KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 21, 2010

Menasionalkan PAS untuk ganti Umno - Dr MUjahid Yusuf


PAS perlu menunjukkan kemampuannya bagi menggantikan Umno sebagai sebuah parti yang akan menerajui satu perubahan besar dalam negara. Bahkan, parti kini berada pada satu tahap baru 'menasionalkan' PAS sebagai parti yang bakal menguasai Putrajaya.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan di Restoran Seri Kalung anjuran Dewan Pemuda PAS Kemaman dengan kerjasama Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai, 14 Ogos lalu. Kata beliau, PAS satu-satunya parti orang Melayu Islam yang akan menggantikan kedudukan Umno sebagai 'platform' bagi menerajui perubahan besar tersebut.

"Hari ini, PAS menyatakan, kita mahu 'menasionalkan' PAS. Bahawa PAS adalah parti inspirasi nasional. Walau pun PAS telah membawa satu tahap baru untuk 'menasionalkan' PAS sebagai parti yang akan menguasai Putrajaya, Insya’Allah.  Inilah PAS yang akan menggantikan kedudukan Umno kini sebagai parti yang akan menerajui perubahan besar dalam negara," ujarnya.

Namun begitu, kata Mujahid 'transfomasi' besar tersebut bukan bermakna PAS akan meninggalkan landasan Islam sebagai dasar. Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat menegaskan bahawa PAS bukan lagi sebuah parti kampungan, kedaerahan atau kenegerian. 

Menurutnya, PAS kini untuk semua kaum yang ada dalam negara dan bukan hanya bagi orang Melayu sahaja. "PAS kena menunjukkan bahawa kita mampu melakukan demikian. Sebab itu, PAS hari bukan lagi parti kampungan, bukan hanya parti kedaerahan dan bukan hanya parti kenegerian. 

"Jika dahulu, orang kata PAS hanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah tetapi hari ini PAS untuk semua kaum dan bukan hanya untuk orang Melayu sahaja," ujarnya. Mujahid berkata ini merupakan satu landasan besar yang harus digarapi bersama dari segi pemikiran dan tindakan politiknya.

Tiada ulasan: