Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama para editor Tarmizi Mohd Jam dan Zulkifli Sulong, para wartawan Harakah dan Harakahdaily sewaktu program "Sesi Cakap-Cakap Bersama Presiden PAS" anjurkan lidah rasmi PAS, Harakah, baru-baru ini.
Program "Sesi Cakap-Cakap Bersama Presiden PAS" telah membedah beberapa isu. Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakui Melayu sebagai teras politik negara. Namun, tahaluf siasi yang dilangsung cukup memberi impak kepada PAS selama ini. Tahaluf membezakan antara kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat dan Umno bersama BN. Begitu juga isu-isu pemerkasaan PAS di kawasan Melayu turut disentuh malah, beliau menolak pelawaan Umno untuk bersatu. PAS bukan ego tetapi berpegang teguh dengan prinsip Islam. Dengan tegas beliau juga menolak DAP sebagai boneka PAS seperti didakyah Umno-BN. Isu Dewan Himpunan Penyokong PAS juga diperjelaskan. Ikuti interbiu eksklusif ini bersama TARMIZI MOHD JAM, ZULKIFLY SULONG dan enam wartawan Harakah dan Harakahdaily; INTAN ABDULLAH, ROY RASUL, NYZA AYOB, SALMIYAH HARUN, ANIS NAZRI dan NAZRI ABDULLAH di Pejabat Editorial Harakah, baru-baru ini. Foto ANIS NAZRI. (Bahagian 3)
Tetapi akibat dari sokongan bukan Islam terhadap PAS ini, Umno-BN menabur dakyah kononnya PAS jadi boneka DAP. Hubungan baik ini sangat dibimbangi Umno. Selaku Presiden PAS, apa yang Dato' Seri rasai motif dakyah jahat ini?
DATO SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: Kita perlu lihat bagaimana DAP boleh memberi peluang kepada PAS untuk memimpin tiga buah negeri selepas PRU 2008. Kita memimpin Kelantan, Kedah dan Perak. PKR... di Selangor sahaja dan DAP di Pulau Pinang. Di sini menunjukkan bagaimana penyusunan kerusi pilihan raya yang diatur sebegitu rupa dalam kerjasama Pakatan Rakyat yang memberi tempat banyak kepada PAS. Yang kedua resolusi Konvesnyen Pakatan Rakyat yang diadakan di Shah Alam. Pakatan Rakyat telah berjaya menghasilkan resolusi menerima Islam sebagai Agama Persekutuan; dan hak kepada penganut agama lain; hak bumiputera; soal keadilan kepada semua kaum; dan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan. DAP ikut serta dalam konvensyen ini. Saya rasa ini satu sikap yang sangat terbuka dan jelas. Malah terbukti lagi, semasa pilihan raya Bukit Gantang... PAS menang. Kita tunjukkan bukti pilihan raya di Sibu pula selepas itu. Kalau sekiranya Umno-BN tuduh PAS diperalat oleh DAP, maknanya kita bekerja untuk DAP di Sibu, saya juga boleh katakan Umno-BN juga diperalat oleh parti komponen mereka. Siapa yang bertanding di Sibu? Bukan Umno yang bertanding? Bukan PBB yang bertanding? Adakah Umno-BN diperalatkan? Ini bukan masalah alat dan diperalat tetapi kita mesti tunjuk kesetiaan PAS dalam bekerjasama.
Nampaknya kerajaan Umno-BN kini membenarkan guru-guru berpolitik. Dan ada gesaan terbaru supaya mahasiswa juga dibenarkan berpolitik?
Saya rasa ini menandakan Umno-BN lambat faham untuk memberi hak kepada genarasi pelapis. Kalau kita mahukan generasi pelapis yang berwibawa dan bijaksana, kita tidak boleh mendidik mereka dengan buku sahaja. Kita mesti didik mereka secara praktikal melalui kegiatan termasuk kegiatan politik yang tidak boleh pisahkan dengan semua aspek yang lain. Negara lain sudah lama membenarkan perkara ini. Dan kita sudah ketinggalan zaman. PAS mengalu-alukan kelonggaran ini, cuma kita minta biar Umno-BN benar-benar ikhlas dan berani sebagaimana sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Ini kerana siswa-siswi yang berada di pusat pengajian ini adalah mereka yang lulus dalam pengajian. Mereka yang berjaya bukan mereka yang bodoh. Kita jangan takut dengan orang yang pandai dan bijak, kita kena takut dengan orang yang 'bodoh'. Kalau kita takut dengan orang yang bijak dan orang yang pandai, itu satu perkara yang tidak betul dalam sebuah negara.
Sejauh mana Dato Seri melihat beberapa perubahan yang dilakukan Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengembalikan sokongan rakyat terhadap Umno-BN?
Terlalu awal untuk saya merumusnya. Ini kerana pilihan raya belum diumumkan. Kita kena lihat berdasarkan keputusan pilihan raya yang boleh menentukan bagaimana era pemerintahan Najib. Dan terlalu awal bagi kita menilai, kerana tempohnya masih terlalu pendek bagi sebuah kerajaan.
Dato' Seri kalau kita tengok trend pilihan raya negara ini, keputusannya tak tetap. PRU 1990, PAS naik, PRU 1995 PAS jatuh, PRU 1999 PAS naik semula, PRU 2004 jatuh balik dan PRU 2008 PAS naik gagah. Dan ramalannya PRU akan datang PAS mungkin jatuh semula...
(Ketawa) Saya tidak beriman kepada ramalan sotong, sebagaimana ramalan bola sepak, dan tidak beriman kepada ramalan bintang-bintang. Ini bergantung kepada pertolongan Alah Taala dan kesungguhan kerja kita (PAS). Perubahan berlaku pada PRU 1990, PAS meningkat, PRU 1995 meningkat dan PRU 1999 kita terus naik. Tidak menurun, sebaliknya makin naik. Ini berlaku kepada PAS. Contohnya di Terengganu yang paling dekat. PRU 1990 PAS dapat lapan kerusi. PRU 1995 PAS dapat lapan dan tahun 1999 PAS dapat 28 kerusi. Kelantan PAS boleh bertahan. Kalau melihat kepada ramalan tadi, sudah tentulah Kelantan sudah tumbang lama dah. Tetapi kita boleh bertahan. Ini bergantung sejauh mana kerja kita dan keikhlasan kita. Kekuatan PAS di Kelantan kerana ada jentera parti yang baik. Adik-adik kita bertungkus lumus dan kerja kuat di Kelantan. Cawangan kita banyak di sana.
Saman ekor benar-benar menyusahkan rakyat. Apa alasan sekalipun kerajaan Umno-BN tak wajar paksa rakyat dengan cara ini. Ia melanggar keadilan sejagat. Bagaimana Dato Seri melihat situasi ini?
Islam mengutamakan kerajaannya mendidik rakyat daripada mengenakan tindakan undang-undang. Kita tidak boleh tergesa-gesa mengadakan undang-undang dan mengenakan tindakan sebelum kita melakukan pendidikan yang sepenuh kepada rakyat. Saya melihat kita masih lemah dalam mendidik rakyat, bahkan ada negeri orang Islam (saya minta maaf) dia hendak beli kereta dia periksa 'horn' dulu bukan periksa 'brek' sampai begitu sekali. Inilah tahap kematangan pemikiran. Dan sangat malang sekiranya undang-undang yang berlandaskan kepada denda kerana hendak menampung kekurangan duit, dijalankan. Itu lagi malanglah. Ini cara yang tidak betul. Kerajaan yang adil boleh mewujudkan keamanan dan keselamatan jalan raya. Undang-undang yang mendidik itu lebih diutamakan. Dalam Islam ada undang-undang Qisas (menyebut sepotong ayat) yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, wajib ke atas kamu melakukan qisas dalam perkara pembunuhan, kecederaan." Bermakna qisas ini bukan sahaja jenayah pembunuhan termasuklah jenayah tidak sengaja. Dengan sebab itu perlu dirujuk dengan cara Islam itu sendiri dalam masalah keselamatan jalan raya. Dan di sinilah peranan Pusat Islam, peranan IKIM sepatutnya mengkaji juga hal-hal seperti ini, bukan sahaja tugasnya mencari isu untuk timbulkan isu. Sepatutnya, mereka memperkenalkan dasar Islam dalam semua perkara termasuk dalam perkara menangani masalah jalan raya.
Menurut pandangan pakar-pakar media pada PRU 1998, peranan media baru seperti blog memainkan peranan dalam kempen-kempen. Harai ini permit Suara Keadilan dan Roket ditahan, dan Harakah terus dikekang dengan pelbagai amaran keras. Jadi, bagaimana PAS manfaatkan seluruh media yang ada untuk kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU-13 akan datang.
Islam ada etikanya sendiri dalam soal media ini. Kalau media itu tidak beretika, ia tidak berkesan walaupun diberi kebebasan ia tidak boleh mengubah masyarakat. Bagaimana hendak mengubah masyarakat? Mestilah menggunakan bahasa yang difahami masyarakat. Kita tulis dan ucap dengan bahasa yang difahami. Kalau masyarakat tidak faham bahasa itu, mereka beri pandangan yang negatif. Atau kita 'terlebih' menyerang. Kalau kita 'terlebih' menyerang, kadang-kadang orang simpati kepada mereka yang kena serang. Itu bergantung kepada kebijaksanaan media. Kadang-kadang saya melihat media terlalu menyerang, kalau lebih-lebih saya rasa, ia gagal. Media alternatif gagal sebaliknya, memberi keuntungan kepada BN pada pilihan raya akan datang. Dengan sebab itu media perlu buat muhasabah kalau dia hendak buat perubahan. Ia mesti bertanggungjawab dengan cara bahasa difahami oleh masyarakat. Sejauh mana sampai maklumat itu... dan apa yang berlaku hari ini, maklumat itu sekadar di bandar dan di pinggir bandar. Kawasan yang ada kemudahan saja. Kawasan yang tak ada kemudahan, tidak sampai maklumat. Dengan sebab itu usaha mesti dilakukan supaya media ini berkembang dengan cara yang menyeluruh. Ini perkara yang perlu diambil kira.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan