Blogger Malaysiatoday yang sangat dikehendaki polis, Raja Petra Kamaruddin memberitahu Harakah dalam emelnya, sewaktu beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008, beliau telah memberitahu pegawai Cawangan Khas bagaimana maklumat-maklumat sulit yang diperolehinya sampai kepengetahuan beliau dan siapakah yang memberikan maklumat tersebut.
Raja Petra menegaskan, seperti yang beliau isytiharkan dalam Akuan Bersumpah pada bulan April 2008, Pegawai Cawangan Khas berkenaan mengakui bahawa mereka tahu siapakah yang dimaksudkan sebagai pemberi maklumat tersebut.
Bagaimana pun, katanya, pegawai berkenaan tidak mendesak dan menyoal beliau tentang apakah maklumat yang diberikan kepada beliau.
"Akuan Bersumpah saya bukanlah satu dakwaan. Ia mengenai apa yang saya diberitahu dan dalam Akuan Bersumpah yang sama. Saya menggesa kerajaan supaya mendapatkan kebenaran melalui dakwaan itu. Saya tidak mendakwa Rosmah (Mansor) ada pada tempat kejadian.
"Saya mendakwa orang kedua dalam Perisikan Tentera membuat dakwaan tersebut. Memang tidak pernah dibuktikan sama ada Najib (Tun Razak) terlibat atau sebaliknya dalam pembunuhan Altantuya. Walaupun tidak ada bukti diberikan bahawa dia (Najib) terlibat, namun tidak ada juga usaha untuk membersihkan namanya dibuat. Memang semua ini hanya sangkaan. Bagaimanapun Perdana Menteri sepatutnya berada di atas sangkaan. Dan dalam kes Najib ini, ia tidak begitu," tulisnya ringkas.
"Apa yang anda percaya mengenai pembunuhan Altantuya bergantung kepada versi cerita yang anda percaya. Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam mempunyai versi ceritanya sendiri. Dan pada 7 Julai 2010 dia dan peguamnya akan membuat sidang media di London untuk bercakap mengenai dua Akuan Bersumpah yang ditandatanganinya dan perananannya dalam perkara melibatkan Altantuya," dedahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan