Menyekat kebebasan akhbar tanpa sebarang alasan yang kukuh dan adil itu sendiri bertentangan dengan salah satu prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan khususnya pada Bahagian 2 Perkara 10, kebebasan hak asasi dan kebebasan bersuara – menyatakan pendapat dan pendirian.
Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah, Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi mendakwa, penggubalan Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan pada tahun 1984 bertujuan bagi meneruskan kesinambungan akta yang dibentuk semasa era penjajahan British bagi memastikan survival pemerintahan mereka. Beliau berpendapat akta tersebut memperuntukkan beberapa perkara yang tidak masuk akal apatah lagi dalam era dunia tanpa sempadan hari ini.
Tegasnya, tindakan kerajaan Umno-BN yang sekali lagi menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ini terhadap akhbar Suara Keadilan kerana dikatakan menyiar berita berunsur fitnah memperkukuhkan lagi kepercayaan umum bahawa akta ini salah satu antara senjata akhir yang akan digunakan Umno-BN bagi memastikan survival kuasa mereka.
"Kita mengakui apa jua kebebasan itu mesti ada hadnya. Bagaimanapun had tersebut pula tidak wajar hanya mengikut pandangan atau definsi seorang menteri seperti yang berlaku dan diperuntukkan dalam akta yang ada sekarang.
"Menteri boleh menggantung, menyekat dan menyambung atau menghentikan mana-mana permit penerbitan sesebuah akhbar sesuka hati atas nama mengikut budi bicaranya. Ia mudah disalahgunakan oleh menteri dan pihak berkuasa seperti yang sering berlaku ke atas akhbar-akhbar alternatif khususnya Harakah dan Suara Keadilan," katanya sewaktu dihubungi.
Justeru itu, kerajaan secara adil dan bertanggungjawab mesti segera mengemukakan satu garis panduan yang jelas terhadap permasalahan ini. Ia termasuk pendifinisian semula maksud serta kriteria kebebasan dan juga faktor-faktor yang boleh membawa kepada sekatan ke atasnya.
"Seharusnya sebelum ia dikuatkuasakan biarlah dibentang kepada umum untuk diperdebatkan untuk kita akhirnya merumuskan satu dasar dan pendekatan yang jauh lebih seimbang dan saksama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan