Untuk menuntut kemerdekaan dari penjajah, rakyat sesebuah negeri itu hendaklah bangkit, kerana penjajah selama-lamanya tidak akan menganugerahkan kemerdekaan tanpa dituntut. Begitulah juga halnya, dalam menuntut kebebasan media di negara ini, kerajaan Umno-BN tidak akan memberinya jika rakyat tidak bangkit menuntutnya.
Itulah peringatan penulis veteran, Subky Latiff ketika melontarkan pandangannya pada Diskusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) kali ke-3 yang diadakan di Pejabat Harakah baru-baru ini. Katanya, walaupun Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sudah tidak relevan masa kini, tetapi menjadi tanggungjawab rakyat khususnya pengamal media untuk mempastikan akta itu dimatikan sebelum tiba ajalnya.
"Kita tahu, akta ini akan mati akhirnya sebab dah tak relevan. Tapi kita mahu matikan ia seblum tiba masa ajalnya. Kalau boleh kita lawan, minggu depan akta ini berkubur," tegas beliau.
Dalam pertemuan itu, beliau juga turut mencadang agar KAMI mempelopori pembentukan Majlis Media Alternatif bagi memantau peranan yang dimainkan oleh media Pakatan Rakyat, sebagai usaha awal yang boleh dilakukan diperingkat sendiri.
Pengerusi KAMI, Ahmad Lufti Othman berkata, usaha mengadakan majlis itu akan dibincangkan secara mendalam dalam waktu terdekat.
“Idea yang dibangkitkan pada majlis diskusi ini akan dibincangkan secara mendalam agar kita ada sebuah badan yang mengawal selia media alternatif seperti laman web, akhbar mingguan, dan juga blog,” kata beliau pada sidang media selepas diskusi berakhir.
“Kita perlu mengekalkan mutu kewartawanan yang baik, dan KAMI akan menghalusi perkara ini,” katanya yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Harakah.
Selain cadangan penubuhan majlis itu, diskusi itu turut mengupas kekangan yang terkandung di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, khususnya prosedur memohon permit kepada syarikat yang ingin menerbitkan akhbar.
Pakar perlembagaan, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari menegaskan bukan sahaja akta itu ketinggalan zaman, syarat yang menetapkan memerlukan permit untuk menerbitkan akhbar itu sendiri sudah bersifat mengekang kebebasan.
"Sepatutnya, penerbitan sesuatu akhbar tidak memerlukan permit, sebaliknya bergantung kepada pasaran. 'My paper my business', sendiri buat, sendiri terbit dan jual. Inilah yang dikatakan prinsip pasaran bebas," tegas beliau.
Sebaliknya, Aziz mengajak pengamal media menumpukan usaha-usaha memperkasa media baru yang tidak terikat dengan akta tersebut. Walaupun ada akta yang mengawasinya, tetapi ia tidak seteruk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Peguam PAS, Hanipa Maidin pula mahu akta tersebut dimansuhkan seluruhnya kerana ia tidak memberikan keadilan sejagat sebaliknya menguntungkan pihak pemerintah dengan kuasa eksklusif menteri yang boleh dimanipulasikan pada bila-bila masa sahaja.
Diskusi itu berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh massa bagi membincangkan isu-isu sekitar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Antara yang hadir Peguam PAS, Hanipa Maidin; Editor Malaysia Insider, Dr. G Manimaran; Pakar Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari; Exco Paksi, Razali Endun; Naib Pengerusi Dewan Perhimpunan Penyokong PAS Pusat, Vincent Lee; Blogger Dr. Mohd Hashim; Aktivis Masyarakat, Redhuan Oon Abdullah; Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Fadhil Osman; adik almarhum Dr Burhanuddin Helmy, Drs Norbit Mohd Noor; Sasterawan, A Shukor Harun; Setiausaha PAS Batu, Hj Ismail Yahya; serta beberapa wartawan Harakah, dan Harakahdaily.
Setiausaha KAMI, Tarmizi Mohd Jam telah bertindak sebagai moderator diskusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan