Dewan Pemuda PAS Pusat membidas tindakan kerajaan yang masih tidak membela nasib kira-kira 442,000 pekerja yang berada di bawah paras kemiskinan sebaliknya hanya menggunakan kesusahan mereka sebagai pancing undi semata-mata semasa pilihan raya.
Ketuanya, Ustaz Nasruddin Hassan berkata kerajaan hanya menggunakan isu kemiskinan tersebut sebagai usaha untuk menarik undi para pekerja yang masih berada di bawah paras kemiskinan dalam pilihan raya kemudian tidak mengambil apa-apa tindakan.
"Pemuda PAS mendesak agar kerajaan Umno-BN mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap isu ini supaya pekerja-pekerja tempatan terbela hak mereka bukannya hanya menggunakan kesusahan mereka sebagai pemancing undi semat-mata," katanya kepada Harakah.
Tegasnya, kerajaan Umno-BN harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap laporan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bukan sekadar dedah tapi harus disusuli dengan pelan tindakan yang lebih berkesan.
Menurut pendedahan KSM itu, kira-kira 442,000 orang atau 34 peratus daripada 1.3 juta pekerja tempatan memperoleh pendapatan bulanan di bawah garis kemiskinan negara.
Menterinya, Dato’ Dr. S. Subramaniam berkata, ia berasaskan kajian oleh Perolehan Pekerjaan Nasional KSM tahun lalu menunjukkan mereka meraih gaji bulanan bawah RM700 sebulan berbanding garis kemiskinan negara iaitu RM720 sebulan.
"Ini adalah kesan daripada kemasukan pekerja asing yang tidak terkawal ke dalam negara kita. Kerajaan sepatutnya mengambil serius akan perkara ini kerana dengan kemasukan pekerja asing yang tidak terkawal ini bukan sahaja menghadkan peluang pekerjaan di kalangan rakyat tempatan malah kegiatan jenayah juga meningkat kesan daripada kelonggaran kawalan atas kemasukkan warga asing," ujar Ustaz Nasruddin.
Pada masa yang sama, beliau turut mengaitkannya dengan kelembapan ekonomi yang turut dirasai oleh negara ditambah dengan salah urus tadbir kerajaan Umno-BN yang terlalu membazir dalam banyak perkara serta rasuah yang berleluasa.
"Situasi ini juga menunjukkan kerajaan tidak prihatin terhadap nasib yang menimpa pekerja-pekerja tempatan kerana tiada tindakan yang khusus dibuat terhadap perkara ini selain daripada hanya janji-janji manis menjelang pilihanraya sedangkan kerajaan seharusnya agresif membela nasib mereka," katanya. Tambah Ustaz Nasruddin lagi, Pakatan Rakyat konsisten terhadap tuntutan gaji minimum pekerja ialah RM1200.
"Sedangkan kalau dilihat kerajaan Umno-BN masih lagi menggunakan tarif lapuk yang sepatutnya sudah tidak relevan lagi dengan perkembangan semasa. Apakah RM700 sesuai digunakan ukurannya kepada penduduk yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur?" soal beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan