KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 28, 2010

Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor bertentangan dengan Perlembagaan




Berikut adalah perbahasan "Rang Undang-Undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010", oleh Sulaiman bin Razak selaku ADUN Permatang, dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan DUN Selangor ke-12 tahun 2010.


Tuan Speaker, 

Terima kasih kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian perbahasan mengenai Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 yang telah dibentangkan bagi pihak kerajaan negeri.

Tuan Speaker,

Kita baru sahaja mendengar penjelasan dan rasional dari pihak kerajaan mengapa Rang Undang-undang ini perlu dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan yang mulia ini.  Sepertimana masyarakat umum di luar sana, saya juga menghormati harapan murni kerajaan untuk menjadikan enakmen ini salah satu mekanisme untuk mempastikan ketelusan dan kebebasan mendapatkan maklumat kerajaan.

Ini juga sebagai suatu usaha untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan berintegriti.  Walaupun begitu kita perlu juga melihat dari segi nawaitu dan tujuan tersurat serta tersirat di sebalik pembentangan enakmen ini.

Dari segi keikhlasan, keberkesanan dan pencapaian sepenuhnya matlamat syumul enakmen ini, TETAPI yang lebih penting dalam konteks ini ialah sama ada penggubalan dan pembentangan enakmen ini selaras dan mematuhi peruntukan Perlembagaan Malaysia dan beberapa undang-undang yang berkaitan dengannya.  Saya dan rakan-rakan saya ADUN-ADUN Barisan Nasional telah meneliti secara terperinci perkara-perkara dalam Rang Undang-undang Enakmen ini dan mendapati bahawa Enakmen ini pada prinsipnya tidak selaras dan bertentangan dengan beberapa peruntukan dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dan beberapa undang-undang berkaitan dengannya.

Saya tidak mahu mempersoalkan tujuan murni enakmen ini sehingga dituduh oleh PAKATAN RAKYAT bahawa Barisan Nasional sebagai takut dengan bayang-bayang sendiri.  TETAPI sebagai Ahli Dewan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang yang wajar dan bersesuaian, adalah tidak wajar Dewan ini membentang dan meluluskan Enakmen ini yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan kesahihannya boleh dipersoal di Mahkamah.

Berdasarkan kepada prinsip ini dan fakta-fakta yang akan saya dan rakan-rakan saya bangkitkan nanti saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 ditolak oleh Dewan yang mulia ini.

PERTAMA

Tuan Speaker,

Rang Undang-undang ini didapati tidak selaras dengan Perlembagaan Malaysia.  Ini kerana enakmen ini didapati telah menceroboh (encroaching) pada kuasa dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Hak untuk menggubal sesuatu berhubung dengan maklumat dan "Rahsia Kerajaan" adalah di bawah kuasa Parlimen Malaysia atau Kerajaan Persekutuan.

Rang undang-undang secara jelas menyebutkan Tafsiran "maklumat" ertinya apa-apa dokumen yang dibuat oleh mana-mana jabatan Kerajaan Negeri tetapi tidak termasuk dokumen - (a) yang telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Walaupun dikatakan maklumat dan dokumen tidak terkait dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 di bawah kuasa Parlimen dan Kerajaan Persekutuan, klausa "maklumat" ertinya apa-apa dokumen yang dibuat oleh mana-mana jabatan "Kerajaan Negeri" sudah cukup menunjukkan ia tertakluk di bawah bidang kuasa Parlimen atau Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan negeri atau Dewan ini tidak mempunyai hak untuk meluluskan undang-undang berkaitan maklumat dan kerahsiaan kerana perkara tersebut jatuh di bawah peruntukan Jadual Kesembilan Senarai Perundangan, Perkara 74, 77 Senarai 1- Senarai Persekutuan.  Jelas di bawah ”Senarai 1 ini Perkara 4 - Undang-undang dan acara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan termasuk (f) Rahsia Kerajaan; perbuatan rasuah” termasuk dalam senarai ATAU bidang kuasa Parlimen / Kerajaan Persekutuan.

Adalah difahami bahawa "maklumat" ertinya apa-apa dokumen yang dibuat oleh mana-mana jabatan "Kerajaan Negeri" adalah tertakluk di bawah perkara (f) Rahsia Kerajaan.

Walaupun subjek maklumat itu adalah di bawah Senarai Negeri seperti tanah, agama, perhutanan dan sebagai, tetapi saya beranggapan bahawa ia tetap tertakluk di bawah perkara (f) Rahsia Kerajaan.

Di bawah Senarai yang sama menyebutkan "Perkara 22 – Penapisan".  Penapisan ini bukan setakat kandungan dalam filem, bahan-bahan cetakan dan penyiaran, tetapi juga mencakupi penapisan maklumat rahsia kerajaan setakat mana yang boleh didedah atau diberikan kepada rakyat umum.

Kedua-dua perkara 1. Perkara 4 - Undang-undang dan acara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan termasuk (f) Rahsia Kerajaan; perbuatan rasuah dan 2.  "Perkara 22 - Penapisan" difahami sebagai berkaitan dengan pengawalan maklumat dan rahsia dalam jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang hanya boleh digubal undang-undangnya oleh Parlimen atau Kerajaan Persekutuan.

Oleh kerana undang-undang ini jelas cuba menceroboh peruntukan undang-undang Kerajaan Persekutuan yang jelas terdapat di bawah Senarai Persekutuan (Federal List) di dalam Perlembagaan Persekutuan, maka sewajarnya rang undang-undang ini ditolak dan tidak diluluskan.

KEDUA

Tuan Speaker,

Peruntukan tentang "maklumat dan kerahsiaan kerajaan" dalam kerajaan yang terkandung dalam rang undang-undang ini juga tidak terdapat di dalam Senarai Bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.  Senarai bersama sekadar menggariskan antaranya perkara berkaitan kebajikan masyarakat, biasiswa, perlindungan haiwan liar, ternakan binatang, perancangan bandar, kutu rayau dan penjaja, kesihatan awam, perparitan, pemulihan tanah lombong, pencegahan kebakaran, kebudayaan dan sukan, perumahan, bekalan dan perkhidmatan air.

Jika ada peruntukan undang-undang yang jelas memberi kuasa kepada kerajaan negeri seperti yang terkandung dalam Senarai Bersama ini, maka kerajaan negeri masih tidak mempunyai hak atau locus secara bersendirian untuk meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat ini.

Sudah jelas, perkara "maklumat dan kerahsiaan kerajaan" ini tidak terkandung langsung dalam Senarai Negeri yang rata-rata meliputi perkara berkaitan agama, adat istiadat, pemegangan tanah, perlombongan, perlesenan panggung wayang, tempat hiburan dan tapak bersejarah.

Oleh kerana rang undang-undang ini jelas tiada dalam bawah Senarai Bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dan Senarai Negeri.  Maka sewajarnya rang undang-undang ini ditolak dan tidak diluluskan.

OLEH KERANA ITU RANG UNDANG-UNDANG INI MENJADI TIDAK RELEVAN, TIDAK BOLEH DIKUATKUASA DAN BESAR KEMUNGKINAN BOLEH TERBATAL DI MASA HADAPAN JIKA IA DIBENTANG DAN DILULUSKAN DI PERINGKAT DEWAN UNDANGAN NEGERI SAHAJA.

KETIGA

Cuba kita lihat kandungan rang undang-undang ini di bahagian Kesalahan 15 (2) "Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah subseksyen (1) apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya".

Apa (Sulaiman bin Razak, gambar kanan) yang saya maksudkan adakah Dewan Undangan Negeri yang mulia ini boleh membentang dan meluluskan suatu bentuk hukuman atau penalti yang melibatkan denda kewangan tinggi atau dipenjarakan?  Bukankah ini suatu kesalahan dan hukuman sivil yang hanya layak dibuat oleh Parlimen atau Kerajaan Persekutuan dan penguatkuasaan pendakwaan serta hukumannya oleh pihak Peguam Negara.  Malah subjek dalam rang undang-undang terang-terang terletak dalam Senarai Persekutuan seperti yang telah dijelaskan.

Sehubungan itu saya ingin mendapatkan pengesahan daripada pihak kerajaan, adakah enakmen ini telah dipersetujui dan mendapat "lampu hijau" dari pihak Peguam Negara untuk dibaca dan diluluskan?

Situasi yang sama dilihat pada Enakmen Penghinaan Dewan 2008 di mana soal Hukuman 4 (a) "...hendaklah dikenakan hukuman penjara untuk tempoh yang boleh dilanjutkan kepada dua belas bulan atau dengan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit..." dan (b) "...hendaklah dikenakan hukuman penjara untuk tempoh yang boleh dilanjutkan kepada 3 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit."

Dalam kes YB Sungai Panjang yang ingkar untuk hadir ke sesi pendengaran SELCAT atau didakwa menghina Dewan, pihak polis tidak tertakluk dan tidak dapat mengambil tindakan kerana tidak diizinkan oleh Peguam Negara.

PENUTUP

Justeru, apakah maksud dan relevannya rang undang-undang ini jika ia tidak dapat digunakan untuk menghukum mereka yang melanggarnya. Ternyata ini adalah penggubalan dan kelulusan rang undang-undang yang membuang masa, tidak praktikal dan sia-sia.  Kerajaan negeri hanya mahu mencari populariti murahan. Tuan Speaker saya mohon menolak Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 yang telah dibacakan.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: