KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Ogos 13, 2010

Sorong tarik permit: Umno jadikan KDN senjata kekang media Pakatan Rakyat


Bila berbicara soal permit penerbitan, ada dua perkara yang mahu diperkatakan secara tegas. Kedua-duanya, berlawanan antara satu sama lain, samalah dengan berlawanannya antara hidup dengan mati, sakit lawannya sihat dan gemuk lawannya kurus.

Sebagai salah seorang yang memang hidup bergelumang dalam dunia penulisan dan penerbitan, tentunya penulis tidak mahu adanya permit penerbitan setiap kali mahu menerbitkan sesuatu kerana ia bukan perkara mudah untuk mendapatkannya, selain karenah birokrasi.

Tetapi sebagai seorang pembaca, sesekali rasanya perlu juga permit penerbitan kerana bimbang, apabila ia tidak dilesenkan, penulis dan penerbit  akan sewenang-wenangnya menulis dan menerbitkan fitnah dan hasutan, selain cerita-cerita dan gambar lucah, yang tentunya menyinggung kehidupan, khususnya berkeluarga simangsa.

Pengalaman 'dijemput' KDN ke Putrajaya juga sebenarnya sesuatu yang menyusahkan walaupun ia sebenarnya sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Pandangan masyarakat cukup keliru kerana, 'jemputan KDN' itu sudah menyebabkan mereka memandang penulis dan penerbit 'telah melakukan kesalahan' walaupun hakikatnya KDN dengan pengamal media, sepatutnya perlu sokong menyokong antara satu sama lain. KDN dengan penerbit (penulis) sebenarnya patut menjadi aur dengan tebing jika pun tidak seperti isi dengan kuku.

Jika dikira peratusan, sebenarnya permit penerbitan yang dikeluarkan dengan yang ditarik balik atau dikenakan tindakan gantung, amat kecil tetapi hakikatnya, apabila ada akhbar yang dikenakan tindakan, hanya kesilapan yang bukan kesalahan jenayah, ramai pekerja yang terpaksa mengganggur.

Apakah pegawai-pegawai KDN nampak akan semua masalah ini? Modal untuk memulakan penerbitan sebenarnya bukan kecil, selain daripada tanggungjawab mengedar dan mencetak yang turut menjadi sulit apabila KDN mengeluarkan kenyataan yang berbaur 'amaran'.

Tanpa menyentuh mengenai masalah yang dihadapi Suara Keadilan dan Roket, Harakah yang pernah mengalami pelbagai cabaran dan rintangan dengan KDN lebih dahsyat lagi. Pernah ditarik permit penerbitannya, pernah dikurangkan kekerapan terbitannya dan ini sedikit sebanyak mengganggu perniagaan.

Dulu, ada sebuah akhbar tabloid bernama Eksklusif. Permitnya juga tidak diperbaharui tetapi kemungkinan juga penerbitnya sudah tidak berminat lagi untuk merayu pembaharuan permit penerbitan akhbar itu, ia berkubur begitu sahaja.

Mungkin, disebabkan ia diterbitkan sebuah syarikat penerbitan yang besar dan kukuh, maka semua pekerja-pekerjanya boleh diserapkan ke bahagian lain, tetapi sebenarnya nasib malang yang menimpa akhbar itu sebenarnya turut 'menutup pintu rezeki' penulis-penulis luar yang menumpang mencari makan dengan akhbar tersebut? 

Adakah sesiapa yang memikirkan nasib golongan ini? Tidak hairanlah, apabila muncul kemudahan media baru, blog dan internet, maka di situ pihak KDN seharusnya dapat melihat betapa ramainya penulis berbakat yang telah menggunakan bakat masing dengan menyerang kerajaan – kerana di medan ini, mereka tidak perlu takut dengan 'amaran' dari KDN.

Pembangunan minda sebenarnya terganggu dengan akta demi akta. Tetapi faktor keselamatan juga adalah perkara amat penting yang perlu penerbit dan penulis berikan perhatian. Tidak ada gunanya permit penerbitan dihapuskan jika keselamatan negara musnah akibatnya.

Bagi mereka yang bekerja dengan penerbitan dan bagi penerbitan yang mempunyai permit penerbitan, tentunya masing-masing berhati-hati menulis dan menerbitkan kerana tanggungjawab menjaga kepentingan dan hak pekerja adalah perkara utama, selain perjuangan untuk menegakan kebenaran. Jika tidak berhati-hati, semua ini tertutup dan terhenti hanya kerana sikap kurang berhati-hati.

Memetik tulisan Ahmad Lutfi Othman (Catatan Hujung – Harakah 30 Julai – 1 Ogos 2010); Harakah sudah diperbaharui permitnya – setelah gagal berada di pasaran untuk satu keluaran – tetapi dengan penguatkuasaan syarat-syarat 'karut-marut' dan 'ugutan' terhadap peruncit di premis awam, oleh KDN, bermula pertengahan Julai lalu, hak PAS sebagai sebuah pertubuhan berdaftar dengan keahlian lebih sejuta orang telah dinafikan.

Hakikatnya, apa yang Ahmad Lutfi rasakan, turut dirasakan oleh penerbit-penerbit lain yang turut digugat. Cuma, mungkin – mereka yang terlibat dengan media baru, blog dan internet tidak perlu mempunyai apa-apa kerisauan kerana modal mereka tidak sama dengan modal penerbit media cetak seperti Harakah.

Sepatutnya kakitangan kerajaan, tidak kiralah KDN atau mana-mana sahaja yang terlibat dengan urusan bersama syarikat atau orang ramai, perlulah menganggap bahawa – pihak peniaga ini sebagai rakan kongsi mereka. Lesen yang mereka berikan, berbayar bukan percuma.

Malangnya, mereka ini bila berdepan dengan orang-orang berniaga, mereka beranggapan semua itu adalah 'menyusahkan' dan perlu diberi tekanan. Pemikiran ini perlu disingkir jauh-jauh dari diri dan jiwa setiap kakitangan kerajaan.

Mereka bekerja dengan kerajaan – yang kebetulan kerajaan itu bukan dari kalangan mereka kerana mereka tidak bertanding dalam pilihan raya. Jadi, mereka perlu tahu (baca : sedar) mereka hanya kakitangan tanpa mengira jawatan dan kedudukan sedangkan 'kerajaan' bila-bila masa sahaja boleh bertukar tangan.

Ketika mengatakan bersetuju untuk kerajaan meneruskan sistem yang ada, dengan mengawal permit penerbitan, sebenarnya lebih baik jika KDN memantau majalah tahyul, seks, agama yang tersebar luas sekarang – dengan intergritinya dipersoalkan.

Bagaimana majalah seks, tahyul dan agama boleh tersebar secara meluas tanpa kawalan ketat? Apakah majalah seks dan tahyul serta agama (yang diragui) tidak menjejaskan pemikiran dan keselamatan pembaca?  Apakah edaran DVD (VCD) yang tentunya bukan di bawah KDN boleh beredar dengan meluas sedangkan dari segi kesannya, jauh lebih bahaya dari orang ramai yang membaca Harakah tidak dihiraukan pihak berwajib?

KDN yang juga berkuasa mengeluarkan lesen mesin cetak juga sepatutnya mencari jalan untuk membantu pencetak-pencetak Melayu yang menunggu masa untuk gulung tikar ekoran tidak mampu untuk meneruskan perniagaan hanya kerana saingan di padang yang tidak sama rata.

Tidak bolehkah KDN mencari jalan untuk memudahkan pencetak Melayu yang sudah nazak ini supaya pulih semula dan dapat menarik nafas lega kerana 'komitmen' KDN yang tentunya tahu bahawa mereka boleh memberikan oksijen kepada pencetak-pencetak miskin ini.

Mungkin ini bukan tugas KDN tetapi salahkah jika mereka 'memberi sedikit khidmat' hanya kerana mahu membantu pencetak Melayu yang tentunya mempunyai pekerja-pekerja tempatan berkemahiran?

Mudah-mudahan selepas ini, para penerbit dan pencetak akan mendengar berita ada bekas pegawai KDN yang bersara atau (bersara awal) kerana mahu terjun ke dunia perniagaan percetakan dan berjaya membawa nafas baru kepada dunia penerbitan dan percetakan.

Jika mereka tidak terjun ke dunia ini, selama-lamanya mereka akan beranggapan langkah mereka memberi 'ugutan' sebagai perkara enteng dan tidak mengganggu sesiapa – penulis, penerbit, pencetak atau pekerja-pekerja dalam bidang penerbitan dan percetakan! Noktah. - Safar Jumaat

Tiada ulasan: