Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) S.Arutchelvan menyifatkan alasan Perdana Menteri kononnya pengurangan subsidi hari ini terpaksa dibuat kerana untuk menjaga kesihatan rakyat adalah tidak masuk akal dan beliau percaya, tindakan tidak popular kerajaan itu disebabkan terdapat tekanan daripada pengeluar-pengeluar gula untuk menaikkan harga barang kawalan itu.
"Jika kerajaan menggunakan alasan kesihatan, mengapa tidak naikkan harga garam? Pastikan klinik 1Malaysia ada doktor begitu juga hospital kena ada doktor pakar," katanya kepada Harakah. Jelasnya, pengurangan subsidi yang dilaksanakan ini tanpa adanya akta gaji minima akan membuatkan jurang antara miskin dan kaya semakin meningkat.
Langkah kerajaan mengurangkan subsidi merupakan tindakan lazim yang dilakukan oleh negara berpolisi 'neoliberal' dengan segala perbelanjaan akan ditanggung oleh rakyat. Beliau berkata, Perdana Menteri Najib Tun Razak cuba untuk mengalirkan bebanan secara perlahan-lahan kepada rakyat yang akhirnya rakyatlah yang terpaksa menanggung bebanan itu.
Misalnya, kata beliau dasar penswastaan menjadi agenda utama dalam RMK-10 kerana melalui dasar inilah kerajaan akan membangunkan negara. "Najib memang terikut-ikut dengan polisi 'neoliberal' pada hari ini, yang jelas berbeza dengan bapanya Tun Razak banyak membuat program menggunakan subsidi," katanya kepada Harakah.
Jelasnya, apabila rakyat tiada lagi subsidi, dalam masa yang sama mereka juga tiada kenaikan pendapatan, ini menyebabkan harga barang naik, kuasa membeli menurun akhirnya menjejaskan pendapatan rakyat biasa. Hanya mereka yang berpendapatan tinggi sahaja yang selamat dari kesan buruk pengurangan subsidi ini. Justeru, kata Arutchelvan, rakyat mesti membantah polisi kerajaan Umno-BN kerana ianya jelas membebankan rakyat.
"Sudah 53 tahun kerajaan Umno-BN bergantung kepada subsidi, mengapa tahun ini baru kata tidak boleh, sedangkan ekonomi dikatakan dalam keadaan bertambah baik," tegas Aru.
Pada 15 Julai baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG). Harga gula dinaik 25 sen kepada RM1.90, dan gas LPG dinaik sebanyak 10 sen sekilogram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan