UMNO serba-salah. Mereka keliru. Tak tahu apa yang patut dibuat sekarang, kerana semua yang dipegang tak jadi, apa yang dibuat, gagal. Situasi paling buruk, Umno Terengganu di bawah kepimpinan Naib Presiden nombor dua, Dato' Seri Hishammuddin Hussein. Berkali-kali dia buat kenyataan, siap dengan bergambar sekali, kononnya, Umno Terengganu sudah tidak ada masalah.
Tak patut kalau nak salahkan Hishammuddin. Jauh sekali kalau sesiapa mahu mengatakan Hishammuddin berbohong. Tapi, itulah ceritanya sekarang. Malahan, ada yang berkata, kali ini kalau Hishammuddin cuba mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden, dia akan kecundang.
Di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Hishammuddin boleh marah dan beri amaran kepada KSU dan KP Imigresen kes tahanan lari tetapi dalam kes Umno Setiu, apabila ada empat Adun memboikot Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, ia bukan suatu kesalahan kecil.
Hishammuddin kena lepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu. Dia gagal! Apakah dia sendiri tidak boleh menghadirkan diri di Mesyuarat Agung Tahunan Umno Bahagian Setiu, ketika Timbalan Presiden Umno hadir di situ? Sibuk sangatkan dia sekarang menjaga PATI dan buruh-buruh yang tidak mempunyai permit?
Dalam Umno, belum pernah berlaku seorang Adun atau Exco Kerajaan Negeri begitu biadap (kononnya berani) memboikot Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Kecuali, Adun atau Exco itu mempunyai 'tauke' yang menjamin 'keselamatannya'. Politik Umno Terengganu, mudah. Ia boleh ditafsirkan begini. Mereka mungkin orang Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said atau sebaliknya, orang bekas Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh.
Hubungan Ahmad dengan Idris, macam kucing dengan anjing. Mereka nampak baik di luar, tetapi ramai yang tahu mereka sebenarnya, bermasalah. Perlantikan Ahmad oleh Istana Terengganu tidak dapat diterima, menyebabkan Idris tidak pernah menghadirkan diri Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Terengganu ketika Ahmad dilantik menjadi pengerusi perhubungan negeri dahulu.
Tidak habis setakat itu, ada beberapa orang Adun, yang kebanyakkannya tidak berjawatan di peringkat Umno bahagian menghantar rombongan ke Kuala Lumpur, bagi memastikan Ahmad tidak dikekalkan sebagai pengerusi perhubungan. Usaha mereka ini, yang didakwa sebagai 'budak-budak Idris' berjaya. Dalam penyusunan semula Umno negeri-negeri, Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggantikan Ahmad dengan Hishammuddin.
Melompat-lompat mereka yang tidak menyokong Ahmad mendengar perubahan itu. Malah, ada yang menulis dalam blog kawan-kawan mereka, kononnya Ahmad juga akan digugurkan dari jawatan Menteri Besar. Kuala Lumpur pening dengan perkembangan ini tetapi tidak mempunyai cukup keberanian untuk mengambil tindakan.
Hari ini, Idris diberitakan sering sahaja bermesyuarat dengan bekas Setiausaha Politiknya, Dato' Dr. Ahmad Ramzi Mohd Zubir dan bekas Exco Belia dan Sukan Terengganu, Dato' Din Adam di PWTC. Kuala Lumpur juga dilihat tidak berani mengambil tindakan terhadap Dr. Ahmad Ramzi yang sedang didakwa di mahkamah atas kes jenayah, sedangkan kebiasaannya, ahli parti yang dihadapkan ke mahkamah akan digantung keahliannya.
Apa istimewa Dr. Ahmad Ramzi dalam Umno, tiada siapa yang tahu. Mungkin juga Idris terlalu istimewa dalam Umno, menyebabkan keistimewaannya itu, dapat tempias kepada Dr. Ahmad Ramzi hingga menyebabkan Dr. Ahmad Ramzi menjadi begitu istimewa.
Dalam era kepimpinan Idris, Dr. Ahmad Ramzi memang hebat. Dia diletakkan menjadi calon BN Parlimen Marang, sedangkan ketika itu, Ahli Parlimen Marang ialah Dato' Abdul Rahman Bakar, Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) dan Timbalan Menteri Sumber Manusia. Abdul Rahman digugurkan kerana Idris mahukan Dr. Ahmad Ramzi di situ.
Tidak pula diketahui, sejauh mana pengaruh Dr. Ahmad Ramzi terhadap Idris dalam menyusun senarai calon-calon pilihan raya dalam PRU 12 di Terengganu. Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu tidak diletakkan sebagai calon. Begitu juga dengan Ketua Umno Bahagian Dungun dan Hulu Terengganu. Hari ini, Idris dan Dr. Ahmad Ramzi dilihat tidak bersendirian. Ada lagi Adun-Adun di Terengganu masih bersama-samanya untuk 'menyusahkan' Ahmad.
Mungkin perjuangan mereka, mahukan Ahmad digantikan tetapi siapa yang dinamakan sebagai pengganti Ahmad, tiada siapa yang tahu. Yang paling kanan di kalangan orang-orang Idris, Rosol Wahid yang pernah menjadi Exco ketika Idris berkuasa dahulu. Namun, selepas kes menggoncang pintu pagar istana, Rosol sendiri mengeluarkan kenyataan tidak berhasrat menjadi Menteri Besar kerana 'hubungannya' dengan istana, keruh.
Ada juga yang menyebut nama Din Adam. Tetapi ramai juga tidak percaya Din boleh menjadi Menteri Besar walaupun dia kini sudah dilantik menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri. Orang tak percaya Din boleh menjadi Menteri Besar bukan kerana Din tidak pandai tetapi kerana Din ditolak di bahagian Dungun, walaupun khabarnya dia tidak terlibat dengan pembinaan stadium yang runtuh bumbungnya.
Ahmad nampaknya meneruskan kepimpinannya dengan bergaya walaupun, asakan demi asakan diberikan kepadanya. Usaha beberapa pihak memujuk Najib supaya bersetuju melantik semula Ahmad menjadi pengerusi perhubungan dilihat belum membuahkan hasil.
Muhyiddin Mohd Yassin dilihat tidak menyokong perubahan dilakukan di Terengganu tetapi Muhyiddin tentunya kurang puashati dengan Hishammuddin yang juga merupakan saingannya bagi mengekalkan kerusi Timbalan Presiden Umno.
Sikap Hishammuddin yang tidak 'hands on' tugasnya di Terengganu tentunya merimaskan Kuala Lumpur tetapi, setakat ini, pihak Kuala Lumpur sendiri tidak nampak orang lain mampu mengemudikan Umno Terengganu.
Jika ada pun kelebihan pada Ahmad pun, boleh dikatakan semua ketua bahagian, kecuali ketua bahagian Besut, bersama-samanya. Apakah kelebihan ini mampu menarik perhatian Najib dan Muhyiddin supaya menukar Hishammuddin kepada Ahmad?
Ketika Umno berkira-kira begitu dan begini, rakyat Terengganu tentunya mempunyai perkiraan sendiri untuk memberi undi mereka kepada BN atau Pakatan Rakyat dalam PRU 13 akan datang! Rakyat tentunya jemu dengan pergolakan demi pergolakan ini yang tidak pernah berakhir. - Safar Jumaat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan