Para ulama menyifatkan Ramadan sebagai satu instituisi atau universiti yang di dalamnya mengandungi matlamat, sistem kurikulum yang lengkap dan rapi. Matlamat utama Universiti Ramadan ialah melahirkan para graduan yang memperolehi ijazah atau degree 'At Taqwa' yang di keluarkan oleh universiti ini, setelah seseorang mengikuti sistem dan kurikulum yang khusus selama berada di universiti ini.
Ijazah atau degree 'At Taqwa' adalah kelayakan para graduannya untuk hidup sebagai muslim yang bertaqwa dalam seluruh aspek kehidupan, bertaqwa dalam sudut ibadat dan muamalat, bertaqwa dalam sudut keimanan dengan berakidah tauhid dan menjauhi syirik, bertaqwa dalam sudut pemilikan harta dengan mencari yang halal dan membelanjakannya pada jalan yang halal, bertaqwa pada panca indera dengan menjadikannya taat kepada perintah Allah, bertaqwa dalam kehidupan berumah tangga, bertaqwa dalam keluarga, bertaqwa dalam masyarakat dan negara, dan bertaqwa dalam jihad menegakkan kalimah Allah.
Sewajarnya apabila kita hendak mencapai kejayaan dari Universiti Ramadan ini hendaklah kita mengambil kira keistimewaan-keistimewaan bulan Ramadan dan hukum-hakam ibadah dalamnya.
Samada yang wajib mahupun yang sunat yang terkandung di dalam sistem dan kurikulum pendidikan bagi institusi Ramadan. Keistimewaan Ramadan kerana ianya merupakan bulan puasa, bulan al Quran, bulan kemurahan dan berbuat kebajikan, bulan bermujahadah dan beribadah.
Justeru itu, kurikulumnya dapat dibahagikan kepada dua:
1) Amalan-amalan tetap yang wajib dijaga sepenuh masa iaitu:
• Segala amalan fardhu yang diwajibkan oleh syarak seperti solat fardhu, solat jamaah, zakat, puasa, menutup aurat, menjaga mata, telinga, lidah dan seluruh anggota dari melakukan maksiat atau melanggar perintah Allah.
• Tugas-tugas kewajipan seseorang yang tertanggung atas dirinya seperti mencari nafkah yang halal.
• Memberi nafkah kepada tanggungan atau membelanjakannya pada jalan yang halal dan bermanafaat. Melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar. Kewajipan ini tidak boleh diabaikan dengan alasan bulan Ramadan.
• Amalan tugas pekerjaan harian samada bekerja kerajaan, swasta atau persendirian, awam atau tentera, polis, bomba semuanya itu tidak boleh diabaikan dengan alasan bulan Ramadan.
2) Amalan-amalan keutamaan (fadilat) yang digalakkan iaitu:
• Ibadat sunat atau nafilah diri seperti solat sunat, qiamulail, membaca al-Quran dan memahaminya, zikir dan seumpamanya.
• Amalan-amalan kebajikan yang digalakkan seperti bersedekah memberi infak, menolong orang dan seumpamanya .
Objektif yang hendak dicapai:
1. Puasa sepenuhnya di bulan Ramadan yang dimakbulkan oleh Allah.
2. Membaca al-Quran dan meneliti serta mengambil pengajaran daripadanya yang diterima oleh Allah.
3. Ibadah malam sepanjang Ramadan yang diterima oleh Allah.
4. Penyucian jiwa melalui ibadat-ibadat sepanjang Ramadan.
5. Bersedekah dan membuat kebajikan dengan sedaya upaya seperti bersedekah kepada fakir miskin, memberi infak bagi pembinaan sekolah, masjid , berkhidmat kepada ibubapa, menolong golongan yang menderita, menjamu orang yang berpuasa dan sebagainya.
6. Menghias diri dengan akhlak-akhlak yang mulia seperti sifat ikhlas, benar, amanah, menunaikan janji, tawaduk, berlaku adil dan sebagainya .
7. Menjauhi akhlak-akhlak yang keji seperti berbohong, mengumpat, mungkir janji, sombong, berlaku zalim, mengambil rasuah dan sebagainya.
Dengan mencapai objektif-objektif ini seseorang siswa-siswi Universti Ramadan akan layak mendapat ijazah dari universiti ini mengikut merit masing-masing mengikut pencapaian.
Di sini disarankan beberapa kaeadah untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dan beriltizam mengikut kurikulum:
• Berpuas hati bahawa dalam diri kita ada kebaikan dan sifat-sifat positif yang perlu disubur dan dikembangkan.
• Berpuas hati bahawa dalam diri kita ada kesalahan-kesalahan dan sifat negatif yang wajar kita lepaskan diri daripadanya.
• Berpuas hati bahawa perubahan ke arah yang lebih baik itu adalah satu perkara yang mungkin dan mempunyai jalan-jalannya.
• Berpuas hati bahawa bulan Ramadan adalah kesempatan yang tidak ada galang gantinya maka hendaklah memanfaatkanya dengan sepenuhnya.
• Berazam untuk berterusan di atas kebaikan yang telah dicapai dari bulan Ramadan untuk sepanjang masa., bukan hanya untuk sepanjang bulan Ramadan sahaja.
• Berpuas hati dengan jadual yang ditetapkan dan beriltizam melaksanakannya sebagai salah satu syarat utama bagi mencapai keputusan yang menggembirakan .
• Mana-mana kewajipan yang terlepas samada dalam bulan Ramadan atau di luar Ramadan hendaklah diqada' atau ditunaikan kerana ianya dianggap sebagai hutang yang wajib dibayar.
• Mana-mana penyampaian yang positif yang dicapai atau didapati di siang Ramadan hendaklah dijaga dan jangan pula dirosakkan di malamnya, begitulah sebaliknya.
• Hendaklah senantiasa bermuhasabah diri dan berusaha mendapat apa-apa yang terlepas daripadanya secara istiqamah sehingga segala kebaikan menjadi sifat yang melazimi diri dan boleh dimanfaatkan pada bila-bila masa.
• Memohon pertolongan Allah dan berdoa kepada-Nya, berhemah tinggi, bersabar dan bersungguh-sungguh, semuanya merupakan perkara-perkara asas untuk mencapai hasil yang baik daripada kaedah-kaedah ini.
Kefahaman yang perlu diambil perhatian:
Ibadah puasa itu sendiri merupakan sumber motivasi dalam membina potensi, semangat dan kekuatan diri. Melaluinya, jiwa manusia dapat dibebaskan daripada kongkongan nafsu yang bersifat keduniaan dan kebendaan seterusnya melahirkan individu yang berjiwa kehambaan kepada Allah SWT . Semoga kita semua menjadi graduan Universiti Ramadhan kali ini dengan penuh bercahaya!
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmat-Nya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya, serta diampunkan-Nya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” –Surah al-Hadid, ayat 28. - Ustazah Rosiah Salleh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan