigma dalam masyarakat bukan Islam di Malaysia ini. Berduyun-duyun orang datang untuk menjadi ahli PAS. Perubahan sudah berlaku dan kefahaman feqah politik sekali gus berlaku menunjukkan kemajuan di dalam PAS. Melalui feqah politik inilah, PAS mengambil pendekatan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) iaitu menerima keahlian orang bukan Islam bersama dengan PAS. Yang kedua mengadakan persefahaman dengan parti lain tanpa kita memaksa mereka meninggalkan ideologi mereka, dan mereka tidak boleh meminta untuk bertolak ansur dengan idealogi kita (PAS). Kita ada sikap kita sendiri.  

Dato' Seri ada menyebut DHPP, dan dalam perasmian dewan itu beberapa bulan lalu, Dato' Seri mengakui dewan ini adalah satu-satunya di dunia wujud orang bukan Islam duduk dalam parti Islam kemudian menyokong perjuangan Islam. Keadaan ini tidak berlaku di negara-negara lain... 

Keseluruhan negara umat Islam ini majoritinya orang Islam dan sesetengahnya 80 hingga 90 peratus, tidak besar (bukan Islam). Keduanya kebanyakkan negara umat Islam, terus terang saya kata kebanyakkannya tidak demokratik langsung. Mengamalkan 'dictatorship'. Di Malaysia walaupun demokrasinya masih tempang, masih lemah tetapi ada demokrasi lah juga. Ini memberi ruang kepada kita bergerak lebih, walaupun kita tidak puas hati lagi. Ini memberi satu ruang kepada orang bukan Islam untuk melihat contoh dan model politik Islam. PAS boleh bezakan ibadah dalam Islam dengan politik. Feqah ibadah dengan feqah politik berbeza sedikit. Kalau feqah ibadah imam sembahyangnya orang Islam, makmum juga mesti orang Islam. Dalam feqah politik ini, imamnya orang Islam makmumnya boleh juga orang bukan Islam. Bahkan penghayatan politik Islam pada zaman mutakhir ini, kita lihat kitab-kitab feqah Islam mengizinkan orang bukan Islam menjadi menteri dalam sebuah negara Islam. Al-Mawardi sebagai contoh, dalam kitab-kitab Yahkam Sultoniyah, dan kitab Al-Buwazir, bagitu juga ulama-ulama yang lain membenarkan orang bukan Islam berada dalam kabinet dalam sebuah negara yang mendokong konsep dan prinsip Islam. Itu berlaku dalam feqah politik Islam. 
Mawardi ialah seorang tokoh ulama Mazhab Syafie, dan kitab Al-Buwazir, ada diterjemahkan dalam bahasa Jerman dan bahasa Latin. Pembuat dasar mesti parti yang memerintah. Kalau parti itu parti Islam maka dasarnya juga Islam, kalau parti itu komunis maka dasarnya komunislah. Konservatif... konservatiflah, kalau republikan...republiklah. Kita lihat di Amerika kalau mereka memerintah dia tidak ambil orang komunis untuk membuat dasarnya. Bagitulah juga dalam sebuah negara Islam. Tetapi dalam Islam kita membenarkan konsep menerima orang bukan Islam maka sudah tentulah prinsip seperti menganut akidah itu iaitu Islam. Akidah Islam ada perhitungan dosa dan pahala. Bahkan dosa dan pahala ini akan ada dalam diri seorang penganut agama Islam. Ini aspek spiritual yang dikaitkan dengan aspek politik.

Tapi masih ada ahli-ahli PAS yang kurang senang dengan tindakan PAS melebarkan sayapnya membuka Dewan Himpunan. Boleh Dato' Seri jelaskan kekeliruan ini, sebab mereka bukan Islam?

Yang pertama, orang PAS mesti faham Perlembagaan PAS yang berdasarkan Al-Quran dan Hadis, ijma' ulama dan qias yang nyata. Ini hukum yang tertinggi. Sebarang tindakan tidak boleh keluar daripada hukum ini.  Yang kedua PAS menerima konsep kepimpinan ulama. Dengan sebab itu wala' kepada kepimpinan mesti dilakukan. Dalam wala' ini pengikut mesti taati pemimpin, bukan pemimpin ikut orang yang dipimpin, yang tidak memahami strategi perjuangan parti. Dalam melaksanakan sesuatu keputusan yang pertama PAS mempunyai Lajnah Politik yang menilai dari segi politik. PAS mempunyai Majlis Syura Ulama, yang dirujuk dari segi hukum syarak, diboleh mengikut Islam atau tidak. Betapa telitinya PAS dalam masalah Dewan Himpunan ini, walaupun almarhum Prof Dr. Zulkifli Mohammad telah membawa perkara ini lebih 50 tahun yang lalu. Tetapi oleh kerana pada masa itu ia tidak diperlukan lagi (suasana masa itu) beliau menangguhkan. 
Setelah berlakunya integrasi kaum yang begitu menyeluruh dan setelah kita mencapai kemerdekaan, hubungan kaum begitu bercampur dalam masyarakat majmuk dalam negara kita ini. Islam adalah satu agama menangani semua keadaan, walaupun Majlis Syura Ulama kita mampu menangani masalah ini, tetapi PAS minta satu Muzakarah Ulama diadakan di peringkat antarabangsa, maka diadakan pada 1998 di England.  England ialah sebuah negara yang agak bebas dari segi demokrasinya. Kita jemput tokoh-tokoh ulama daripada gerakan Islam dan tokoh-tokoh akademik yang tersohor seperti Syeikh Yusuf Qardhawi, Syeikh Faisal Maulawi, tokoh-tokoh politik seperti Rashid Qanushi, Qardhi Hussin Ahmad dan ramai lagi. PAS telah membentangkan kertas kerja dalam muzakarah itu membincangkan hukum syarak dalam segala mazhab. Di mana dalam muzakarah itu, setelah jelaskan mereka menerima cadangan melibatkan orang bukan Islam di dalam amal politik, sebuah pemerintahan berdasarkan Islam. Berdasarkan nas Alquran dan hadis Nabi SAW, maka Islam tidak menghalang sekiranya ada maslahah kebaikan untuk Islam dan manusia sejagat. 

Maknanya dari keputusan Muzakarah Ulama inilah , maka baru PAS laksanakan penerimaan orang bukan Islam...

Setelah berbincang dan melihat suasana manusia hari ini menganut ideologi-idealogi yang lain, maka sudah tiba masanya kita tumpukan kepada orang bukan Islam ini. PAS bawa balik ke Malaysia idea ini. Setelah balik ke sini, PAS laksanakan terus. Kita dahulukan dengan pelaksanaan kita di Kelantan semasa PAS memerintah. Pelaksanaan kita di Terengganu. PAS buktikan keadilan dan hak orang bukan Islam sehingga berlaku suatu perubahan sokongan orang bukan Islam dalam PRU 1999, 2004 dan 2008 sehingga ada peti undi kawasan bukan Islam... PAS menang. PAS bertanding peti undi bukan Islam... kita menang. Dua tiga kali pilihan raya bukan satu kali. Ini menandakan mereka bekerja bersungguh-sungguh bukan sahaja menyokong kita. Dengan sebab itu PAS melihat sudah tiba masanya parti kita ini melaksanakan apa yang kita putuskan. 

Tiada ulasan: