Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi yakin, parti yang dipimpinnya kini mampu untuk mengambil tempat dan peranan yang selma ini dimainkan oleh Umno lebih 52 tahun lalu. Berbekalkan politik Malaysia adalah ditunjangi Melayu sebagai teras, maka PAS wajar menempatkan dirinya ditapak Umno kini, setelah parti kebangsaan itu kian ditolak oleh rakyat. Beliau yakin, Melayu akan jadi lebih mulia dengan Islam dan dokongan orang-orang Melayu untuk berubah cukup penting bagi mengisi impian ini. Ikuti sambungan ringkas Sesi Cakap-Cakap Bersama Presiden PAS yang diadakan di Pejabat Harakah minggu lalu bersama TARMIZI MOHD JAM dan ZULKIFLI SULONG.
Pengaruh Umno kian tercalar sekarang, dan PAS dilihat mampu menggantikan Umno. Ini disebut Dato' Seri sebelum ini PAS ganti Umno. Dalam pilihan raya PAS bertanding di kawasan Melayu dan kalah. Di kawasan bukan Melayu, PAS menang. Bagaimana Dato' Seri lihat PAS boleh kukuhkan parti bagi menarik keyakinan rakyat PAS sedia gantikan Umno?
TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: Kita perlu faham suasana politik negara kita. Apa yang difahami semua pengamal politik termasuk yang bukan Melayu bahawa pembahagian kerusi di negara ini masih menunjukkan politik Melayu masih teras kepada politik negara. Walaupun Umno sudah memecahbelahkan kerusi semata-mata untuk memenangkan mereka (BN). Namun demikian kedudukan politik Melayu telah diterima semua kaum dalam masyarakat berbilang kaum dan pelbagai etnik ini. Melayu adalah teras. Saya percaya orang Cina tidak tamak kerana mereka sedar diri. Begitu juga orang India. Dan sepatutnya juga orang Melayu jangan tamak kerana ia (kepelbagaian) anugerah Tuhan yang mencipta dengan pelbagai etnik wujud di negara kita. Apa yang silap apabila kita pasang skru tidak betul. Maka bergegarlah... Jadi kita kena terima hakikat bahawa Melayu masih teras politik dan hakikat itu tidak boleh diubah dengan mudah. Kita perlu mengubah kefahaman orang Melalyu tentang politik sepertimana yang difirmankan Allah: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu yang mengubahnya..." Sama ada berubah ke arah bencana atau kebaikan.
Tapi Umno sudah berkuasa 50 tahun, tempoh yang lama...
Baik... kita lihat sudah 50 tahun Umno membawa konsep ketuanan Melayu, dan dalam masa sama parti itu mahu untuk menegakkan Islam seperti yang didakwa mereka. Hakikatnya ia tetap berlandaskan sekularisme. Bagi mereka, hanya mementingkan Melayu sahaja berkuasa, bukan Islam berkuasa. Inilah punca kelemahan yang memalukan Islam itu sendiri hingga melahirkan pemimpin yang rasuah, pemimpin yang bukan membina bangsa tapi merobek bangsanya sendiri. Jika kerajaan Melayu Melaka, yang pemerintahannya berlandaskan Islam telah melahirkan tamadun Islam dan kemudiannya 'khazanah' Islam itu dicuri dan dihapuskan oleh penjajah tamadun tersebut.
Dato' Seri ada menyebut tentang orang Melayu perlu berubah. Hari ini, orang Melayu memang terbeban dengan isu-isu semasa seperti kenaikan harga barang dan kemiskinan. Apakah langkah-langkah PAS untuk membangkitkan keyakinan orang Melayu bagi memilih PAS sebagai pengganti Umno?
Mengapa orang Melayu tidak berubah? Ini kerana mereka tidak membaca seperti di negara barat. Di barat rakyatnya suka membaca supaya menjadi seorang yang berilmu. Sebab untuk berubah, sangat penting kepada celik ilmu. Pelbagai yang terangkum di dalamnya keupayaan untuk menilai baik buruk, membaca rentak politik, malah boleh mmebuat keputusan bijak dalam memilih kerajaan. Rakyat khususnya orang Melayu kena lakukan perubahan untuk mendapat sokongan Islam dan bukan Islam.
Tapi dalam PRU 1999, orang Melayu sokong PAS. PRU 2004 pula orang Melayu kembali kepada Umno dan bukan Melayu undi PAS. PRU 2008 bukan Melayu kembali sokong PAS dan Pakatan Rakyat...
Jika kita lihat pada tahun 1999, Melayu memang sokong PAS, non muslim tidak sokong. Dan pada pilihan raya lain kemudiannya, Melayu kurang sokong PAS, sebaliknya bukan Melayu menyokong PAS. Perubahan ini dokongan kuat dari semua rakyat, kalau inginkan perubahan. Kita perlu sedar negara yang demokrasi akan menekankan beberapa prinsip. Yang pertama masyarakat bermaklumat dan berilmu. Dengan maklumat dan ilmu yang diterima mereka boleh membuat keputusan yang baik. Seperti masyarakat bermaklumat di negara barat, apabila berlaku isu yang membuktikan kesilapan negara, ia akan disiarkan oleh media massa. Apa sahaja isu kelemahan kerajaan, ianya akan menjatuhkan kerajaan, di mana media adalah saksi dalam mahkamah, manakala rakyat sebagai hakim di mahkamah. Di negara kita, rakyat tidak dapat akses maklumat menyeluruh secara adil dengan media terkongkong walaupun ada juga kebebasan, seperti Harakah dibenarkan dua kali seminggu... itu pun untuk ahli sahaja. Tv terhad di kawasan bandar dan pinggir bandar, luar bandar hanya ada RTM, Manakala ceramah pula sentiasa diganggu polis yang menyebabkan orang atas pagar takut hendak datang. Ini keadaan yang kita hadapi, namun PAS fikirkan masyarakat tidak boleh menipu selamanya. Kerajaan tidak kekal. Hanya kerajaan Allah yang kekal. Kita bersabar dan Allah buktikan kita boleh menang walapun dalam keadaan ini.
Perkembangan dan potensi PAS untuk mengganti Umno memang terserlah. Ini dibuktikan dengan lamaran penyatuan PAS-Umno. Motifnya dilihat sesetengah pihak, sebagai usaha memecahbelahkan PAS dan Pakatan Rakyat. Bagaimana Dato' Seri melihat isu ini?
PAS mempunyai konsep yang konsisten untuk meneguhkan parti kita dan kita terbuka, bukan tertutup tetapi setia dengan kawan, kita beradab dengan lawan. Islam ajar tolong-menolong dalam hal kebaikan dan taqwa dan jangan tolong dalam soal kemungkaran. Sekiranya perkara baik dan bertakwa seperti isu Palestin, Bosnia, hal kemanusiaan dalam hal ini kita tiada masalah. Bukan sahaja boleh baca sajak bersama, bukan sahaja PAS ada sumbangan, Umno juga ada. Di sini kita tidak boleh bertelingkah. Dalam hal kebajikan kita bersedia untuk memerangi jenayah. Begitu juga soal gejala sosial, kita boleh bersama. Tetapi kerjasama untuk memikul beban dengan masalah mereka yang berpenyakit yang memarakkan amarah rakyat, penyakit rasuah dan dia ajak kita berkawan semata-mata unutk ringankan beban. Itu kita minta maaf. Islam ajar ada benda yang wajib bersatu, ada yang haram bersatu. Wajib tolong mencegah masalah, haram kalau menyokong ke arah kemungkaran. Kita juga ambil kira tanda keikhlasan. PAS penah perintah dua buah negeri sebelum ini, Kelantan dan Trengganu. Apa yang dia (Umno) tidak buat pada PAS? Tahun 90 di Kelantan, 99 di Terengganu, apa yang Umno tak buat kepada kita? Apa yang dibuat kepada Sabah waktu PBS menang? Jadi, Umno perlu munasabah balik bila ajak kerjasama ini. Anak-anak kita di universiti dinafikan biasiswa, pensyarah ditukar atau dibuang daerah. Hal seperti ini amat menyentuh ahli biasa PAS. Namun PAS terbuka sekiranya musuh yang berperang, jika mahu berdamai, ita kena berdamai dan tawakal kepada Allah. Jika dalam hal ini mereka hendak menipu, cukuplah Allah akan menolong kamu dan Allah bersama kamu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan