Selain beberapa kerusi di Kelantan, seperti Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Tumpat dan mungkin Rantau Panjang sendiri, tiada kerusi selamat buat tokoh-tokoh PAS, hatta di Marang atau Kuala Terengganu atau Pendang.
By DIN TUALANG
DALAM sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat tengahari tadi (10hb. Februari), Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan beberapa tokoh utama parti itu bakal bertanding di kawasan-kawasan yang dilihat agak selamat atau diyakini lebih mudah menang berbanding kawasan-kawasan lain.
Misalnya Naib Presiden, Mohamad Sabu diminta bertanding di Kuala Terengganu, Terengganu, yakni kerusi kedua yang dianggap paling selamat di negeri berkenaan, selepas Marang.
Di waktu PAS bersama Semangat 46 pada 1990, rasanya bekas Menteri Pertanian, Manan Osman bertanding di situ dan menang.
Masa 1999, Dr Syed Azman, AJK PAS Pusat menang majoriti besar di kawasan berkenaan.
Bagi menawarkan tenaga muda berkebolehan untuk menawan Terengganu, Dr Syed Azman diminta bertanding peringkat Dun. Sudah pasti jika PAS dapat menawan semula negeri itu, Syed Azman akan menjadi antara anggota Exconya.
Selain Mat Sabu, seorang lagi tokoh utama PAS, yakni Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, dijangka bertanding di Pasir Putih.
Hatta hampir menang pada 1999 di Gombak tetapi kalah teruk pada 2004. Difahamkan dalam pilihan raya akan datang Gombak akan ditandingi oleh Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali.
Manakala Timbalan Presiden, Ustaz Nasaruddin Mat Isa yang pernah menang pada 1999 di Yan, Kedah tetapi berpindah kawasan Parlimen ke Besut pada 2004, kini bakal bertanding di Rantau Panjang.
Difahamkan Ahli Parlimen sekarang, Abdul Fatah Harun akan dipindahkan bertanding di peringkat Dun dan mungkin diberikan kepercayaan sebagai anggota Exco Kerajaan Kelantan jika PAS menguasai negeri itu.
Selain beberapa tokoh tadi, dipercayai ramai lagi barisan AJK PAS Pusat akan ditempatkan di luar kawasan tradisi mereka.
Misalnya pimpinan berwibawa dari Johor mungkin diminta bertanding di luar negeri berkenaan, di kawasan yang nampak lebih berpotensi untuk menang.
Contohnya, AJK PAS Pusat yang begitu prihatin menjaga kepentingan peneroka Felda, Mazlan Aliman mungkin akan diturunkan di Pahang, di kawasan Felda, seperti Bera!
Bagaimanapun, selain beberapa kerusi di Kelantan, seperti Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Tumpat dan mungkin Rantau Panjang sendiri, tiada kerusi selamat buat tokoh-tokoh PAS, hatta di Marang atau Kuala Terengganu atau Pendang.
Ya, tiada kerusi selamat buat PAS di peringkat Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan