KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 28, 2010

Tak ada Umno, Melayu akan lebih mulia dan perpaduan ala Hang Tuah diganti dengan Islam - Tok Guru Nik Aziz


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Umno hanya mengamalkan perpaduan yang berasaskan kepada bangsa seperti yang dibawa oleh Hang Tuah. Tergasnya, perpaduan di antara Umno-PAS sudah tidak timbul lagi, ia sudah selesai dua tahun yang lalu dengan PAS memilih untuk bersama Pakatan Rakyat, bukan bersama Umno. 

Sebaliknya perpaduan yang perlu diterapkan bukanlah bersifat bangsa dengan bangsa tetapi berteraskan Islam kerana ia bermatlamatkan jangka panjang dengan membawa kepada akhirat. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegaskan, perpaduan yang dijalankan dalam Pakatan Rakyat adalah bertujuan untuk menyampaikan mesej Islam.

"Perpaduan kami dalam Pakatan Rakyat membolehkan kami menyampaikan mesej Islam kepada DAP dan PKR tetapi bolehkah dengan Umno? Kami meneruskan mesej Islam kami?" ujarnya ketika diminta mengulas isu Melayu akan menjadi lebih mulia tanpa penguasaan Umno.

Tambahnya, kesan daripada perpaduan Melayu yang dilaungkan boleh menyebabkan terhasilnya dendam yang berterusan daripada orang bukan Melayu. "Mereka juga akan menyepi diri kerana terlalu lemah dan tidak boleh melawan. Hal ini sangat bahaya kepada produktiviti rakyat Malaysia atau apabila dia menang dia akan menimbulkan dendam," katanya.

Dengan sebab itu, PAS ujarnya mengambil pendekatan yang tidak menimbulkan dendam, iaitu merapatkan diri dengan orang bukan Islam untuk menimbulkan kesedaran, ukhuwah dan rasa reda. Kelantan katanya, telah memulakan program iaitu Kifaalah dan Ladang Rakyat kepada golongan bukan Islam untuk meredakan semangat dan rasa dendam yang diasah oleh golongan nasionalis Melayu(Umno-BN).

Tegasnya, hasil daripada rapatan tersebut, tidak mustahil golongan bukan Islam bangkit untuk mempertahankan Islam berdasarkan sejarah Islam apabila golongan ulama yang menulis atau meriwayatkan hadis tidak berbangsa Arab.

"Satu hari nanti mereka pula yang akan menjadi pembela Islam sama ada mereka akan masuk Islam ataupun membela dasar Islam kerana dalam sejarah Islam semua kitab-kitab hadis, sunan sittah iaitu Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah, Nasaie, semua ini dikarang oleh orang bukan Arab.

"Jadi, apakah yang kita hairankan jika orang bukan Islam akan berbuat sesuatu untuk kebaikan Islam pada masa akan datang?" tegasnya lagi. Nabi Muhammad tegas Tok Guru Nik Abdul Aziz, adalah orang yang benar-benar menunjukkan perpaduan di atas dunia, kerana agama yang dibawa baginda adalah agama tauhid rahmatan lil 'alamin. 

Sebab itu, tegasnya, sejak daripada awal Islam lagi, Rasulullah dikerumuni oleh pelbagai bangsa di dunia contohnya Salman al-farisi daripada Iran, Bilal Habasyi daripada Afrika, Suhaib ar-rumi daripada Roma, Byzantine - inilah sebenar-benar perpaduan.

"Apa yang ada sekarang (di Malaysia) adalah yang dibawa oleh Umno asalnya adalah daripada Hang Tuah. Akhirnya, apabila kita berada di padang mahsyar, siapakah yang akan dicari? Hendak cari orang Melayu atau Rasulullah? Rasulullah akan membantu orang yang menolongnya. 

"Di atas dunia ini siapakah yang membantu baginda? Erti membantu baginda adalah membantu warisnya iaitu golongan ulama kerana ulama itu adalah pewaris nabi, dan bukan semestinya orang Melayu, Cina pun boleh, India pun boleh dan bangsa-bangsa lain," tegasnya lagi.

Jelas beliau, Islam adalah sejenis ajaran dan ia boleh jadi ada ataupun tiada. Boleh jadi kukuh, boleh jadi luntur. Melayu sampai bila pun katanya, tetap menjadi Melayu. Dia miskin pun Melayu, kaya pun Melayu, jahat pun Melayu, baik pun Melayu. Jika beginilah keadaannya, kenapa perlu kita membelanya? 

Sebaliknya dalam agama, ada benda yang ada atau tiada, kuat atau luntur. Inilah yang perlu dibela iaitu menerusi perjuangan PAS, tegas Menteri Besar itu lagi. 

Tiada ulasan: