Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Dato Seri Nizar Jamaluddin mendakwa kewujudan Kelab Umno Mesir, Kelab Umno Jordan dan Kelab Umno Belfast telah membuktikan parti Melayu itu mendominasikan pelajar untuk kepentingan politik mereka selama ini, bukannya PAS.
"Ini bererti, Umno berbelanja untuk membiayai kelab-kelab itu dan ada jawatankuasanya. Setiap kali ada perhimpunan Umno, pemimpin kelab akan dibawa balik ke Kuala Lumpur, berapa hari kita tidak tahu.
"Sudah tentu kos yang berjuta-juta ringgit itu adalah sebenarnya jumlah yang dibuat oleh Umno, bukan PAS. Jadi, siapa buat 'kilang'?" soal beliau. Nizar menambah, PAS tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan bagi pelajar lepasan timur tengah dan PAS juga tidak menggunakan aspek kewangan untuk mempengaruhi bagi menyebelahi.
"Apa yang mereka pelajari di sana, ilmu itu sendiri memimpin mereka untuk menolak Umno, apabila mereka pulang. Ilmu yang dipelajari adalah ilmu agama.
"Jadi ilmu-ilmu itu menyelamatkan mereka daripada menyokong kebatilan Umno. Jadi PAS tidak payah nak belanja sebab ilmu itu sendiri dapat memberikan pelajar-pelajar ruang untuk menyokong perjuangan PAS," Katanya. Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menegaskan, ilmu merupakan penyelamat pelajar-pelajar Malaysia di Mesir dan Jordan dari terjebak dengan kebatilan Barisan Nasional yang diketuai Umno.
Beliau menafikan dakwaan, PAS menjadikan pelajar-pelajar di Timur Tengah terutamanya Mesir dan Jordan sebagai 'kilang' untuk melahirkan pemimpin dan penyokong parti dengan menyumbangkan dana bagi usaha tersebut.
Menurutnya, dakwaan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Chik adalah tidak berasas kerana PAS tidak ada keupayaan dari segi kewangan bagi melakukan kerja-kerja sedemikian. "Apa yang berlaku ialah pelajar-pelajar di Timur Tengah terutamanya Mesir dan Jordan menggunakan belanja sendiri. Lainlah kalau membuat kursus perubatan yang ditaja sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
"Jadi itu tidak benar bahawa PAS ada terlibat dengan kerja-kerja sedemikian. Tapi sebaliknya, yang banyak berbelanja dan menghantar menteri-menteri ke Mesir, pusat pengajian di Eropah, di Australia, di Syria dan Jordan adalah Umno," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakah selepas menghadiri satu Majlis Hi-Tea dan Perlancaran Tabung Ehsan Ummah Selangor yang dianjurkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Selangor dengan kerjasama Ikatan Anak Perak di Perantauan di sini, 8 Ogos lalu.
Perlancaran tabung tersebut telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS negeri merangkap Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Dr. Hassan Ali. Hadir sama pengarah program, Ustazah Mariam Abdul Rashid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan