KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Julai 20, 2010

Tanpa Umno, Melayu juga upaya perintah Kelantan lebih 20 tahun tanpa undur kebelakang

Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menepis kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mendakwa  kononnya jika Umno tidak berkuasa, ia akan menjejaskan kedudukan orang Melayu di negara ini.

Tegasnya, kerajaan PAS di Kelantan yang memerintah selama 20 tahun telah berjaya membuktikan kedudukan orang Melayu dari segi ekonomi dan sosial berada dalam keadaan yang memberangsangkan tanpa perlu bergantung kepada Umno.

"Tidak semestinya kuasa Melayu hilang. Ini kerana kita telah buktikan di Kelantan apabila orang Melayu tidak terjejas sejak 20 tahun PAS mentadbir, begitu juga dengan Kedah dan Terengganu sebelum ini," tegasnya kepada Harakah.

Tambahnya, keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 membuktikan apabila negeri Selangor yang kaya dengan sumber pendapatan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, orang Melayu tetap menikmati keadaan yang sewajarnya serta tidak menjejaskan apa-apa.

"Orang Melayu tetap menjadi tonggak utama malah ekonomi Melayu terutama di Kelantan juga berada di hadapan. Malah, apabila kita mengambil alih Pulau Pinang pun keadaan orang Melayu lebih baik daripada sebelumnya, ketika Umno-BN berkuasa," dakwanya.

Beliau menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai terlalu simplistik kerana sukar untuk membayangkan mereka bakal kehilangan kuasa yang telah digenggam selama 50 tahun.

Wan Rahim berkata kenyataan yang dibuat pemimpin nombor dua Umno-BN itu bermotif politik, sengaja mencetuskan rasa kebimbangan dan ketakutan rakyat terhadap perubahan yang mungkin berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang ke atas negara ini.

"Ini adalah tindakan mereka yang tidak boleh menerima keadaan tersebut, sehingga mengeluarkan kenyataan yang menakut-nakutkan orang Melayu. Secara tidak langsung mereka mahu mewujudkan sindrom 'Pakatan Rakyat fobia'," katanya lagi.

Tiada ulasan: