KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 15, 2010

Umno mesti tukar dasar asabiyah kepada Islam bagi membolehkan Islam tertegak di negara ini

Jika Umno ingin merealisasikan negara Islam, parti itu haruslah  terlebih dahulu menukar dasar perjuangan asabiyah dan jahiliahnya kepada perjuangan Islam. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin berkata demikian sebagai respons kenyataan Exco Pemuda Umno, Lokman Noor Adam yang mendakwa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi nyata jika PAS dan Umno bersatu dan bekerjasama. 

Tegasnya, sekiranya benar Umno memang hendak bersama dengan PAS bagi menegakkan Islam di negara ini, ia harus menukar dasar asabiyah yang dianuti Umno dengan menukarnya kepada perjuangan Islam.

"Jika Umno dapat menukar dasar tersebut, di samping menamatkan segala kezaliman, penyalahgunaan kuasa, penyelewangan harta rakyat, amalan yang tidak demokratik, rasuah dan sebagainya maka barulah dapat direalisasikan hasrat tersebut. 

"Kalau masih tegar dan fanatik dengan dasar yang dipegang dan tetap dengan amalan penderhakaan kepada Allah dengan buka pintu maksiat selebar-lebarnya, berkawan dengan musuh Allah, susahlah nak adakan kerjasama," katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Tegas beliau, Umno sebenarnya menyekat perkembangan Islam di negeri yang parti Islam menang pun dinafikan hak mereka sama ada dikenakan sekatan daripada segi wang peruntukan kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Malah, ujarnya, Umno membentuk jentera Kerajaan Persekutuan seperti JKKP untuk menafikan hak kerajaan PR menguasai dan mentadbir negeri yang mereka menangi dalam pilihan raya yang sah. Ini menjadi amalan buruk Umno, bagaimana parti ini hendak meminta orang lain menerimanya dengan segala keburukan dan kebobrokan ini?

Ustaz Abdul Ghani berpendapat Umno juga tidak mungkin dapat merealisasikan hasratnya menegakkan negara Islam kerana kekeliruan berakidah dan berfikir di samping tindakannya yang sering memburuk-burukkan perjuangan Islam serta menghubungkaitkan perjuangan Islam sebagai jahat dan ganas. Ini adalah propaganda Zionis dan imprealis yang memusuhi cita-cita Islam.

"Jika Umno boleh memperbetul tindakannya terhadap orang yang memperjuangkan Islam, saya rasa keadaan ini akan berubah. Tetapi itu tidak berlaku. Dia (Umno) ingin berada di pihak yang benar, tetapi dia mengajak orang menjadi sesat sebagaimana dia sesat dalam fahaman asabiyah serta kezaliman yang dilakukannya.

"Adakah orang yang memperjuangkan Islam ini mesti turut segala kepalsuan dasar dan ideologi di samping kezaliman dan kesesatan yang dibuat. Mereka menganggap mudah perkara ini dan membeberkannya untuk kepentingan politik mereka," katanya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan sikap Umno yang sering memangsakan orang Melayu Islam demi untuk kepentingan politik mereka.

"Adakah kita boleh bersatu dengan orang yang mengkhianati amanah dan membolot duit negara? Malah mereka mensia-siakan hak 4 juta orang lebih pengundi muda Melayu, sehingga mereka tidak termasuk dalam daftar mengundi demi kepentingan dan muslihat Umno. Adakah mereka hendak memasukkan semua itu ke bawah karpet. Jadi saya menasihatkan Umno supaya berfikir secara jitu.

Tiada ulasan: